Saturday, June 12, 2010

Bukit Jawi cabar minda


Beraksi di Jawi perlu ikut kemampuan diri jika mahukan catatan yang baik.


PULAU Pinang tidak mempunyai banyak lapangan golf. Di bahagian pulau hanya ada satu iaitu Kelab Golf Bukit Jambul.

Di sebelah seberang ada beberapa, tetapi antara yang berkualiti ialah Kelab Golf Bukit Jawi.

Tetapi ini bukan lapangan bertaraf lima bintang. Namun bagi mereka yang ingin mencuba dan merasai pengalaman baru, berbaloi untuk datang mencuba.

Bukit Jawi ada dua lapangan 18 lubang iaitu Hill dan Lake. Hill dengan jarak 6,385 meter merupakan lapangan bertaraf kejohanan dengan par-72.

Cabaran lapangan ini ialah fairway beralun di samping barisan pokok kelapa sawit matang menjadi pengapit setiap sasaran.

Greennya agak besar tetapi mengelirukan terutama untuk mereka yang baru pertama kali beraksi.

Lapangan ini nampak mudah tetapi ia tidak sesenang pada pandangan mata. Bak kata orang belum cuba belum tahu. Bila sudah merasa barulah tahu cabaran sebenar di Bukit Jawi.

Untuk lapangan Hill, ia agak panjang berbanding Lake yang hanya sejauh 6,163 meter.

Kesempatan menguji 18 lubang lapangan Hill baru-baru ini mendapati pemain tidak boleh mengambil mudah dengan lapangan ini.

Bagi pemain yang berhandikap tinggi dan sederhana, lubang yang panjang-panjang di tambah dengan fairway yang beralun cukup menghukum.

Bermula saha di par-4 lubang satu sejauh 400 meter ia telah menguji keupayaan kita menguruskan lapangan. Di sini pukulan seolah-olah akan ke kiri, ke arah pokok kelapa sawit ekoran fairwaynya yang menyenget dari kanan ke kiri. Jadi kenan berhati-hati jika tidak mahu terperangkap.

Malah par-3 juga tidak senang kerana jarak antara 140 ke 200 meter.

Selain jaraknya yang jauh, elemen air turut tidak boleh diketepikan. Dua lubang par-3 lapangan Hill ada halangan berair iaitu lubang 12 sejauh 170 meter 160 meter dan dan 16 dengan jarak 200 meter dari tee biru.

Kedua-dua lubang ini memerlukan pukulan jauh melepasi air jika mahukan catatan yang baik.

Kedua-dua lubang penutup par-5 iaitu sembilan dan 18 juga mencabar kerana panjang.

Lubang sembilan sejauh 540 meter sementara 18 505 meter.

Di lubang sembilan ada kolam di tengah-tengah yang memerlukan pemain bermain dengan selamat.

Lubang 18 pula dengan jarak 505 meter memang meletihkan. Ia benar-benar memerah keringat terakhir setiap pemain. Kebanyakan pemain berhandikap tinggi, mereka koyak rabak di lubang ini.

Secara keseluruhan lapangan Hill dibina memang untuk kejohanan. Sebab itu ia agak sukar dan mencabar.

Namun bagi mereka yang bijak mengurus permainan, pasti mampu pulang dengan dua atau tiga par bagi yang berhandikap tinggi.

Selain lapangan golf, Bukit Jawi juga mempunyai kemudahan penginapan untuk pemain dari luar. Dengan pemanduan yang hanya mengambil masa kira-kira tiga jam, ia sesuai untuk pemain dari Lembah Klang yang sekali sekala mahu berubah angin.

Jika ikut Lebuhraya Utara Selatan keluar di Tol Bukit Jawi dan terus ke kanan.

Pihak pengurusan lapangan ini juga menyediakan pakej istimewa inap dan main untuk pemain dari luar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: