Monday, June 14, 2010

Dunia terasa lebih terang – Patricia


Dr. Aloysius memeriksa mata Patricia untuk melihat tahap kesihatan mata di Vista, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini.


SETIAP kali berdepan dengan tugas, saya mula rasa risau. Saya perlu menggunakan mata dengan cekap pada jarak dekat. Kebetulan saya bekerja memasukkan data pelanggan di Pusat Pakar Mata Vista (Vista). Kadang-kadang saya berdepan dengan masalah tersalah memasukkan maklumat mereka terutama nombor kad kredit. Masalahnya, saya tidak dapat membaca nombor dan perkataan yang kecil,” luah Patricia Lai yang mengalami masalah penglihatan ketika membaca.

Selain itu, otot mata wanita berusia 45 tahun ini sering kepenatan kerana membaca angka yang kecil. Masalah tersebut semakin rumit apabila usianya semakin meningkat. Walaupun dia tidak mempunyai masalah penglihatan yang serius , Patricia berusaha memperbaiki masalah ini.

Baginya, ia menghalang dia melakukan kerja dengan lancar.

Mujurlah, syarikat di tempat dia bekerja, Vista memperkenalkan inlai Kamra keluaran AcuFocus, peralatan perubatan inovatif terkini dari Amerika. Ia merupakan inlai kornea yang mengembalikan keupayaan penglihatan untuk membaca bagi penghidap presbyopia (rabun dekat).

Berkongsi pengalaman mengenai terapi mata baru ini, Patricia bersyukur kerana tidak menghadapi sebarang kesukaran. Walaupun kesannya bukanlah dalam kadar segera, dia merasai perubahan. Dunianya kini terasa lebih terang.

“Pada hari pertama dan kedua selepas menjalani rawatan ini, kesan masih kurang jelas. Namun, penglihatan saya semakin jelas pada hari ketiga. Hari berikutnya, penglihatan kembali rabun. Tetapi ia semakin pulih dan kini saya mampu membaca angka kecil dengan jelas,” ujarnya.

Dengan adanya alternatif perubatan mata ini, Patricia lebih berasa yakin kerana dapat mengembalikan penglihatan untuk membaca dalam apa jua keadaan.

Kini, dia boleh membaca jam tangannya dengan jelas.

“Terima kasih kepada Dr Aloysius dan kakitangan Vista. Saya tidak perlu menjalani pembedahan katarak. Cukup dengan rawatan Kamra selama 20 minit, ia mengubah kehidupan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Perunding Pakar Bedah Oftalmik Vista, Dr. Aloysius Joseph Low memberitahu, majoriti orang dalam lingkungan 40-an akan mengalami pengurangan kualiti penglihatan untuk membaca yang dikenali sebagai presbyopia.

Tambah beliau, presbyopia berlaku kerana lensa dan otot semulajadi mata kita menjadi terlalu tegang untuk memfokus kepada objek yang dekat. “Ini bermakna jarak penglihatan masih jelas, tetapi objek yang dekat kelihatan kabur. Ini memberi kesan yang besar terhadap kualiti hidup. Misalnya, membaca objek kecil seperti di telefon bimbit dan 'iPad' yang terbaru,” ungkapnya.

Beliau menjelaskan secara lazimnya, terdapat beberapa cara lain untuk membantu penghidap presbyopia. Malangnya, sebahagian prosedur ini tidak mempunyai kesan jangka masa panjang atau berkemungkinan menjejaskan penglihatan jarak jauh pesakit.

Selain itu, Kamra membantu penghidap presbyopia dalam mendapatkan kembali gaya hidup aktif mereka tanpa menjejaskan jarak penglihatan dekat dan jauh. Konsep ini sangat mudah, dan prosedurnya tidak merumitkan.

Ia boleh dilakukan bersama prosedur lasik dan tidak akan menjejaskan kesesuaian pesakit untuk prosedur pembedahan untuk membaiki penglihatan di masa hadapan, contohnya seperti pembedahan katarak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: