Friday, June 4, 2010

Mengadun dan membakar kek




BERMULA minggu ini MODE membawakan ruangan Dari Dapur Azli Razali, yang akan membincangkan pelbagai tajuk menarik dalam dunia masakan.

Chef muda berusia 33 tahun yang sedang meningkat naik ini merupakan pensyarah di Jabatan Seni Kulinari di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pulau Pinang.

Meminati dunia masakan sejak kecil, Azli meraih pelbagai pengiktirafan dalam industri ini selain pernah dinobatkan sebagai juara Maggi Mencari Bintang dan chef jemputan untuk segmen Dapur Berasap dalam program Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9.

Buku masakan pertamanya bertajuk Keenakan Pencuci Mulut telah berada di pasaran. Azli boleh dihubungi melalui www.azlirazali.blogspot.com atau azlirazali77@yahoo.com.

KEK bukanlah juadah yang hanya disajikan untuk majlis hari jadi atau semasa hari perayaan tapi boleh juga dinikmati pada hari biasa.

Mungkin ada yang bercadang untuk membuat kek mereka sendiri di rumah. Pengetahuan mengadun dan membakar kek penting bagi mendapatkan hasil kek yang baik. Antara asas yang perlu diberi perhatian adalah:

*Pastikan mentega dan gula dipukul sehinga gebu dan putih untuk mendapatkan tekstur kek yang halus.

*Masukkan telur satu persatu dan bancuh dengan perlahan agar ia bercampur sebati dengan mentega dan gula.

*Selang-selikan membancuh tepung dan cecair seperti telur atau susu supaya adunan sebati.

*Panaskan ketuhar 10 minit sebelum membakar kek. Suhu yang sesuai untuk membakar kek adalah 180 darjah celsius. Pemanasan awal untuk membakar kek adalah perlu untuk mengelakkan kek menjadi bantat atau tidak naik.

*Jangan menggunakan acuan yang terlalu besar atau terlalu kecil. Kebiasaannya paras adunan perlu diisi tiga perempat penuh di dalam acuan agar kek yang dibakar tidak melimpah semasa sedang dibakar.

*Tahap kestabilan kek semasa membakar adalah - selepas 20 minit. Pintu yang dibuka kurang dari 20 minit akan mengganggu udara panas dalam ketuhar dan menyebabkan kek jatuh.

*Jangan membakar kek terlalu lama kerana akan menyebabkan kek kering.

*Guna pencucuk kek untuk menguji kek yang telah masak. Selain itu jika di permukaan tepi kek telah merenggang dari acuan juga menandakan kek sudah masak.

Diharapkan tip dan petua penyediaan kek yang dikongsikan pada minggu ini sedikit sebanyak dapat membantu pembaca dalam menyediakan kek.

Dari Dapur Chef Azli Razali akan bertemu lagi pada minggu hadapan dengan artikel yang lain pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: