SEPANJANG tiga tahun pembabitan dalam seni, Ainul Aishah boleh berbangga kerana impak lakonannya sudah sampai kepada peminat. Ramai yang memberi perhatian terhadap lakonannya menerusi drama-drama yang disiarkan di kaca TV. Dia tidak perlu bersusah payah mendaki dari satu produksi ke satu produksi seperti dulu bagi mengetuk pintu untuk mencari 'job'.
"Alhamdulillah memang banyak perbezaannya dulu dan sekarang. Saya tak perlu bekerja keras sangat nak perkenalkan diri kepada sesiapa kerana nama saya dah dikenali. Bagaimanapun saya masih belum boleh berbangga kerana perjalanan masih jauh dan banyak yang perlu dipelajari," katanya.
Jelas tergambar keceriaan di wajah gadis berkulit sawo matang ini apabila bercerita mengenai perubahan kariernya. Namun begitu wajahnya berubah mendung apabila ditanyakan mengenai isu sensasi yang melingkari kariernya. Sebelum ini dia dikatakan sengaja 'menempel' muka di majlis-majlis membabitkan artis untuk mencari publisiti murahan.
Paling teruk dia juga dikatakan sanggup tampil seksi supaya namanya mencetuskan sensasi. Cerita-cerita sebegini menjejaskan namanya yang sebelum ini dilihat bersih daripada sebarang kontroversi. Timbul andaian adakah Ainul begitu terdesak untuk popular?
Mengulas perkara tersebut, Ainul menjelaskan begitu 'terpukul' dan sangat kecewa diperlakukan sedemikian. Malah kerana itu juga dia menjadi sasaran keluarganya yang mahukan penjelasan sebenar."Dakwaan yang dilemparkan itu sangat mengecewakan saya. Sebenarnya saya biasanya akan hadir ke sesuatu majlis dengan orang yang saya rapat. Saya bukanlah jenis yang suka sangat pergi ke majlis tanpa sebarang tujuan.
"Begitu juga dengan dakwaan yang mengatakan saya suka tampil seksi malah dikatakan tak pakai 'bra' (baju dalam) ketika muncul di khalayak ramai baru-baru ini. Itu dah melampau! Takkanlah saya sanggup nak buat perkara itu? Saya hairan kerana sering dituduh. Kadangkala apa yang saya pakai itu biasa, tapi dianggap seksi pula.
Mungkin dek perasaan kecewa juga, Ainul memberitahu dia bukanlah hadap sangat dengan dunia glamor. Malah sejak awal menceburi bidang ini dia sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang berlaku termasuklah pasang surut.
"Sejak masuk dalam seni, saya sudah nampak warna sebenar alamnya dan sentiasa terima hakikat apa yang berlaku. Saya mengaku sukakan bidang ini, tapi kalau sudah ditakdirkan tiada rezeki, saya tak kisah akan beralih angin.
"Jika sekiranya orang tak menghargai juga bakat saya, memang saya tak dapat berbuat apa-apalah. Tapi saya takkan berputus asa dan berfikiran positif kerana artis lain juga mampu bertahan apabila diasak dengan pelbagai cabaran," katanya.
Bercakap mengenai kerjaya lakonannya yang semakin berkembang, Ainul kini sibuk di lokasi drama Bola Cinta yang akan ditayangkan di TV2, RTM bermula 14 Jun ini. Pada masa sama, dia berlakon drama Idola Kecil The Series untuk TV9.
"Drama Bola Cinta sebanyak 30 episod ini diterbitkan oleh Nafalia Corporation dan memang dihasilkan khas sempena demam bola sepak Piala Dunia. Turut berlakon ialah Shah Jaszle, Memey dan pelakon baru, Aidil Aziz. Kisahnya berkisarkan cinta segi antara pemain bola sepak dengan anak jurulatih dan pemilik kelab bola sepak itu.
"Ceritanya memang menarik dan perlu ditonton oleh semua peminat. Manakala dalam Idola Kecil The Series pula, saya bawakan watak Cikgu Azizah. Pengalaman berlakon dengan kanak-kanak memang menyeronokkan kerana pelbagai gelagat mereka di lokasi sangat menceriakan saya.
"Setakat ini saya sudah berlakon hampir 20 drama. Mungkin orang boleh kata saya sudah boleh 'demand' harga, tapi hakikatnya saya tetap macam dulu. Bayaran yang diletakkan untuk mana-mana tawaran tetap sama kerana yang penting ia mesti setimpal dengan kerja saya. Lainlah kalau saya pelakon popular, bolehlah letak harga tinggi.
"Saya juga tak lagi didatangi tawaran berlakon filem sekarang. Kali terakhir saya muncul dalam filem ialah menerusi Histeria yang diterbitkan pada tahun 2008. Saya mengaku sangat rindu berlakon tapi beranggapan tiada rezeki lagi," katanya.
Seperti mana yang dijelaskan oleh Ainul, minatnya dalam seni begitu menebal termasuklah dalam nyanyian. Justeru, dia mengambil inisiatif menghasilkan single yang memuatkan dua lagu. Dia puas dan menarik nafas lega kerana impian yang sudah lama terpendam ini akhirnya menjadi kenyatan.
"Saya sebenarnya minat nyanyian tapi rezeki lebih terarah kepada lakonan. Apabila sudah ada peluang, saya buatlah album menggunakan duit sendiri. Saya dah bersedia untuk berdepan dengan segala kritikan. Kenapa nak perlu takut sedangkan saya ada bakat menyanyi?
"Single ini dirakamkan pada hujung tahun lalu. Ia ambil masa sikit kerana saya sibuk dengan penggambaran drama. Saya gembira kerana ia berjaya juga disiapkan. Single berjudul Don't Worry Honey ini diterbitkan secara bersama oleh saya, AG Coco dan Elly Awanband. Asalnya lirik lagu ini dalam bahasa Inggeris, namun akhirnya ditukar kepada Bahasa Melayu atas nasihat.
"Saya tak nampak kesalahan judulnya dikekalkan dalam bahasa Inggeris kerana sebelum ini pun kita ada judul lagu seperti Drama King nyanyian Meet Uncle Hussain. Konsep lagu yang ditampilkan ialah pop. Selain itu saya juga menghasilkan lagu dan lirik sendiri berjudul The Old Him. Saya dapat kerjasama AG Pop Shuvit yang membuat susunan muzuik lagu ini.
"Buat masa ini single tersebut akan dihantar ke semua stesen radio untuk diperdengarkan kepada peminat. Saya bersyukur kerana ada peminat sudah masukkan lagu saya dalam YouTube dan ternyata ia mendapat reaksi yang bagus," katanya.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Ainul Aishah Azizan
TARIKH LAHIR: 16 April 1985
USIA: 25 Tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KARIER: Pelakon dan penyanyi
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia Malaysia (MMU)
DRAMA: Membintangi puluhan drama antaranya Mama Rock, Bong, sitkom Anak Mami, KL menjerit The Series, Enigma, Merah Puteh, Mataku Nampak Hantu, Kecuali Cintamu, Senja Permai, Spa Qistina, Bola Cinta dan Idola Kecil The Series.
FILEM: Nana Tanjung, Otai, Nana Tanjung 2, Histeria, Skrip 7707
HOBI: Menonton wayang dan melayari internet
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: