Tuesday, June 15, 2010
Agen ah long kena cekup
BATU PAHAT - Banyak pihak tidak mahu melepaskan peluang sempena Piala Dunia di Afrika Selatan untuk mengaut keuntungan dan tidak terkecuali ah long yang menyediakan pinjaman kepada kaki judi yang ingin bertaruh perlawanan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, satu tangkapan dilakukan di Ayer Hitam terhadap seorang pemuda yang sedang asyik menyelitkan kad dan juga risalah di kereta yang terdapat di pekan berkenaan, kelmarin.
Menurutnya, cara berkenaan adalah salah satu cara menarik orang ramai sempena Piala Dunia dengan berjudi dan menghubungi mereka jika memerlukan wang.
“Tawaran istimewa diberikan iaitu peminjam tidak akan dikenakan bunga jika dapat membayar jumlah hutang mereka dalam masa lima hari pinjaman.
“Selain kad dan risalah, sindiket ah long berkenaan juga mengedarkan jadual perlawanan Piala Dunia sebagai rujukan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Batu Pahat.
Ibrahim berkata, pemuda berkenaan ditahan kerana telah melakukan beberapa kesalahan seperti mengedarkan iklan tanpa permit dan juga bertindak sebagai agen ah long.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan seperti mencari ketua ah long, tempat perjudian dan tempat mencetak kad dan risalah memandangkan pemuda yang ditangkap hanyalah orang bawahan sahaja.
“Semenjak 1 Jun lalu sehingga 13 Jun sebanyak 122 banner dan poster telah diturunkan dan semuanya berkaitan dengan kegiatan ah long yang menyediakan pelbagai tawaran.
“Sempena Piala Dunia yang berlangsung sekarang ini pihak polis akan meningkatkan usaha untuk membanteras kegiatan perjudian dan juga ah long,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: