JOHOR BAHRU - Perairan Pengerang, Kota Tinggi di sini masih terus 'popular' di kalangan kapal-kapal tangki asing untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram.
Dalam kejadian terbaru pagi kelmarin, Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan sekali lagi berjaya menahan dua buah kapal tangki yang sedang melakukan pemindahan 100,000 liter minyak tanpa permit di perairan tersebut.
Kegiatan dua kapal terbabit, kapal MT Vanda dan MT Mimosa dikesan kira-kira 2.3 batu nautika Tanjung Stapa pukul 9.25 pagi.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abd. Wahab dalam kenyataannya berkata, kedua-dua kapal berkenaan ditahan oleh KM Tegas yang ketika itu menjalankan rondaan rutin Operasi Perkasa Selatan di perairan tersebut.
"KM Tegas yang diketuai Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak bersama dua pegawai dan 29 anggota berjaya mengesan dua buah kapal yang berhimpit antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan dan disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal," katanya dalam kenyataan itu semalam.
Abdul Hadib berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau permit daripada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: