|
|
MUNGKIN bagi sesetengah orang tubuh badan yang besar tidak akan menjadi masalah asalkan jadual kehidupan dapat diteruskan dengan selesa.
Namun ada juga orang yang merasakan memiliki tubuh badan yang besar sebagai beban dan harus mencari jalan untuk menurunkan berat badan ke tahap yang lebih ideal.
Bagi pelawak Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 40, walaupun bergelar selebriti dia mahu menurunkan berat badannya kerana rasa sudah sampai masanya untuk mementingkan kesihatan.
Katanya, faktor untuk menjaga kesihatan adalah satu sebab kenapa dia mendaftarkan diri untuk turut serta dalam program realiti, The Biggest Loser Asia musim kedua.
Ini kerana Bob yang mempunyai berat badan 218 kilogram (kg) menyasarkan untuk mendapat berat sekitar 100 kg jika berjaya menyertai program realiti tersebut.
"Kalau dapat turunkan sehingga 100 kg pun sudah cukup baik. Saya selalu letih bila badan macam ini. Kadang-kadang kalau nak keluar dengan keluarga pun susah sebab saya kerap letih," katanya.
Menurut Bob yang kelihatan bersemangat menyahut cabaran untuk melayakkan diri menyertai program realiti televisyen yang membantu banyak individu bertubuh gemuk hidup dengan disiplin sekali gus mencapai misi untuk kurus, dia sudah menanam hasrat menyertai program tersebut sejak ia diperkenalkan pada musim pertama dulu.
|
|
"Sebenarnya sejak musim pertama lagi saya sudah menaruh harapan untuk menyertai pertandingan ini. Tetapi apa boleh buat masa uji bakat yang lalu saya pergi menunaikan Umrah.
"Saya perlu menjaga kesihatan mulai sekarang, lebih-lebih lagi sudah tiga kali saya dimasukkan ke hospital berpunca daripada berat badan saya," katanya ketika ditemui pada uji bakat program itu di Fitness First, The Curve Damansara baru-baru ini.
Sementara itu, seramai 198 mencuba nasib untuk uji bakat The Biggest Loser Asia musim kedua yang diadakan di The Curve, Damansara baru baru ini.
Untuk musim yang kedua, program realiti untuk menurunkan berat badan pada tahap yang ideal itu menawarkan hadiah utama wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM360,000).
Uji bakat yang berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang itu turut diadakan di beberapa negara lain seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina.
Terlepas untuk menyertai The Biggest Loser Asia musim pertama, mendorong Nor Akma Tumiran, 22, yang mempunyai berat badan 167 kg untuk mencuba nasib bagi musim ini.
Katanya, orang yang berbadan besar bukan sahaja kurang sihat tetapi sukar untuk mendapatkan kerja.
"Sebelum mendapat kerja sekarang, terlalu susah untuk saya dapat kerja. Macam-macam alasan yang diberikan. Bagi saya berbadan besar adalah agak sukar untuk menjalani kehidupan seharian dengan normal," katanya.
Bagi Nurziana Mohamed Azmi, 24, pula, tujuan dia menyertai program itu adalah untuk mengubah kehidupanya.
Jelasnya, dia merasakan sudah sampai masanya dia perlu untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan program ini adalah amat sesuai untuk dirinya.
"Saya benci dengan sikap saya yang malas. Program ini akan mendisiplinkan saya terutamanya dalam menjalani jadual pemakanan seharian," katanya yang mempunyai berat badan 144 kg.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: