Wednesday, February 24, 2010

Bukan syok sendiri - Ady Putra

Hadi Putera Mohamed Halim atau Adi Putra, 30, pernah mencuba nasib dalam bidang nyanyian, malah sanggup mengeluarkan modal sendiri berjumlah RM20,000 untuk menerbitkan album solo. Namun, percubaannya itu, tidak berjaya meletakkan dirinya sebagai penyanyi, sebaliknya terus dikenali sebagai pelakon.

Tidak kecewa dengan situasi tersebut, Ady Putra, memberitahu, dia bukanlah terlalu berharap untuk menjadi penyanyi, tetapi sekadar untuk mencuba nasib dan memenuhi kepuasan dirinya.

“Memang saya minat dengan muzik, tetapi saya buat album hanyalah untuk kepuasan diri saya. Saya tidak pernah fikir untuk berada di tahap profesional seperti penyanyi yang lain dan saya bangga kerana album itu terjual sebanyak 800 unit walaupun kurang promosi. Pada saya, jumlah itu sangat banyak jika dibandingkan dengan keadaan pasaran muzik kita sekarang,” katanya yang telah menerbitkan album solonya, Ady Putra, pada tahun lalu.

Album yang memuatkan 20 buah lagu itu juga memuatkan lagu tema drama untuk slot legenda TV3, Akukah Tanggang, yang pernah menjadi kegilaan ramai tidak lama dulu.

Meskipun jualan album solonya itu boleh dibanggakan bagi artis yang ‘hijau’ sepertinya, namun menyanyi bukanlah keutamaannya. Jelas Ady, dia lebih selesa meneruskan kariernya sebagai pelakon berbanding penyanyi. Namun sekiranya ada rezeki, dia tidak keberatan untuk menghasilkan album lagi.

“Rezeki saya lebih dalam lakonan, jadi saya harus beri tumpuan terhadap lakonan. Saya bukannya beria-ia sangat nak jadi penyanyi, cukuplah sekadar hobi. Biarlah saya tumpukan pada satu-satu perkara sahaja dan saya tak mahu tamak kejar semua peluang,” katanya.



Selesa tinggal di Malaysia

Sudah tujuh tahun pelakon drama bersiri popular Mya Zara ini menetap di Malaysia dan dia sendiri pun mengaku selesa tinggal di sini, apatah lagi sudah berkeluarga dan bekerja di sini. Tidak pernah kekok untuk meneruskan kehidupan di negeri orang, bagi suami kepada penerbit A Aida, rezekinya ada di sini dan dia harus menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin.

“Sebagai warga Singapura, bukanlah satu cabaran untuk saya cari rezeki di Malaysia kerana saya dah biasa di sini. Cuma bila tiba waktunya, saya kena berulang-alik untuk perbaharui visa. Walaupun kadang kala ia amat meletihkan, namun berbaloi kerana kehidupan saya semakin bertambah baik di sini,” katanya yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga bersama A Aida.

Ady berkata, bukannya dia tidak pernah mendapat tawaran seni di negeri sendiri, tetapi kariernya lebih menyerlah di sini. Tidak menafikan bakat lakonannya semakin menyerlah di kalangan produser tempatan, Ady bukan sahaja laris di kaca TV, tetapi juga di layar perak dan pementasan teater.

Selain membintangi beberapa drama seperti, Na O Mei dan Bidadari Dari Raudhah sempena Maulidur Rasul, Ady juga turut beraksi untuk pementasan teater, Sri Mersing, di Istana Budaya, tidak lama lagi. Malah filem terbarunya, Haq di samping Zul Huzaimi, dan Raja Farah juga bakal menyusul di pawagam pada Mac ini.

Meskipun sentiasa dihujani tawaran lakonan, namun bagi Ady, dia bukanlah jenis yang tamak untuk menerima apa sahaja tawaran. Jelas Ady, dia harus bersikap selektif bagi memastikan sama ada tawaran itu bersesuaian atau tidak dengan dirinya.

“Sebolehnya saya mahu elak watak yang stereotaip. Sudah bermacam-macam watak yang telah saya lakonkan dan kalau ada peluang saya nak cuba watak yang lebih mencabar,” katanya yang bakal membintangi filem Hanyut arahan U- Wei.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: