Tuesday, June 1, 2010

Celina ratu kasut Bollywood


CELINA JAITLEY


NAMPAKNYA virus filem Sex In The City mula menular ke India terutamanya tentang ketagihan kasut watak utamanya, Carrie Bradshaw yang kini telah menjangkiti aktres terkenal Bollywood, Celina Jaitley.

Meskipun begitu, jika dikira dengan jumlah kasut yang dimiliki Celina, dia ternyata telah menewaskan Carrie apabila memiliki lebih daripada 1,300 pasang kasut dan angka itu akan bertambah.

Kegilaannya terhadap kasut telah memberi inspirasi kepada peminat Celina untuk menggelarnya sebagai Shoelina, nama yang secara jelas sekali merujuk kepada dirinya yang berselera tinggi terhadap kasut.

"Walaupun saya mempunyai lebih daripada 1,300 pasang kasut, saya hanya memakai lapan daripadanya.

"Semasa remaja saya mempunyai 90 pasang kasut. Apabila saya dapat membeli apartmen buat pertama kali, saya mempunyai sebuah bilik yang penuh dengan kasut-kasut kesayangan saya," katanya kepada IANS.

Bermula daripada kasut sukan, but hinggalah kepada kasut tumit tinggi berwarna emas daripada jenama Gucci - semuanya telah dimiliki Celina.

Pernah semasa penggambaran filem Thank You di Kanada, Celina telah diserang sakit gigi.

Dia sepatutnya ke farmasi untuk mendapatkan ubat tetapi setelah terlihat sebuah kedai kasut bertentangan dengan farmasi tersebut, dia tidak lagi mempedulikan tentang dirinya yang sedang sakit gigi.

Celina sebaliknya masuk ke kedai kasut itu dan keluar dengan membeli 14 pasang kasut!

"Kasut bagus untuk kaki dan juga hati saya. Bila saya beli sepasang kasut, secara tiba-tiba saya akan menjadi gembira," tuturnya.

Selain Celina, aktres Priyanka Chopra memiliki 80 pasang kasut dan menjadikan dia satu-satunya aktres India yang memiliki sepasang kasut buatan tangan yang dihadiahkan khas oleh Salvatore Ferragamo.

Tidak kalah, aktres Kareena Kapoor dan Deepika Padukone juga mengakui mempunyai almari yang penuh dengan kasut.

Sementara, aktres Lara Dutta mengakui kasut tumit tinggi yang dimiliki lebih daripada 400 pasang kasut dan Malaika Arora Khan pula mempunyai 150 kasut daripada pereka terkenal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: