Saturday, February 20, 2010

Set menu sambal Portugis


AYAM lada hitam antara pilihan yang terdapat di Portuguese Grill, Medan Selera AEON Jusco Bandar raya Melaka.


AROMA belacan dan udang kering yang bersatu dalam sambal Portugis menerjah keluar dari aluminium nipis sebaik dipotong selepas dibakar benar-benar membuatkan selera sesiapa sahaja teruja.

Biarpun ia agak baru bagi sesetengah masyarakat Melayu tetapi sajian itu dikatakan cukup popular dalam kalangan masyarakat Portugis Melaka.

Apatah lagi kepada yang pernah menikmati hidangan itu, pasti akan bercakap tentang kepedasan sambalnya.

"Kalau anda suka sesuatu yang pedas, mungkin kepedasan sambal menu Portuguese Grill akan menentukan tahap ketahanan anda terhadap pedas. Makanan Portuguese Grill benar-benar menguji sama ada anda seorang yang tahan pedas atau sebaliknya," kata seorang pelanggan.

Portuguese Grill merupakan sejenis sajian yang dibakar. Sajian tersebut digandingkan dengan sambal yang dicampurkan bersama makanan laut seperti ikan, udang, lala dan sayuran segar seperti bendi, kangkung atau petai.

"Kebanyakan sajian Melaka memang pedas namun apa yang menjadikan sajian Portuegese Grill lebih istimewa ialah cara ia dibungkus dalam kepingan aluminium nipis yang dilapik daun pisang dan dibakar di atas dapur.

"Sajian ini akan diperap dan dibakar bersama menu pilihan pelanggan seperti ikan atau makanan laut dan sayur selama beberapa minit," kata pemilik oulet Portuguese Grill, medan selera pusat beli-belah AEON Jusco Melaka, Fakir Mohamad, 26.

Jelas anak jati Melaka itu, sebaik bungkusan aluminium tadi dipotong, aroma belacan yang menjadi ramuan penting dalam sambal tersebut akan 'menerjah keluar' dan mampu mengecurkan selera sesiapa sahaja yang gemarkan sajian pedas.

Fakir yang lebih mesra dengan panggilan Bujang berkata, keistimewaan sajian Portuguese Grill terletak pada sambalnya. Apakah rahsianya? Pemilik Arca Tanur Venture itu berkata, sambal tersebut dimasak lebih lima jam dengan api yang perlahan.

Pes sambal

Cara tersebut katanya, menjadikan cili kisar yang disatukan dengan ramuan lain akan benar-benar masak seterusnya menghasilkan pes sambal yang enak dan mampu menerbitkan aroma yang memukau.

"Bagi set sajian ini iaitu yang dilengkapi sambal istimewa, pelanggan akan menerima sepinggan nasi putih percuma di samping sajian yang dipilih sama ada ikan seperti ikan pari, kembung, cencaru, tilapia, bawal dan makanan laut yang dibakar bersama sayuran," jelas Fakir.


FAKIR (duduk) bersama kakitangannya yang menjalankan bisnes makanan selera Portugis.


Dijual pada harga yang berpatutan, set tersebut ditawarkan pada harga RM4.90 ke atas dan pelanggan boleh memilih untuk menikmati hidangan sayur bersama sambal khas, ikan yang dibakar bersama kuah asam, tilapia bersama sos tanur istimewa, daging atau ayam lada hitam.

"Dari segi harga, memang kami menjanjikan harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan harga sajian bakar yang terdapat di luar. Dari segi permintaan, kami mendapati ikan pari sering menjadi pilihan ramai mungkin disebabkan isinya yang lembut dan enak," kata Fakir yang mempunyai ramai pelanggan yang terdiri daripada kaum Cina.

Jelas Fakir, setiap set hidangan yang ditawarkan mempunyai para penggemarnya tersendiri jadi beliau menawarkan menu yang bersesuaian dengan selera masyarakat setempat.

"Umpamanya kuah asam kami tawarkan untuk pelanggan yang tidak boleh makan pedas, sos tanur pula untuk pelanggan yang gemarkan rasa pedas manis manakala ayam lada hitam dikhaskan untuk penggemar rasa lada hitam. Pendek kata, menu yang ada mewakili selera 1Malaysia dan tidak tertumpu kepada sajian Portugis sahaja," tambah Fakir.

"Cuma setakat ini pelanggan lebih menyukai set sambal Portugis yang terkenal dengan kepedasannya di samping kuah asam dan lada hitam. Malah terdapat juga sesetengah pelanggan yang menikmati satu set hidangan secara berdua dan hanya perlu membayar harga nasi tambah sahaja kerana hidangan ini boleh dikatakan agak berbaloi-baloi terutama buat pasangan bercinta yang sedang berjimat cermat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: