SEPANJANG tempoh tujuh tahun berkecimpung dalam bidang seni, pelbagai episod pahit sudah dilalui pelakon Eira Syazira.
Terbaru, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Ku Milikkmu dan Cinta Balkish ini dan pelakon Azad Jazmin, 34, dituduh menipu seorang produser filem seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar mingguan, baru-baru ini.
"Sebenarnya, saya tidak mahu memanjangkan cerita yang tidak berasas itu lagi. Sebelum ini pun, produser itu yang membuat kenyataan di akhbar dan bukan saya yang memulakannya.
"Saya percaya ramai orang kenal siapa produser itu dan dia pernah menipu artis lain sebelum ini. Apapun, hanya saya, Azad dan pengarah Osman Ali yang tahu cerita sebenar.
"Kalau kami bersalah, saya minta produser itu tunjukkan buktinya. Saya dan Azad tidak menandatangani apa-apa perjanjian pun dengannya lagi kerana sudah menarik diri terlebih dulu dari projeknya itu," jelasnya.Berkongsi cerita bagaimana dia mengenali produser itu, Eira atau nama sebenarnya, Syazira Suhaimi, 26, berkata, semuanya bermula apabila dia dan Azad mempunyai skrip filem, Kau Pergi Jua yang juga kisah hidup komposer Adam Ahmad.
"Azad sudah lama kenal Adam dan ia memudahkan kami menulis skrip itu. Lebih bermakna, Osman juga berminat untuk mengarahkan filem itu selepas melihat skrip berkenaan.
"Tidak lama kemudian, Azad menerima panggilan daripada produser yang berminat untuk menerbitkan skrip itu dengan peruntukan lebih RM1 juta untuk filem Kau Pergi Jua itu.
"Justeru, kami bertiga termasuk Osman juga memutuskan untuk berjumpa dan berbincang lebih lanjut dengan penerbit berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, kata Eira, dia juga rasa ada sesuatu yang tidak kena selepas perbincangan separuh jalan dengan produser itu.
"Saya berbincang dengan Azad serta Osman dan kami juga tidak berminat untuk bekerjasama dengan produser itu lagi dan meminta dia memulangkan semula kertas cadangan projek berkenaan.
"Tapi, tiba-tiba, timbul pula cerita kami penipu," katanya kesal.
Eira berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Jersi 9 di Bora Ombak, Ampang di sini, selasa lalu.
Selain Jersi 9, Eira juga baru selesai penggambaran telefilem arahan Jurey Latiff untuk Koperasi Malaysia. Sebelum itu, dia beraksi dalam filem Malaysian Ghostly Tales arahan James Lee pada April lalu dan drama bersiri 13 episod, Seruan Kasih arahan Fairuz Loy.
Bagaimanapun kata Eira, dia juga semakin selektif untuk memilih watak ditawarkan sekarang.
"Sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan, sudah bermacam watak diimpikan saya sudah dapat. Saya juga selalu ditawarkan watak utama dalam drama dan telefilem sebelum ini.
"Sekarang, saya hanya terima tawaran watak yang ada karakter mencabar dan bukan watak yang stereotaip lagi kerana tidak mahu penonton bosan kerana asyik melihat saya bawa watak yang sama saja," katanya.
Justeru, kini masanya Eira yang mengikat kontrak nyanyian untuk tiga tahun dengan syarikat rakaman FGM Music & Film. Eira mahu memberi fokus kepada karier nyanyian pula yang kini menjadi salah satu cabang seni yang diminatinya dan album solonya itu berkonsep pop balada.
Eira berkata, setakat ini dua lagu sudah siap iaitu Sememangnya (ciptaan Adnan Abu Hassan) dan Di Hati Ini (Adam Ahmad).
"Selain berlakon, saya juga juga curi masa belajar vokal dengan Adnan dan merakamkan lagu di studio rakaman.
"Seperti lakonan, saya juga serius untuk menempa nama sebagai penyanyi. Seperti berlakon, saya juga mula menyanyi dari bawah," katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut sejauh mana kisah cintanya dengan Azad, kata Eira, cukuplah sekadar dia memberitahu Azad adalah lelaki paling rapat dalam hidupnya saat ini.
Sebelum ini, Eira pernah putus cinta dengan anggota kumpulan GTBoys, Isa.
"Saya percaya ramai orang yang fikir kami bercinta kerana kami sering bersama sekarang ini. Kami menjadi rapat kerana Azad kini menjadi pengurus karier nyanyian saya sekarang.
"Pada masa sama, kami juga bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama iaitu FGM. Macam manalah kami nak bercinta kerana masing-masing sibuk dengan karier seni masing-masing. Jika saya di lokasi drama, telefilem dan filem, Azad pula di lokasi penggambaran filem Kongsi sampai jam 6 hingga 7 pagi," katanya.
Eira berkata, bila sampai masa sesuai nanti, barulah dia akan memberitahu pihak media dan peminat mengenai status hubungan mereka itu.
"Saya juga tidak menafikan atau mengiyakan hubungan saya dan Azad. Cuma, buat masa ini, biarlah kami berdua saja yang tahu soal hati dan perasaan serta hubungan sebenar yang terjalin ini.
Eira juga mengakui dia selesa berkawan dengan Azad sejak mereka berlakon sama dalam satu telefilem dan Cinta Balqis.
"Azad lelaki yang baik dan saya senang bekerja dengannya. Selain itu, dia juga lelaki yang matang dan 'cool'. Keluarga juga tidak menghalang saya berkawan rapat dengannya. Saya juga tidak menolak jika ditakdirkan Tuhan untuk berkahwin dengannya.
"Sebelum ini saya pernah mensasarkan usia 25 tahun untuk berkahwin tapi nampaknya ia tidak menjadi kenyataan. Pada masa sama, saya tidak akan berahsia dengan peminat dan pihak media apabila tiba hari bahagia itu nanti," katanya yang mahu berkahwin sebelum usia mencecah 30 tahun.
PROFIL
NAMA PENUH: Syazira Shuhaimi
TARIKH LAHIR: 19 Julai 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik
STATUS: Bujang
TEATER: Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja
FILEM: Bisikan Remaja
DRAMA: Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Assignment, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Jejak, Temu Janji, Penama Kedua, Sindarela, Abang Misi, Issandra, Tangisan Bulan Madu, Ku Milik Mu, Embun Mutiara dan Melukut Tepian Gantang, drama bersiri Embun Mutiara, Ku Milikmu dan drama bersiri Cinta Balkish.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: