BEKERJASAMA dengan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), filem Hikayat Merong Mahawangsa yang bakal ditayangkan pada awal tahun depan dan telah dijual kepada 34 negara luar, antaranya United Kingdom, Perancis, Jerman, Rusia, Kanada, Turki, Thailand, Vietnam, China dan New Zealand itu ternyata menitikberatkan kualitinya bagi mencapai taraf antarabangsa.
Mendapat khidmat pemuzik MPO dalam menghasilkan skor muzik filem itu, ia merupakan gandingan buat pertama kali.
Presiden KRU Studios yang juga Penerbit Eksekutif filem yang kini dalam proses pascaproduksi itu, Norman Abdul Halim berkata: "Bukan senang untuk mendapatkan pakar muzik dari MPO. Rakaman telah dilakukan selama tiga hari di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 23 Mac lalu.
"Jangka masa yang panjang telah digunakan untuk menggubah muziknya. Kami bermula dari Oktober tahun lalu kerana banyak penilaian perlu dibuat."
Dipimpin oleh pengarah muzik, Claus Peter Flor, keseluruhan penataan muzik karya tersebut disempurnakan oleh 105 pemuzik MPO. Muzik asalnya pula dicipta oleh komposer muda KRU Studios sebelum digubah untuk pengorkestraan MPO.
Selain skor muzik, sebuah lagu tema, Sedetik Lagi akan disampaikan oleh Anuar Zain. Berkemungkinan besar penyanyi itu akan menyampaikan versi Inggeris memandangkan filem ini dijual untuk pasaran antarabangsa. "Lagu ini akan dirakamkan oleh Anuar dalam masa terdekat. Bagi kami, sebuah lagu tema adalah berkesan dalam menjalankan promosi.
"Contohnya seperti lagu Celine Dion, My Heart Will Go On. Lagu itu telah berjaya mempopularkan filem Titanic. Lagu Sedetik Lagi hanya akan dimainkan pada penghujung filem iaitu semasa kredit akhir. Ia sebuah lagu pop dengan penambahan elemen orkestra," tambah Norman pada sidang media yang turut dihadiri ketua pegawai eksekutif MPO dan DFP, Karina Ridzuan baru-baru ini.
Menyentuh mengenai kos bayaran terhadap MPO, ujar Norman: "Kalau hendak ikut kemampuan, memang kami tidak mampu hendak bekerjasama dengan MPO. Namun, kami telah mencapai persefahaman berdasarkan harga yang ditawarkan. Tapi ini bukannya bermaksud mereka tidak menjaga kualitinya."
Menurut Norman, kerjasama dengan MPO hanya dibuat untuk filem kelapannya itu kerana tidak seperti filem-filem terbitan syarikatnya sebelum ini yang hanya disasarkan untuk pasaran tempatan, Hikayat Merong Mahawangsa sebaliknya memiliki potensi untuk pasaran luar negara, selain ia juga sejajar dengan imej MPO.
"Memang dari dulu lagi kami mahu menjual produk ini ke negara luar. Justeru, selain menjaga kualitinya, kami juga menyediakan dua versi bahasa untuk filem ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: