Tuesday, June 15, 2010

Gaya tidur cermin personaliti


Mengikut fakta sains, separuh daripada kehidupan kita dihabiskan untuk tidur.


SAYA amat gembira hidup bujang kerana saya boleh habiskan masa lima hingga tujuh jam di atas katil dengan apa jua gaya tidur yang saya suka," ujar Aalia yang bahagia dengan nikmat tidur yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.

Mengikut fakta sains, separuh daripada kehidupan kita dihabiskan untuk tidur. Sejak dari bayi hinggalah dewasa waktu tidur berubah-ubah seiring dengan tuntutan dan tekanan yang dihadapi di sekeliling kita.

Namun ramai yang mungkin tidak tahu bahawa perwatakan dan personaliti seseorang itu boleh dinilai melalui gaya tidurnya.

Seorang pengkaji tidur di Britain, Prof. Chris Idzikowski berkata, posisi tidur boleh memberi gambaran sebenar tentang siapa diri kita.

Beliau yang juga pengarah di Perkhidmatan Penilaian Tidur dan Khidmat Nasihat berkata, satu kajian yang dijalankan ke atas 1,000 rakyat Britain mendapati enam posisi atau gaya tidur yang menggambarkan tentang personaliti sebenar responden.

Pembaca tidak perlu membuat keputusan untuk mempercayai hasil kajian ini, tapi jika ada akui kebenarannya dan anggaplah sebagai satu ilmu bahasa badan yang diterjemahkan dalam bentuk laporan oleh Idzikowski.

"Kita semua jelas dengan gaya bahasa tubuh ketika sedar tapi kajian ini membuktikan kali pertama bahawa pergerakan tubuh ketika tidak sedar (tidur) sebenarnya memberitahu kita tentang watak kita yang sebenarnya," katanya.

Tambahnya, apa yang menarik ialah hasil tafsiran terhadap posisi tidur itu sebenarnya ada kaitan dengan peribadi kita selama ini.

Kajian tersebut turut memfokuskan kepada kaitan gaya tidur dengan masalah kesihatan yang dihadapi oleh individu terbabit.

Antara masalah yang berkaitan dengan gaya tidur ialah masalah sistem pencernaan, dengkuran dan tidur yang kurang berkualiti atau tidak lena.

Jika merasakan bahawa gaya anda tidur merangkumi semua gaya di atas, mungkin tafsiran anda tidak benar.

Ini kerana, Idzikowski berkata, hasil kajiannya menunjukkan kebanyakan orang tidur dengan posisi yang sama hampir setiap malam dan hanya lima peratus yang sering bertukar-tukar posisi tidur dengan bermacam-macam gaya.

Kajian Idzikowski juga menunjukkan hanya satu daripada 10 peserta yang tidur berselimut, itupun tidak semua bahagian tubuh ditutup kerana ada bahagian yang terdedah dan selalunya ialah tangan, kaki atau kedua-dua kaki dari pergelangan ke jari kaki.

Jadi, tidak perlu kamera untuk merakam gaya anda tidur, anda sendiri tahu siapa anda dan adakah anda akui kebenaran kajian Idzikowski? Tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: