Monday, June 28, 2010

42 cedera bot terbalik di Thailand


BEBERAPA anggota polis dan penyelamat berjalan bersama seorang mangsa yang cedera di kepala.


BANGKOK - Dua bot laju yang membawa pelancong-pelancong Thailand dan asing terbalik selepas berlanggar di kawasan di antara Pulau Ko Phangan dan Pulau Ko Samui yang terletak kira-kira 600 kilometer dari sini, semalam dengan menyebabkan 42 orang cedera dan dua lagi hilang.

Kejadian itu berlaku pada malam kelmarin apabila sebuah bot yang membawa sejumlah penumpang ke parti bulan penuh bertembung dengan bot yang membawa penumpang balik dari parti itu.

Parti tersebut yang terkenal di kalangan pelancong dan dianggap sebagai salah satu daripada parti pantai terbesar di dunia didakan di sebuah pantai di Koh Phangan.

Dalam kejadian itu, seramai tujuh warga Australia turut cedera.

Menurut polis, pemandu-pemandu bot itu bertindak melarikan diri selepas mereka dibawa ke darat.

Sementara itu, menurut laporan agensi berita Bernama, Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Balai Polis Samui, Sarjan Mejar Kanan Adipong Thepee berkata, rakyat Malaysia yang cedera itu dikenali sebagai Perminder Grewa, 25, yang kini menerima rawatan pesakit luar di Hospital Bangkok di Samui kerana cedera ringan.

Warga asing lain yang terlibat dalam perlanggaran itu ialah dari Norway, England, Iceland, Singapura, Israel dan Taiwan.

Katanya, empat warga asing yang cedera parah dalam perlanggaran itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut sementara mangsa lain dirawat di dua lagi hospital iaitu Hospital Bandon Inter dan Hospital Thai Inter, kedua-duanya terletak di Samui.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: