Friday, June 11, 2010
Ain punca Maulana putuskan cinta?
Masih hijau dan masih baru dirinya bertapak di pentas hiburan tanah air bagi Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau lebih dikenali dengan nama Maulana. Belum apa-apa sudah ada kontroversi menjengah dirinya hingga ada yang melabelkan dirinya sebagai ‘playboy’.
Pemenang tempat keempat Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pelbagai cerita kurang enak menjengah platun lagu RSVP ini. Di antaranya sikap ‘bossy’ semasa berada di dalam akademi, sombong dan juga mengenai teman wanitanya yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keakrabannya bersama seorang lagi pelajar AF 8 iaitu Ain.
Keakraban Maulana dan Ain membuatkan hubungan cinta di antara Maulana dan teman wanitanya menjadi retak dan akhirnya putus di tengah jalan. Hubungan yang terjalin hampir dua tahun itu putus gara-gara kehadiran Ain di dalam hidup Maulana.
Maulana yang dihubungi Sinar Harian baru-baru ini mengesahkan bahawa hubungannya bersama gadis yang mahu dikenali sebagai Franny itu telah berakhir secara baik, walaupun jauh di sudut hatinya berharap hubungan itu akan terus berkekalan.
“Ya, memang kami sudah tidak ada apa-apa lagi. tapi, kami putus secara baik dan masih berkawan. Malah keputusan ini datang daripada dia sendiri, bukan saya yang buat keputusan ini.
“Walaupun berat untuk menerimanya kerana hati saya masih berharap untuk kami teruskan hubungan ini, tapi nak buat macam mana. Mungkin ini yang terbaik untuknya. Saya rasa jika ini yang terbaik buat kami berdua, saya terima keputusan dari dia,” kata Maulana.
Menurut Maulana, segala desas desus mengenai hubungannya dengan Ain adalah palsu semata-mata kerana ketika 12 jam berada di dalam akademi hanya setengah jam yang disiarkan Astro.
“Saya letakkan situasi saya dan Ain berada di dalam sebuah drama yang mempunyai pelbagai watak. Kami adalah watak antagonis di dalam drama tersebut, kerana bila sudah disunting, banyak cerita yang menampakkan kami bercinta sahaja disiarkan sedangkan tidak ada apa-apa pun di antara kami berdua.”
“Hakikatnya kami hanyalah kawan biasa. Ini tentunya bertentangan dengan hakikat sebenarnya yang kami hanya kawan rapat,”
“Sebenarnya terlalu jauh bezanya bila kita dikelilingi oleh kamera dan apabila kita berhadapan dengan orang itu sendiri, terlalu banyak yang mahu saya jelaskan pada Franny dan jika ada kesempatan saya mahu berjumpa dengannya bagi menerangkan situasi sebenar kepada Franny,” tegas jejaka berusia 22 tahun ini.
Menurut Maulana lagi, berita tentang Franny yang mahu ke akademi bagi mendapatkan penjelasan tentang hubungannya bersama Ain adalah palsu semata-mata malah Franny tidak pernah berbuat begitu.
“Saya tahu Franny tidak akan buat perkara macam tu. Saya rasa perkara ini hanya dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan dengki dengan hubungan kami.
Ditanya mengapa dia menyenangi Ain, Maulana mengakui menyenangi Ain yang sekepala dengannya kerana sikap Ain yang kasar dan gemar bermain gitar.
“Bila saya bergurau dengan Ain, kami bergurau kasar tetapi Ain tidak pernah merajuk mahupun melenting, selain itu perangai kami yang suka bermain gitar menyebabkan kami selesa bersama,” akui Maulana.
Tidak menyombong diri
Tambah Maulana mengenai sikap sombongnya, kata-kata itu ditujukan oleh orang yang belum mengenali dirinya secara dekat.
“Pernah dalam satu persembahan seorang peminat mendekati saya dan memohon maaf kerana menganggap saya sombong, tetapi bila dia sudah mendekati saya baru mereka tahu saya bukan seorang yang sombong, jadi seharusnya kenali saya dahulu barulah mereka menilai bagaimana saya sebenarnya,” katanya.
Jelas Maulana dia mempunyai sasaran lima atau enam tahun lagi untuk menamatkan zaman bujangnya dan mahu mengukuhkan nama dan karier terlebih dahulu di dalam industri.
“Saya baru mahu bertapak di dalam industri, banyak yang ingin saya pelajari, jika saya mahu berkahwin pun saya akan memastikan mempunyai kewangan yang kukuh serta mampu memberi keluarga saya sumber kewangan yang tetap,” katanya.
Maulana berkata dia memegang nasihat ayahnya yang mahu dia mengukuhkan kerjayanya dahulu sebelum memikirkan mengenai hubungan cintanya.
Atur perjalanan seni
Bergelar pemenang tempat keempat tentunya sedikit sebanyak mengurangkan publisiti Maulana berbanding juara mahupun naib juaranya.
Bagaimana pun Maulana tidak pernah mengeluh sebaliknya tetap sabar tentang perancangan bersama pihak Astro.
“Sala meletakkan Aizat sebagai contoh untuk saya berjaya, walaupun tidak menyandang gelaran juara, Aizat buktikan dia mampu berdikari mencipta nama di dalam industri,”
“Saya sudah berbincang bersama pengetua Norman dan abang Edry yang banyak memberi nasihat tentang hala tuju saya di dalam industri, mungkin bila masanya sudah tiba saya pasti akan mengeluarkan sebuah album sendiri,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: