
PELAKON dan pengacara terkenal, Wardina Safiyyah yang sebelum ini telah menimbulkan kontroversi berhubung pertemuannya dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat selain lantang bercakap tentang artis tidak layak menjadi ikon nyata tidak mati dengan negatif khalayak.
Kontroversi yang melanda itu berjaya diharungi Wardina atau nama sebenarnya, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 31, dengan tenang sekali dan dibuktikan dengan buku penulisannya yang berjudul Mama, Saya Lapar... dan Siapa Alien.
Mungkin bagi sesetengah pelakon, mereka tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penulis buku selepas tidak berapa aktif dalam bidang sebelum itu.
Dua buku berkenaan kanak-kanak itu dihasilkan oleh Wardina sebagai usaha untuk memberi pengetahun dalam ilmu keibubapaan.
Kata Wardina, buku tersebut ditulis untuk mengembangkan lagi penghasilan buku tempatan genre bidang keibubapaan dan kanak-kanak dalam bahasa Melayu memandangkan ia agak terhad di pasaran.
"Sebelum ini agak sukar untuk mendapatkan buku berbahasa Melayu yang berkualiti tinggi dan ringkas untuk bacaan anak-anak saya.
"Kesukaran itu adalah antara pendorong bagi saya untuk menghasilkan buku-buku ini. kebanyakan yang banyak kat pasaran adalah berbahasa Inggeris," tambahnya lagi.
Wardina berkata, dua buah buku yang dilancarkan itu berjudul Mama, Saya Lapar... adalah buku yang ditulis khas untuk golongan ibu manakala buku Siapa Alien adalah siri cerita ilustrasi untuk kanak-kanak.
"Tujuan saya menghasilkan buku bertajuk Mama, Saya Lapar... adalah untuk membantu golongan ibu bapa mengenalpasti apa yang patut dan tidak patut dilakukan dalam mendidik anak masing-masing terutamanya dari segi pemakanan.
![]() |
| WARDINA bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar dan Nor Juma Habib pada majlis pelancaran bukunya. |
"Manakala, buku Siapa Alien adalah bahan bacaan ringan, menarik dan bersesuaian sama ada untuk dibaca anak-anak sendiri atau diceritakan ibu bapa kepada anak-anak.
"Buku ini adalah hasil dan penceritaan pengalaman saya termasuk semasa menjadi guru tadika satu masa dulu. Saya mengambil masa yang agak lama untuk memastikan dapat menyiapkan buku yang berkualiti," tambahnya.
Buku hasil karya Wardina itu telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar.
Turut hadir, selebriti TV, Datin Nor Juma Habib Mohamed yang juga merupakan sahabat karib Wardina.
Bagi Raslin, sebuah buku merupakan empat penjuru alam, sesiapa yang tidak membaca seperti tidak pernah mengembara.
"Buku pula perlu dibaca untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan yang dirakam oleh penulisnya dan ilmu pengetahuan adalah pengupaya dalam memajukan pemikiran dan minda bangsa.
"Kejayaan Wardina ini juga sekali gus meletakkan diri beliau sebagai entri terbaru dalam direktori penulis negara yang kini berjumlah sekitar 5,000 orang," katanya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: