Tuesday, June 15, 2010

Gulatis saman balas Zahnita RM15 juta




KUALA LUMPUR - Model dan pelakon, Zahnita disaman balas sebanyak RM15 juta oleh syarikat Gulatis Exclusive Sdn. Bhd. (Gulatis) kerana didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah kepada media ketika mahu memfailkan saman sebanyak RM2 juta terhadap syarikat itu tahun lalu.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh peguam Gulatis, Abdullah Abd. Rahman yang menegaskan model tersebut berbuat demikian ketika bercakap dengan wakil media di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Disember tahun lalu.

Abdullah berkata, pihaknya telah memfailkan saman tersebut pada 5 Februari lalu tetapi tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut.

"Selagi belum melalui proses perbicaraan, saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Meskipun Gulatis menyaman balas Zahnita sebanyak RM15 juta, kes artis tersebut menyaman Gulatis sebanyak RM2 juta sebelum ini, masih diteruskan di mahkamah.

Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 25, pula terkejut bagaimana perkara tersebut boleh tersebar di Internet sedangkan beliau tidak pernah mendedahkannya.

"Memang saya akui disaman sebanyak RM15 juta dengan beberapa tuntutan lain oleh Gulatis dan telah menerima surat saman sekitar Februari lalu tetapi apa yang mengejutkan saya macam mana hal ini boleh tersebar.

"Saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan terhadap kes ini kerana bimbang ia akan memburukkan lagi keadaan," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga bersedia sekiranya Gulatis mahu menyelesaikan kedua-dua kes itu di luar mahkamah.

"Saya lebih suka ia diselesaikan dengan cara baik. Bagaimanapun, jika mereka mahu ia diteruskan di mahkamah, saya bersedia untuk menuntut segala hak saya walaupun ia memakan masa yang lama," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: