|
|
APABILA menyebut tentang haiwan yang digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencegah jenayah, semua pasti terfikir bahawa haiwan itu adalah anjing semata-mata.
Namun sedar atau tidak, selain menggunakan khidmat anjing pengesan, PDRM juga mempunyai pasukan unit kuda yang membantu mereka dalam aktiviti pencegahan jenayah.
Sumbangan pasukan unit berkuda di negara ini sememangnya agak kurang disedari oleh masyarakat menyebabkan unit itu kurang menonjol pada pandangan umum.
Tetapi sesuatu yang perlu kita tahu, sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, kuda sudah menjadi haiwan yang digunakan oleh pasukan polis.
Antara penggunaan kuda yang tentu ramai yang tidak sedar adalah di kawasan Kamunting, Perak suatu ketika dahulu, untuk membanteras kegiatan rompakan yang berlaku di kawasan itu.
Malah, di Perak, penggunaan polis berkuda diiktiraf tinggi oleh pihak istana apabila ia sering digunakan untuk majlis-majlis diraja.
Kuda merupakan sejenis haiwan yang istimewa kerana dikatakan dapat menyelami hati dan perasaan penunggangnya. Malah haiwan itu mempunyai kelebihan yang pelbagai berbanding haiwan-haiwan lain.
Keistimewaan haiwan itu turut diakui oleh Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PDRM, Deputi Supritendan Nor Fauzi Ismawi, 52.
Bagi beliau, tugas mengepalai unit berkuda itu membuatkan beliau teruja dan yakin unit itu sedikit sebanyak mampu memberikan khidmatnya untuk menjaga keselamatan rakyat di negara ini.
"Kuda adalah teman baik saya, ada kalanya saya bercakap dengan mereka dan saya rasa itu tidak pelik," katanya sambil tersenyum.
Nor Fauzi sebelum diberi tanggungjawab mengendalikan unit ini pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Perak, Komander Unit Kawalan Kawasan Kampar dan Pasukan Gerakan Am di Pahang.
Beliau yang tidak kekok berbicara, bangga menceritakan pengalaman pahit dan manis yang pernah dilaluinya sepanjang menyertai unit ini.
"Terjatuh dari kuda adalah perkara biasa, namun saya tidak dapat melupakan kejadian terjatuh dari kuda tiga kali berturut-turut dalam satu masa.
"Namun, semua itu tidak mematahkan semangat untuk terus berkhidmat dalam unit ini, bahkan saya gembira mengendalikan kuda-kuda itu," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.
Bagi Nor Fauzi, semua kuda di bawah kendaliannya adalah istimewa dan haiwan itu amat disayangi oleh beliau serta para anggotanya.
Malah, erti kepuasan baginya adalah apabila dapat menunggang kuda itu sambil melakukan rondaan mencegah jenayah khususnya di kawasan tertentu.
"Saya tidak menganggap kuda ini seperti haiwan, sebaliknya kuda-kuda ini dianggap seperti seorang kawan.
"Untuk pengetahuan semua, haiwan ini juga seperti manusia yang perlu diberi jagaan rapi termasuk dimandikan, diberi makan dan rawatan ketika sakit," kata bapa kepada empat orang anak ini.
Sesuatu yang istimewa pada haiwan ini, kata Nor Fauzi, mendampingi kuda dan menguruskannya banyak mengajar seseorang pegawai dan anggota polis di unit itu erti kesabaran dan keinsafan terhadap Maha Pencipta yang berkuasa menjadikan haiwan itu.
Ini kerana, setiap kuda mampu mengenali personaliti individu yang menunggangnya. Jika penunggangnya tidak selesa atau tidak sesuai dengan kuda tersebut, maka kemungkinan risiko penunggang itu untuk jatuh adalah tinggi.
"Penunggang perlu bijak mengawal dan memahami kuda sebab ia tahu kalau kita tidak pandai kawal, kadang-kadang ia akan bertindak ganas terhadap penunggang.
"Kita juga tidak boleh berkasar dengan kuda sebab ia merupakan haiwan yang sensitif dan sentiasa perlu dibelai," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: