Thursday, June 10, 2010

Periuk nasi komposer tergugat?




SENARIO industri muzik kini terlalu jauh berbeza dengan zaman 80-an dan 90-an yang mana ketika itu masyarakat memberi sokongan penuh kepada penggiat muzik bermula daripada penyanyi sehinggalah kepada komposer yang membikin lagu.

Pertumbuhan pembikin muzik ketika itu juga bak cendawan yang tumbuh selepas hujan. Ia berbeza dengan situasi hari ini yang ketandusan tenaga kreatif itu.

Lihat sahaja pada pelbagai acara pertandingan muzik, balik-balik nama komposer yang sama disebut sebagai pemenang.

Jumlah mereka yang bergiat aktif secara sepenuh masa sebagai seorang komposer juga tidak seramai waktu dahulu. Ditambah kini penyanyi juga semakin bijak dan kreatif kerana mereka sudah mampu mencipta karya untuk diri sendiri.

Adakah bakat kreatif kebanyakan penyanyi muda kini menggugat periuk nasi komposer-komposer terkenal?

Kami masih diperlukan – Adnan

MENURUT penerima Anugerah Wirama dalam Anugerah Industri Muzik ke-17, Adnan Abu Hassan, walaupun kebanyakan penyanyi sudah boleh mencipta lagu sendiri, khidmat komposer sepenuh masa sepertinya masih diperlukan.

Terangnya, bukan semua penyanyi mampu untuk mencipta lagu untuk penyanyi lain sebaik komposer sepenuh masa kerana mereka lebih cenderung untuk mencipta lagu mengikut selera mereka sahaja.

“Saya dan komposer yang lain selalunya akan kaji dulu seseorang penyanyi dari segala segi sebelum membikin lagu untuk mereka.

“Golongan seperti saya adalah golongan bukan penyanyi, jadi kami tidak terikat dengan mana-mana stail persembahan lagu berbeza dengan penyanyi yang boleh mencipta lagu kerana mereka sudah terikat dengan selera dan jiwa muzik mereka,” katanya yang sudah 35 tahun aktif sebagai komposer.

Cerita pemegang ijazah sarjana muda jurusan muzik profesional dari Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat itu lagi, ketandusan komposer sepenuh masa sepertinya dan kewujudan banyak sekolah muzik menyebabkan lebih ramai tenaga kreatif lahir daripada penyanyi seiring dengan perkembangan muzik indie di Malaysia.

“Dahulu tidak ramai komposer yang bergelar penyanyi, kalau ada pun sikit sahaja. Tetapi hari ini disebabkan tidak ramai komposer baru menyebabkan kurangnya lagu baru. Ini adalah antara punca mengapa penyanyi mencipta lagu sendiri. Penyanyi juga lebih berani mengeluarkan idea mereka sendiri.


ADNAN ABU HASSAN


“Rasanya lebih baik untuk penyanyi yang mempunyai bakat mencipta lagu kerana jiwa dalam muzik ciptaannya lebih baik daripada lagu yang dicipta orang lain,” kata pencungkil bakat penyanyi hebat negara seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Misha Omar itu lagi.

Terangnya, ramai penyanyi kini mempunyai inisiatif untuk menambah ilmu pengetahuan mereka dalam bidang muzik dan tidak sekadar menyanyi sahaja.

“Apa yang saya lihat penyanyi sekarang mereka sudah tahu apa yang mereka inginkan, ke mana arah tuju muzik yang ingin dibawa. Sebab itu kita lihat banyak penyanyi muda kita tidak memerlukan komposer lain kerana mereka sendiri mampu mencipta lagu-lagu yang hebat,” ucapnya.

Meskipun begitu, kata Adnan yang menggemari lagu ciptaannya Camar Yang Pulang nyanyian Aishah serta Persimpangan Dilema nyanyian Nora, perkembangan itu tidak pernah mengganggu gugat periuk nasi seorang komposer sepertinya.

“Saya akui industri muzik seluruh dunia tidak seindah waktu dulu, begitu juga dengan Malaysia, tetapi rezeki itu tetap ada. Saya menganggap tidak wujud persaingan antara komposer sepenuh masa dan komposer yang bergelar penyanyi kerana penyanyi lebih cenderung untuk mencipta lagu buat diri sendiri bukannya untuk orang lain,” katanya.

Trend baru di Malaysia – Audi Mok

KOMPOSER yang terkenal dengan lagu Bencinta dendangan Faizal Tahir ini memberitahu, meskipun terdapat ramai penyanyi yang berkemahiran untuk mencipta lagu, dalam masa yang sama lebih ramai penyanyi yang tidak boleh mencipta lagu.

“Apa yang saya lihat trend penyanyi komposer ini masih baru di Malaysia, dulu memang ada tetapi tidak ramai yang benar-benar bagus.

“Memang penyanyi yang mampu cipta lagu tidak akan minta lagu dengan komposer seperti saya tetapi kalau tidak ada orang minta lagu dengan saya, sudah lama saya berhenti jadi komposer dan cari kerja lain. Hakikatnya khidmat saya dan komposer lain amat diperlukan,” kata suami kepada penyanyi Nikki yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi.


AUDI MOK (kanan) ialah tenaga penting di sebalik kerjaya muzik Faizal Tahir.


Kerap bekerjasama dengan penyanyi berbakat dalam penulisan lirik dan penciptaan lagu Faizal Tahir, ia tidak pernah membuatkan Audi merasakan komposer sepertinya akan gulung tikar.

“Kami komposer hidup dengan wang produksi dan wang royalti. Bayangkan hanya dengan sebuah lagu, kami akan dapat wang untuk seumur hidup.

“Malah kami cipta lagu lebih banyak daripada penyanyi yang juga bergelar komposer kerana itu sahaja kerja yang kami buat. Kami tidak menyanyi dan tidak buat persembahan pentas,” ulasnya.

Tidak ramai penyanyi berkemampuan – Aidit Alfian

BUAT Aidit Alfian, komposer yang sering bergandingan dengan penulis lirik Ad Samad dalam kebanyakan karya ciptaannya, dia sedar sudah semakin ramai penyanyi yang berbakat dalam penciptaan lagu.

Mereka termasuklah Noh Hujan, Yuna, Ana Raffali, band Meet Uncle Hussain dan Bunkface. Bagaimanapun, tegas Aidit, mereka lebih cenderung dalam penciptaan lagu-lagu sendiri.

“Kalau macam itu apa nak jadi dengan penyanyi seperti Ramlah Ram, Ning Baizura dan Mawi, siapa nak buat lagu untuk mereka kalau bukan komposer seperti saya,” balasnya.

Luah Aidit, bidang penciptaan lagu juga ada naik turunnya seperti penyanyi. Tidak ramai penyanyi yang mampu mencipta lagu hit untuk penyanyi lain berturut-turut kecuali untuk dirinya sahaja.

“Itu bezanya penyanyi komposer dengan komposer sepenuh masa. Tidak ramai penyanyi yang dapat gantikan komposer yang boleh buat lagu untuk ramai penyanyi yang menyanyikan pelbagai genre lagu.

“Dalam sejarah muzik Malaysia, belum ada lagi penyanyi yang saya lihat mampu mencipta lagu hit banyak kali kecuali lagu yang dicipta untuk diri sendiri,” katanya yang terlibat dalam program realiti baru Keynote.

Aidit yang mula dikenali dengan lagu hit pertamanya pada tahun 1991 berjudul Cita dan Air Mata dendangan kumpulan CRK memberitahu, dia mampu hidup dengan baik dan hanya bergantung kepada kerja kreatif sebagai seorang komposer.

“Bukan mudah untuk jadi komposer, apa yang penting adalah bakat, kerja keras, versatil dan perlu ada identiti sendiri dalam setiap lagu yang dihasilkan.

“Cuba lihat perbezaan lagu antara Saari Amri, Eddie Hamid dan Adnan Abu Hassan, semuanya cipta lagu balada tetapi mereka mempunyai stail sendiri yang original,” kata pemilik Indah Karya Publishing Sdn. Bhd.

Muzik itu perkongsian – Ajai

BERGELAR penyanyi, komposer dan penerbit terbaru Ajai kini sibuk dengan program Keynote sebuah program realiti yang mencari bakat baru dalam bidang penciptaan lagu, katanya, tidak pernah wujud persaingan dalam muzik.


AJAI


“Muzik itu universal, semua orang boleh kongsi bersama tidak kiralah penyanyi atau komposer, apa yang penting adalah bakat. Kalau penyanyi itu boleh cipta lagu itu satu bonus buatnya,” katanya

Menyedari industri muzik tempatan ketandusan komposer baru, Ajai mengambil inisiatif menghasilkan program Keynote. Setakat hari ini, Ajai dan pasukannya telah menjelajah ke tiga lokasi termasuk di Sabah.

“Apa yang saya lihat ramai yang datang uji bakat sangat berbakat dan ada lagu yang dipersembahkan cukup bagus yang sepatutnya sudah ada dalam album mana-mana penyanyi.

“Tetapi disebabkan mereka tidak tahu ke mana hala tuju, bakat dan lagu yang indah itu terkubur begitu sahaja. Lain pula halnya dengan komposer yang mampu menyanyi. Mereka dengan mudah akan mempromosikan karya mereka melalui persembahan yang dilakukan sendiri,” ungkapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: