Monday, June 21, 2010

Gembira tak terkira

pix_gal0
Impian Nana dikurniakan zuriat termakbul

SAAT bergelar isteri kepada Mohamed Raqeem Brian Abdullah atau Brian, bermula 6 Jun 2009, Nana mengakui hati kecilnya terdetik rasa ingin menjadi ibu. Rasa itu normal dan bukan dibuat-buat. Malahan puas juga dia mahu menjawab pertanyaan orang yang asyik bertanyakan pasal dirinya, bila lagi hendak mempunyai anak sendiri.

Pertanyaan seperti ini seolah-olah satu lumrah kepada mereka yang sudah berkahwin, termasuk artis dan selebriti seperti Nana. Sama seperti mereka yang sudah berumahtangga, Nana juga memang menyimpan impian untuk mengandung dan melahirkan anak. Nampaknya, berkat doa dan dengan izin daripada Yang Maha Kuasa, penyampai radio XFM itu kini memaklumkan dirinya sudah berbadan dua. Ia sudah tentu menjadi berita amat menggembirakan kepada si suami. Nana atau Nurul Hana Che Mahazan mengakui betapa dia hampir saja tidak dapat mengawal perasaan gembiranya. Kalau boleh dia mahu menjerit dan melompat keriangan untuk mengumumkan berita itu ‘kepada satu dunia’.Bagaimanapun, yang penting ialah dia sangat bersyukur dengan kurniaan Illahi ini. Nana yang genap berusia 27 tahun pada 1 Julai nanti turut berkongsi khabar gembira ini kepada peminatnya menerusi blog XFM.

“Sebagai manusia, Nana dan suami tak terlepas daripada mencuba dan terus mencuba. Kami pun bukan masih muda. Nana sendiri setiap bulan akan membeli alat penguji kehamilan.

“Tetapi yang membezakan bulan sebelumnya ialah Februari lalu. Masa itu badan pun rasa semacam. Tanpa disangka keputusan yang ditunjukkan alat itu sangat positif. Nana kejutkan Brian. Kami tergamam dan memandang sesama sendiri. Apabila hari cerah, kami ke klinik mendapatkan pengesahan lanjut daripada doktor,” katanya yang ketika dihubungi usia kandungannya menjangkau 15 minggu.
Nana yang menyertai XFM sejak 16 November 2009 menegaskan, dia dan suami tidak kisah apa sekalipun jantinanya.
“Nana berasakan macam lelaki. Tapi Nana tidak kisah pun lelaki atau perempuan. Tapi kalau dapat anak perempuan pun ok. Bolehlah Nana ajar dia melawa.

“Lagipun baju budak perempuan ini cantik rekaannya. Boleh jadi rabun kalau membeli baju budak perempuan. Cuma buat masa sekarang, Nana dan Brian banyak berhabis duit untuk mengubah suai rumah kami di Puchong,” katanya.

Nana menjelaskan dia bernasib baik kerana tidak mengalami alahan yang teruk kecuali selera makan semakin bertambah kebelakangan ini. “Nana rasa perkataan ‘melantak’ paling sesuai digambarkan terhadap selera makan ini. Semua yang Nana jamah seolah-olah perlu ‘ditambah’ untuk dua orang makan. Malah, Nana sanggup keluar dari Kuala Lumpur untuk memuaskan nafsu makan ini.

“Nak kata mengidam tak juga. Mungkin juga Nana sudah bosan dengan makanan yang dijual di Kuala Lumpur. Nana sanggup ke Seremban biarpun bekerja pada hari terbabit. Nana hampir nak ke Kelantan tapi selepas dinasihatkan suami, Nana batalkan niat itu,” kata Nana yang berat badannya kini sudah mencecah 50 kilogram.

Dalam tempoh hamil ini seolah-olah menjadi masa yang terbaik kepada Nana ‘membuli’ suami. Katanya, inilah kesempatan untuk dia mendapat lebih kemanjaan suami daripada biasa.

“Tidak selalu pun. Biasalah ibu mengandung ini mungkin mengada-ngada sedikit. Dia (Brian) pun tak nak Nana buat kerja berat dan dia sanggup mengambil tugas kerja itu. Banyak kerja rumah yang Brian buat,” katanya.

Menurutnya, Brian juga gemar merapatkan kepalanya ke atas perut Nana seolah-olah dapat bercakap dengan bayi. Perihal yang sama turut dilakukan seorang rakan sekerjanya di Astro.

“Kak Nila Kurnia (penyampai radio Sinar FM) tak menyangka yang saya sudah berbadan dua. Malah ada rakan sekerja yang memberi petua dan kata semangat untuk Nana,” katanya yang kini mengacarakan program Wazzup Bolly dan menyampaikan promo slot saluran Mustika.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: