Monday, June 7, 2010

Habuan lumayan juara

HABUAN cukup lumayan menjadi milik skuad Bertam Ulu, Putra Ria FC serta N 10 Jr apabila masing-masing mengungguli kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Lelaki Bawah 17 Tahun Grand Final Karnival Futsal i-Metro 2010 di Sports Planet, Ampang, semalam.

BERTENAGA...pemain N 10 Jr (kanan) berentap dengan KFSP FC pada  final Bawah 17 tahun.
BERTENAGA...pemain N 10 Jr (kanan) berentap dengan KFSP FC pada final Bawah 17 tahun.
Juara Terbuka Lelaki, Bertam Ulu dari Melaka membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM15,000 serta barangan sukan Figos manakala Putra Ria FC yang menakluk kategori Terbuka Wanita menerima piala pusingan, RM8,000 dan barangan sukan Figos sementara juara Lelaki Bawah 17 Tahun, N 10 Jr memenangi piala pusingan, RM7,000 serta barangan sukan Figos.


Bertam Ulu yang menyarung jersi England menewaskan Alam Megah (Serbia) di final menerusi sepakan penalti 2-1 selepas terikat 1-1 pada perlawanan sepenuh masa yang disaksikan lebih 8,000 penonton manakala Putra Ria FC (Honduras) menjuarai kategori Terbuka Wanita selepas menundukkan Rebel Pahang FC (Korea Selatan) menerusi penentuan penalti 3-2.


Skuad N 10 Jr dari Kelantan mewakili Korea Utara pula mengesahkan keunggulan mereka apabila mengalahkan KFSP FC (Itali) 4-3 juga menerusi penentuan penalti.


Serentak dengan demam Piala Dunia Afrika Selatan, semua 96 pasukan diundi untuk menyarung jersi 32 pasukan yang beraksi di Piala Dunia. Jersi Piala Dunia adalah sumbangan Figos.


Selaku naib juara Terbuka Lelaki, Alam Megah membawa pulang RM10,000 serta barangan sukan Figos manakala Rebel Pahang yang bergelar naib juara kategori Terbuka Wanita menerima RM5,000 serta barangan sukan Figos. Skuad KFSP FC yang tewas kepada N 10 Jr membawa pulang RM4,000 serta barangan sukan Figos.


Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Abdul Ghafar Ismail dan Pengarang Sukan Harian Metro, Mohd Radzi Wahab. Karnival Futsal i-Metro 2010 bermula dengan Zon Tengah di De Stadium Futsal (Subang Jaya, Februari) diikuti Zon Utara di Safira Sports Planet (Seberang Jaya, Mac), Zon Timur di Kuantan Futsal Center (Kuantan, April) dan Zon Selatan di Sports Prima (Johor Bahru, Mei).


Grand Final Karnival Futsal i-Metro 2010 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM78,200 kepada semua pemenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: