Thursday, June 10, 2010

Derita M. Rajoli



Lebih kurang tiga tahun disahkan mengidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma, pelakon versatile M.Rajoli yang sebelum ini rancak dilihat beraksi di kaca tv dengan membawa watak warak ternyata begitu uzur sekali.

Ini berikutan selepas menjalani pembedahan di bahagian otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11 Oktober tahun lalu, taraf kesihatan M. Rajoli atau nama sebenarnya, Mohd Rajoli Mohamed semakin hari kelihatan semakin lemah seluruh anggota badannya.

Keadaan M Rajoli yang tidak berupaya itu membuatkan dia hanya berbaring dan mampu tidur sepanjang hari di katil khas yang disediakan di ruang tamu rumahnya di Hulu Klang, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini Sinar Harian berpeluang mengikuti lawatan persatuan Seniman bertujuan melihat perkembangan terkini pelakon yang sangat mudah didekati itu. Apa yang disaksikan, ternyata amat menyedihkan.

Jikalau dahulu dirinya masih boleh bercakap dan duduk, namun diakui sendiri oleh beberapa orang Exco Seniman bahawa kedatangan kali ini jelas menampakkan keadaan M.Rajoli semakin tenat.

Isteri pertamanya, Hassimah Mat Din berkata: “Sejak kebelakangan ini, saya sendiri tidak dapat menerangkan dengan terperinci keadaan kesihatannya yang sebenar. Ini kerana kadang-kadang nampak baik namun ada masanya terlalu lemah hinggakan langsung tidak boleh membuka mata dan hanya mampu untuk tidur sahaja sepanjang hari."

Menurutnya, selain itu suaminya juga tidak mampu bercakap.

"Dahulu kalau lapar dan dahaga dia akan meminta tetapi kini dia hanya diamkan sahaja. Ini membuatkan saya terpaksa mengejutnya setiap kali tiba waktu makan mengikut saranan yang telah diberikan oleh pihak doktor.

"Paling menyedihkan, ada masa dia cuba untuk bercakap tetapi setiap tutur katanya tidak bermaksud lagi. Mujurlah dia masih mengenali isteri dan juga anak-anaknya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: