Monday, February 1, 2010

'Datuk' ganggu hidup Puteri Mardiana

image

MEMEGANG status janda, bukan mudah. Apatah lagi, apabila memilih cabang hiburan sebagai platform utama mencari rezeki dan inilah yang dialami pelakon meningkat naik, Puteri Mardiana Zainal Abidin.

Bercerai kasih dengan suami tahun lalu hingga menimbulkan pelbagai spekulasi terhadapnya, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini ingin memulakan hidup baru, sekali gus mewarnai karier seninya sebagai pelakon. Namun, akui Puteri Mardiana, 28, kehidupannya kini sering dihimpit lelaki gatal yang cuba mengambil kesempatan di atas status jandanya itu. Bengang akan perkara itu, tegas ibu kepada tiga anak ini, dia bukanlah dalam kategori perempuan murahan. "Saya memilih bidang ini bukan kerana faktor glamor atau ingin hidup senang dengan cara salah. Disebabkan itulah, saya memang tidak gemar apabila didekati lelaki yang berniat serong. Saya pelakon dan tahu macam mana nak menilai personaliti seseorang.

"Daripada reaksi muka dan lenggok badan, saya tahu sama ada orang itu ikhlas berkawan dengan kita atau tidak. "Ditambah pula dengan pengalaman sebelum ini, banyak memberi pengajaran mengenali karakter lelaki. "Ingin saya tegaskan, status janda bukanlah bermakna kami kategori perempuan murahan yang mudah didekati.

"Lagipun, saya dilahirkan dalam keluarga senang dan tidaklah kemaruk nak dapatkan duit dengan cara tidak elok. "Saya ikhlas menceburi bidang ini dan seboleh-bolehnya tidak mahu unsur negatif mencalarkan karier seni. Paling saya menyampah apabila ada golongan bergelar Datuk datang ke lokasi penggambaran dan mengganggu saya.

"Malah, bahasa yang mereka gunakan juga tidak menghormati saya sebagai wanita. Terus terang, saya memang tak suka orang macam ini dan rasa menyampah sangat. "Apabila berhadapan situasi ini, saya akan berubah berlagak ala lelaki, terlalu kasar hingga mereka bosan dan tidak sangka sama ada itukah Puteri Mardiana yang dikenali. "Tapi, tidaklah sehingga saya aibkan mereka. Cuma, apabila saya tidak suka dengan seseorang itu, saya akan tunjuk betul-betul sama ada reaksi muka mahupun lenggok bahasa badan. "Disebabkan itulah, saya lebih gemar pulang rumah sejurus selesai penggambaran kerana tidak mahu timbul pelbagai spekulasi liar," katanya. Dengan sikap sedemikian, tidak mustahil akan ada yang melabelnya sombong. Malah, mungkin ada yang berniat jahat cuba menjatuhkan karier seninya gara-gara tidak melayan permintaan mereka. Faham sajalah, dunia hiburan dipenuhi pelbagai spekulasi dan kalau tersilap kata biarpun sikit, ia boleh menggugat karier seni seseorang artis.

"Saya sedar risiko akan diterima, tetapi saya cuma manusia biasa dan tidak boleh lakukan apa-apa untuk halang mereka daripada bercakap mengenainya. "Biarlah, kerana yang penting orang yang rapat dengan saya tahu siapa Puteri Mardiana. Mereka juga tahu sikap saya yang berubah menjadi lebih kasar seperti lelaki apabila berdepan dengan orang tidak disukai. "Hubungan dengan peminat, amat saya titik beratkan. Selalunya, saya akan hargai mereka menerusi laman kenalan sesawang, Facebook. "Gembira, kerana ramai yang memberi komen positif terhadap lakonan saya hingga tidak menang tangan dibuatnya. Kalau ada masa terluang, saya akan balas dan berbual dengan mereka menerusi laman itu," katanya. Melihat susur jalur karier seninya, tidak dinafikan pelakon yang meraih pingat emas bagi kategori lakonan terbuka dan perak untuk kategori Female Modellin Spokesperson dalam World Championships Of Performing Arts 2009 (WCOPA) di Hollywood, semakin dikenali selepas menjayakan filem Santau. Malah, dia juga tersenarai dalam pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) bagi kategori pelakon baru, bersaing dengan Dira, Isma, Tiz Zaqyah dan Yuna. "Syukur dan tak sangka akan terpilih kerana pengalaman dalam lakonan pun tak sampai setahun. Jujur, saya tidak terlalu mengharap kerana saingan semuanya hebat. Dapat tersenarai sebagai finalis top 5 pun sudah gembira sangat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: