Saturday, February 20, 2010

Pembebasan yang bersyarat




AZMI, 28, hampir ke tali gantung tetapi diperintah menjalani hukuman sepuluh tahun penjara atas kesalahan memiliki 20 kilogram ganja ketika ditahan tujuh tahun lalu.

Namun, selepas menunjukkan kelakuan yang baik selain memenuhi syarat-syarat untuk diparol, Azmi dibebaskan pada bulan April 2008. Kini dia menjalani tempoh parol sehingga waktu yang ditetapkan.

Lebih manis, dengan keazaman untuk menjadi manusia berguna selepas dibebaskan, Azmi mendapat kepercayaan majikan untuk terus bertugas sebagai juruwang sebuah stesen minyak walaupun selepas dibebaskan sepenuhnya kelak.

“Selepas mendapat pelepasan parol, saya memang berazam untuk berubah dan benar-benar menyesal dengan kesalahan jenayah yang saya lakukan sebelum ini.

“Saya juga tidak mahu jumpa lagi dengan ‘kawan-kawan’ lama yang sama-sama terbabit dengan dadah. Saya mahu terus berada di sisi keluarga dan berusaha untuk memiliki masa depan yang lebih baik,” katanya yang bercita-cita membuka pusat mencuci kereta dalam masa terdekat ini.

Menurut Azmi, untuk diterima masyarakat seseorang ODP itu mesti menunjukkan kepada masyarakat bahawa mereka benar-benar insaf dan berubah serta mesti jujur dalam melakukan pekerjaan.

“Saya juga sentiasa berusaha untuk berubah dan meningkatkan taraf hidup supaya dapat membantu keluarga yang selama ini banyak menyokong saya,” katanya ketika ditemui di baru-baru ini.

Sementara itu, Lawrence, 45, adalah bekas penagih dan pengedar dadah secara kecil-kecilan sedang menjalani tempoh parol dan bakal dibebaskan pertengahan tahun ini.

“Sekarang kehidupan saya lebih selesa. Saya dapat kembali bersama isteri dan anak tunggal yang masih bersekolah serta dapat bekerja dan tidak mahu membebankan isteri lagi.

“Pada mulanya memang susah. Tetapi saya tidak boleh putus asa dan mesti berusaha supaya mendapat kemajuan dalam hidup dan dapat membantu keluarga,” katanya.


PENULIS (kanan) menemubual seorang parol.


Katanya, dia bertuah kerana diberi peluang menjalani tempoh parol dan diberi kepercayaan untuk menjalani kehidupan normal di samping keluarga dan masyarakat.

“Semasa di dalam penjara, saya sudah berazam untuk berubah dan mengikut semua program pemulihan yang diadakan,” katanya.

Lazimnya, apabila berlaku kecurian di kampung, bekas banduanlah yang dijadikan kambing hitam kerana rekod jenayah mereka.

Sentimen sebegini pasti berlaku di mana-mana. Selagi memegang status bekas banduan, sukar menghakis persepsi buruk masyarakat yang gerun, bimbang, tidak selesa atau benci apabila seorang banduan dibebaskan dan kembali ke kampung halaman.

Apatah lagi, apabila seseorang banduan itu sebenarnya belum sampai waktu untuk dibebaskan. Lebih tepat, mereka mendapat lampu hijau daripada Lembaga Parol dan Jabatan Penjara Malaysia untuk dibebaskan lebih awal dan menjalani kehidupan normal di samping masyarakat.

Fasa penilaian

Apa yang masyarakat mungkin tidak tahu, maksud pelepasan orang yang diparol (ODP) bukanlah bermakna bebas sebebasnya. Kehidupan mereka sentiasa dipantau sama ada di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja.

Seseorang banduan itu pula bukan sewenang-wenangnya mendapat lampu hijau daripada Lembaga Parol. Mereka yang dibebaskan itu sudah terbukti layak atau dalam erti kata lain sudah benar-benar insaf dan berazam untuk menjadi manusia yang berguna selepas dibebaskan.

Pengarah Parol Jabatan Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara Abd. Aziz Mohamad berkata, hanya banduan yang sudah menjalani hukuman tempoh penjara tidak kurang daripada setahun dan telah menjalani separuh hukuman yang telah ditetapkan oleh mahkamah maka banduan tersebut layak untuk diparol.

Mereka juga perlu menjalani empat fasa penilaian untuk memastikan mereka layak mendapat pelepasan iaitu Program Pembentukan Disiplin, Program Pengukuhan Sahsiah, Program Kemahiran dan Program Kemasyarakatan.

“Selepas menjalani hukuman penjara untuk tempoh-tempoh tertentu, mereka akan dinilai sama ada mereka layak untuk diparol atau tidak.

“Tetapi, pelepasan mereka bersyarat. ODP akan sentiasa dipantau oleh pegawai parol selain tidak boleh meninggalkan daerah tempat tinggal mereka serta perlu berada di rumah dari pukul 8 malam hingga pukul 6 pagi dan mematuhi syarat Perintah Parol sehingga tarikh parol tamat,” katanya.

Bagaimanapun Abd. Aziz Mohamad berkata, tidak semua kesalahan jenayah mendapat pelepasan parol. Selagi kesalahan itu tidak menimbulkan keresahan dan dipandang serius oleh masyarakat atau boleh membangkitkan isu-isu sensitif, banduan itu layak diparol.

“Kebanyakan ODP adalah mereka yang melakukan kesalahan jenayah kecil seperti memiliki atau menagih dadah, mencuri, terbabit kes mahkamah syariah, kes tentera tidak hadir bertugas dan sepertinya.


HANYA banduan yang terlibat dengan jenayah-jenayah kecil sahaja layak diparol. – Gambar hiasan


“Bagi jenayah berat seperti membunuh, menculik, memiliki senjata api, sumbang mahram, rogol, penjenayah kes-kes sebegini tidak akan mendapat peluang untuk diparol dan mereka perlu menjalani hukuman penjara sepenuhnya sehingga tarikh pembebasan sebenar,” jelas beliau.

Bukan mudah untuk menjalani kehidupan normal selepas bertahun-tahun menghabiskan masa di dalam penjara. Bekas banduan dan ODP pasti berasa kekok dan memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat untuk bangkit semula.

Berdikari

Jelas Abd. Aziz, pelepasan parol adalah ibarat jambatan buat seorang banduan untuk mengharungi liku-liku pembebasan sebenar supaya mereka tidak mengalami kejutan hidup apabila dibebaskan sepenuhnya.

“Teras pembebasan ODP ialah untuk mereka kembali kepada keluarga dan menjalani kehidupan yang baik iaitu mempunyai pekerjaan yang mampu menyara kehidupan dan berdikari.

“Sistem ini juga memerlukan sokongan dan penerimaan masyarakat sepenuhnya. Sekiranya ada ODP dalam kalangan kita, jangan sisihkan mereka kerana mereka juga ingin menjalani kehidupan yang baik seperti orang lain,” katanya.

Tambah Abd. Aziz, tanpa sokongan masyarakat, bimbang ODP akan merasa tertekan dan terjebak kembali dengan ‘kawan-kawan’ lama mereka seterusnya gagal memperbaiki kehidupan mereka untuk menjadi manusia yang berguna.

Sementara itu, Pegawai Parol Daerah Cheras, Ketua Inspektor Mohd. Rashid Nazir Ahmad ketika ditemui berkata, hubungan pegawai parol dan ODP ibarat kawan yang saling berkongsi masalah dan memberi nasihat untuk membina keyakinan hidup.

“Setiap ODP wajib menjalani sesi kaunseling berkumpulan atau individu, menyertai aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti agama yang sudah ditetapkan dalam pelan kes supaya rohani mereka sentiasa diisi dengan perkara-perkara berfaedah dan bermanfaat.


PAROL ibarat sebuah jambatan buat seorang banduan menjalani liku-liku kehidupan yang lebih baik.


“Pemantauan bukan sahaja ke atas ODP, sebaliknya tugas pegawai parol lebih daripada itu. Kami bertemu dengan masyarakat terutama ketua kampung, imam masjid dan masyarakat sekeliling bagi mengetahui perkembangan ODP di daerah berkenaan,” jelasnya.

Menurut Mohd. Rashid walaupun sudah dibebaskan sepenuhnya, hubungan itu tidak terhenti di situ. Kebanyakan ODP akan sentiasa berhubung dengan pegawai parol sama ada sekadar untuk bertanya khabar atau meminta pandangan.

Nota: Nama yang digunakan dalam artikel ini bukanlah nama banduan yang sebenar. Identiti sebenar mereka dirahsiakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: