Bekas kekasih Maulana yang hanya mahu dikenali sebagai Franny enggan mengulas lanjut mengenai putusnya kisah cinta bersama Maulana. Franny yang dihubungi melalui laman sosial Facebook berkata, apa yang berlaku di antara dirinya dan Maulana bukanlah kehendak sesiapa dan tak mungkin melupakan saat romantis bersama Maulana.
Bercerita detik perkenalan mereka berdua, Franny memberitahu mula mengenali Maulana sejak di universiti sewaktu sama-sama terlibat dengan persembahan nyanyian.
“Dari situlah segala-galanya bermula. Kami banyak berkongsi idea. Saya senang dengan sikapnya yang berfikiran terbuka, mengambil berat dan penyayang. Daripada sekadar kawan biasa, kami mulai akrab dan serius.
“Saya tak pernah menyangka akan berakhir begini. Saya pasrah dengan apa yang berlaku. Sebagai seseorang yang pernah rapat dengannya sentiasa mendoakan kejayaannya dalam bidang seni ini kerana itulah minatnya sejak dulu lagi dan saya tak pernah menyesal mengenalinya.
“Apa yang penting sekarang, saya mahu melupakan apa yang telah terjadi di antara kami. Tiada pertengkaran yang berlaku di antara kami dan kami berpisah pun dengan cara baik. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana apa yang berlaku sememangnya tidak diduga,” jelasnya.
Menurutnya, apa yang berlaku ini bukanlah kerana orang ketiga seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya daripada sikap Maulana sendiri melalui satu kenyataannya di dalam diari AF ‘saya berbelah bagi dan keliru’ mengenai kisah cintanya.
“Saya tak faham apa yang membuatkan dia jadi keliru dan berbelah bagi? Sedangkan kami tidak pernah bermasalah. Mungkin selama tiga bulan berada di dalam akademi dia sudah menemui orang baru yang jauh lebih baik daripada saya. Itu saya tidak pasti.
“Macam-macam yang saya fikirkan waktu itu. Kalau dia sudah ada pengganti membuatkan dia berkata begitu, saya rasa tidak salah dengan keputusan untuk berpisah dengannya. Saya berkecil hati dengan sikapnya itu dan setelah berfikir, perpisahan adalah jalan terbaik untuk kami berdua.
“Siapa di hati Maulana sekarang janganlah ditanya kepada saya kerana hanya dia yang tahu. Masa saya dengar macam tu, saya terkejut dan sedih. Hampir dua tahun kami bersama masih tidak meyakinkan dia mengenai hubungan cinta kami? Tapi seperti saya nyatakan sebelum ini, saya pasrah dengan semua ini. Pada mulanya sedih. Tapi sekarang saya dah ok dan akan teruskan kehidupan seperti biasa," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: