CETEK pengalaman di bidang pertanian bukan penghalang kepada Datuk Normala A Kahar, 47, untuk terbabit dalam projek tanaman padi secara komersial seluas 60.7 hektar di Kampung Mambang, Pekan, Pahang.
REZEKI...Normala buktikan kesungguhan mengusahakan projek tanaman padi secara komersial membuahkan kejayaan.
Minat dalam bidang pertanian menjadi antara pendorong kuat kepadanya menceburi projek tanaman padi secara komersial walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Menerusi projek percubaan bermula Januari lalu, ia kini sudah mengeluarkan hasil yang memuaskan seperti dijangkakan iaitu kira-kira tujuh tan metrik sehektar.
"Selain memenuhi kehendak peribadi, projek ini juga antara usaha menambahkan lagi pengeluaran beras negara yang kini banyak bergantung kepada negara jiran seperti Thailand.
"Tanpa usaha menambah pengeluaran beras negara, kerajaan akan terus menerus mengimport beras dengan jumlah banyak setiap tahun," katanya yang sebelum ini terbabit dalam perniagaan hartanah.Dia yang berasal dari Bentong, Pahang, berbangga apabila percubaan pertama mengeluarkan padi dengan jumlah banyak dibuktikan kepada pelbagai pihak yang sebelum ini kurang yakin dengan perancangannya.
Menurutnya, dia menggunakan lima pakar termasuk seorang doktor dari Korea bagi menjayakan projek percubaan ini malah pengalaman yang dimiliki ternyata memberi kejayaan membanggakan.
"Saya ingin menjadikan Pahang khususnya Pekan sebagai jelapang padi negara sama seperti Kedah dan Selangor terutama apabila tiga lagi sawah terbiar akan dimajukan tahun depan.
"Tiga kawasan sawah yang akan dimajukan berada di Kampung Sungai Pelak seluas 263 hektar dan masing-masing 80.9 hektar di Kampung Sungai Duri dan Kampung Sawah di Pekan.
"Dengan bantuan kerajaan Pahang terutama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, saya akan memperluaskan projek tanaman padi secara komersial ke seluruh negeri," kata ibu tiga anak ini.
Normala yang begitu meminati bidang pertanian berkata, bidang terbabit bukan saja mampu memberi hasil menguntungkan tetapi dapat membantu masyarakat setempat.
Projek tanaman padi di Kampung Mambang ini memberi peluang pekerjaan kepada lebih 15 penduduk setempat yang bekerja secara tetap termasuk sambilan.
Selain itu, lebih 60 pemilik sawah terbiar juga berpeluang mendapat imbuhan daripada hasil yang diperoleh walaupun ia tidak terlalu besar berbanding mereka sendiri yang mengusahakannya.
"Pada peringkat awal projek ini, saya mendapat tentangan daripada pihak yang barangkali iri hati dengan usaha ini. Mereka berpendapat usaha berkenaan akan gagal seterusnya merugikan.
"Bagaimanapun, dengan minat dan kesungguhan yang ada saya tetap teruskan projek berkenaan sehingga berjaya meraih hasil pertama.
"Dengan pengeluaran tujuh tan metrik padi sehektar, saya dapat buktikan kepada semua pihak kesungguhan pasti membuahkan kejayaan," katanya yang turut mendapat sokongan daripada bapa, A Kahar Ahmad.
Normala akui, air matanya menitis apabila melihat pokok padi yang ditanam tumbuh subur di kawasan sawah yang sebelum ini terbiar. Lebih menyentuh perasaan apabila dia turut sama menuai padi.
Mengharungi lumpur sawah, membaiki batas dan parit kini bukan lagi asing bagi dirinya malah sebagai petani moden, dia berbangga dapat berbakti kepada tanah seterusnya berupaya membela nasib masyarakat setempat.
"Saya berharap langkah pertama ini akan terus membuka laluan untuk menuju kejayaan terutama dengan bantuan pakar dari Korea.
"Tanpa kepakaran mereka, mustahil saya mampu mengusahakan projek ini yang akan diperluaskan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: