Wednesday, June 23, 2010

Kontraktor dijel 12 tahun


Mohd. Zahari


JOHOR BAHRU - Menangis teresak-esak sambil dipeluk ramai ahli keluarga di dalam mahkamah.

Demikian reaksi spontan seorang kontraktor sebaik dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian isterinya empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Kamardin Hashim memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa mulai tarikh Mohd. Zahari Embong, 40, ditangkap iaitu pada 11 Mac 2006 setelah tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Kamardin semasa penghakimannya berkata, hukuman perlu dijatuhkan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan dan menimbang kepentingan awam.

"Tambahan pula kesalahan yang dilakukan adalah menyebabkan kematian. Wajar dikenakan hukuman berat biarpun yang mati adalah ahli keluarga sendiri.

"Selepas menimbang semua perkara, saya jatuhkan hukuman penjara 12 tahun bermula dari tarikh tangkapan," katanya.

Sebaik keputusan dijatuhkan, Mohd. Zahari yang berbaju kemeja T berwarna kuning krim dan berseluar jeans dilihat sebak dan ada beberapa ahli keluarganya meluru ke arah tertuduh lalu memeluknya sambil menangis teresak-esak sebaik tamat prosiding.

Mohd. Zahari sebelum itu didakwa menyebabkan kematian isterinya, Mardziah Mansor, 32, di rumahnya, di Jalan Pulasan 29, Taman Kota Masai, di sini di antara pukul 7 hingga 8.40 malam, 11 Mac 2006.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: