Thursday, June 10, 2010

Bukan sekadar menyanyi




TIDAK hanya berbakat dalam nyanyian, kebanyakan penyanyi kini cenderung untuk menghasilkan lagu sendiri. Jika berkemampuan mereka juga bertindak sebagai penerbit lagu dan album mereka sendiri.

Jika dipandang lebih jauh trend baru ini sememangnya baik untuk industri muzik tempatan apabila lebih banyak muzik baru dihasilkan. Ia juga mewujudkan persaingan dan pertumbuhan sihat supaya industri tempatan berkembang dengan lebih maju.

Namun, penyanyi yang benar-benar berbakat dalam penciptaan lagu tidak seramai mana. Jumlah mereka boleh dibilang dengan jari dan kebanyakan daripada mereka lahir daripada perkembangan muzik indie. Kosmo! menyenaraikan beberapa nama yang dirasakan mempunyai pencapaian dan potensi yang besar dalam industri muzik tempatan.

Yuna

Kemunculan gadis bertudung yang bermain gitar di pentas industri muzik tempatan benar-benar memberi impak yang besar. Hanya menerusi single pertama, Dan Sebenarnya ia membawa kejayaan besar buat gadis berusia 23 tahun itu. Peluang yang diberikan untuk mengembangkan bakat ke Amerika Syarikat daripada syarikat pengurusan Indie-Pop yang berpangkalan di Los Angeles menjadikan profil kerjayanya sedikit tinggi berbanding penyanyi seangkatan dengannya. Meskipun popular dengan lagu Melayu, Yuna sebenarnya banyak mencipta lagu dalam bahasa Inggeris antaranya Deeper Conversation, Backpacking Around Europe, After Midnight dan Missing Star.

Lagu Popular: Dan Sebenarnya dan Cinta Sempurna.

Aizat

PENYANYI kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Aizat sememangnya memberi warna dalam industri muzik tempatan. Kebolehannya mencipta, menulis dan menyanyikan lagu dengan baik menyebabkan lagu-lagunya tidak putus diputarkan di corong-corong radio. Malah, dia juga bergelar juara Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) selain menang kategori persembahan terbaik.

Lagu Popular: Hanya Aku Yang Mampu, Lagu Kita dan Susun Silang Kata.

Noh Hujan

BERGELAR vokalis kepada sebuah band indie popular memudahkan Noh untuk bereksperimen dengan karya-karya ciptaannya. Hampir kesemua lagu yang dimuatkan dalam dua buah album Hujan adalah hasil nukilan Noh sendiri. Mempunyai identiti sendiri dalam setiap lagu yang dihasilkan menjadikan lagu-lagu Hujan segera menjadi siulan peminat. Noh juga mencipta lagu untuk ramai penyanyi lain.

Lagu Popular: Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada dan Mencari Konklusi.

Meet Uncle Hussain (MUH)


MEET UNCLE HUSSAIN pernah menggegarkan persada seni tanah air dengan bakat yang ada pada diri mereka.


BAND yang pernah diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) itu adalah antara band perintis muzik indie di Malaysia. Meskipun tidak lagi bersama vokalisnya Lan, MUH yang kini dianggotai oleh Taja dan Afat terus bergerak diiringi dengan pemuzik undangan bersama karya-karya indah mereka.

Lagu Popular: Lagu Untukmu dan Lalala...Kerja.

Faizal Tahir

AURA dan bakat yang dikesan daripada bintang realiti One In A Million terbitan 8TV itu tidak dapat disangkal lagi. Kerap berkolaborasi bersama komposer Audi Mok dalam penciptaan lagu dan lirik menjadikan setiap karya yang dihasilkannya cukup berkualiti dan mudah memikat halwa telinga pendengar. Faizal juga mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi lain seperti Maya Karin, Farah Asyikin, Bob dan Fiq.

Lagu Popular: Bencinta, Sampai Syurga dan Cuba.

Bunkface




POPULARITI band yang baru melahirkan sebuah album, Bunkface, datang mencurah selepas mereka muncul dengan single pertama berjudul Situasi. Selepas itu setiap single yang dilahirkan mereka pasti mendapat sambutan daripada peminat. Gabungan Sam (vokal/gitar), Ahmad Farhan Hashim atau Paan (gitar utama) dan Mohd. Farouk Jaafar atau Youk (bass/suara latar) memantapkan lagi nama Bunkface apabila ketiga-tiga mereka bekerjasama dalam semua perkara termasuk penciptaan lagu. Bunkface telah menerima anugerah Rockstar Award, Breakout Award dan Ultimate Award di Shout Award 2009 anjuran 8TV.

Lagu Popular: Situasi, Revolusi, Prom Queen, Bunk Anthem dan Extravaganza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: