Friday, June 4, 2010

Cita rasa Itali untuk semua


Pelanggan menikmati makanan dengan santai di Italiannies yang berkonsep kontemporari dan bercita rasa Inggeris.


SEKALI-sekala keluar makan beramai-ramai sama ada bersama keluarga atau kawan-kawan memang menyeronokkan dan merapatkan hubungan. Apatah lagi jika ada hari istimewa yang hendak diraikan.

Apabila membuat rancangan makan di luar ada yang tidak tahu restoran mana yang hendak dituju dan tidak pasti sama ada makanan yang dihidangkan memenuhi cita rasa semua.

Jika anda, keluarga atau kawan-kawan adalah peminat makanan Itali, apa kata berkunjung ke restoran Italiannies yang menghidangkan bermacam-macam jenis makanan Itali yang lazat dan menyelerakan.

Italiannies yang baru membuka cawangan kelimanya di gedung membeli belah Empire Shopping Gallery, sebelum ini mempunyai cawangan di The Gardens (Mid Valley City), Sunway Pyramid, 1 Utama Shopping Centre dan The Curve, Mutiara Damansara.

Restoran ini yang baru dibuka bulan lalu amat menggalakkan pelanggan datang beramai-ramai bersama-sama keluarga atau kawan-kawan.

Sesuai dengan falsafahnya, A more di Merrier atau lebih ramai lebih meriah, suasana seperti ini dapat dilihat tatkala berkunjung ke restoran tersebut.

''Italiannies menggalakkan konsep berkongsi makanan kerana hidangan yang disediakan adalah dalam kuantiti banyak dan boleh dikongsi untuk empat hingga enam orang,'' kata Pengurus Besarnya, Victor Yeo.

Sebut sahaja makanan Itali mana yang anda inginkan. Bermula dengan pembuka selera dan sup hinggalah kepada pilihan piza, pasta, salad, hidangan istimewa Italiannies dan hidangan pencuci mulut atau jus, semuanya ada di sini.

Spinach & Artichoke Formaggio, Quatro Platter, Napoli Bianco Pizza, Margherita Pizza, Shrimp Pra Diablo, dan Lasagna A La Ravina merupakan antara makanan Itali yang terdapat di sini.

Jika tidak faham dengan maksudnya, jangan segan untuk bertanya kepada pekerja di situ kerana mereka dengan ramah akan menerangkan penuh terperinci.

Daripada hidangan tradisional Amerika-Itali seperti spagheti dan bebola daging hingga hidangan asli autentik seperti salmon oregano, setiap makanan yang dihidangkan disediakan dengan teliti menggunakan bahan-bahan yang segar.

''Rasa makanan di sini adalah konsisten kerana setiap makanan yang dipesan akan ditimbang bahan-bahannya sementara sayur atau bawang akan diukur supaya saiznya sama.

''Aroma makanan yang dimasak daripada dapur yang berkonsep terbuka membuka selera pelanggan dan ini yang membuatkan pelanggan akan datang semula setelah sekali mencuba,'' kata Victor.

Beliau menambah, jika memesan makanan yang ingin dikongsi, harganya juga tidak mahal, di antara RM32.90 hingga RM58.90 dan boleh dimakan bersama-sama.

Menurut Victor, ruang restoran yang seluas 8,000 kaki persegi dengan kapasiti 200 orang pada satu masa ini memilih konsep hiasan dalaman kontemporari dan pelanggan seperti berada di rumah orang Inggeris.

Suasana ini memberikan kedamaian dan ketenangan semasa pelanggan menikmati makanan sambil dihiburkan dengan alunan muzik Frank Sinatra pada era 1950-an.

Sambil menikmati makanan, suasana di Italiannies merupakan tempat yang sesuai bagi merehatkan minda, berbincang dengan rakan niaga dan menghilangkan kepenatan setelah bekerja.

Ruang restoran Italiannies dibahagikan kepada dua, iaitu ruang makan seperti kafe yang bersambung dengan bahagian bakeri yang menyediakan roti dan pastri yang dimasak setiap hari.

Ruang yang satu lagi terletak tinggi sedikit dan berhampiran dengan bar dan pentas di mana persembahan jazz diadakan pada hujung minggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: