Thursday, October 22, 2009

Yang kontroversi terus bertahan




SETELAH isu penyebaran gambar lama peserta Gadis Melayu 2, Sharifah Jasmine Soraya, 21, dan Nadiah Adrianna Mohd Akbal, 23, yang bebas bersosial bersama teman-temannya galak dikritik di forum-forum di laman maya, Shazfinas Hashim atau Finas tidak terkecuali turut mencetuskan topik perbualan masyarakat.

Gambar-gambar milik wanita berusia 26 tahun itu berpakaian seksi dihidangkan secara percuma buat tatapan peminat sekali gus satu-persatu komen serta penilaian kurang enak diberikan kepadanya.

Mengulas isu gambar itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penerbitan) dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu memberitahu, imejnya sebagai jurulatih luncur ais sedikit tercalar apabila ada gambar yang ditayangkan terselit wajah-wajah pelajarnya yang masih menuntut di sekolah rendah dan menengah.

"Saya ada terima surat yang tertulis bahawa sebagai individu yang mula dikenali ramai, saya tidak menampilkan teladan dan contoh terbaik kepada para pelajar.

"Selepas dapat nasihat daripada penerbit Gadis Melayu 2, saya mula berhati-hati untuk bergaul dan berkomunikasi dengan orang lain bagi mengelakkan saya ditafsir dengan perkara tidak baik kelak.

"Saya sedar selepas ini pelakuan saya menjadi perhatian orang ramai. Oleh itu, saya berikrar kepada diri untuk menjadi lebih baik dan memilih dalam soal berpakaian," tutur Finas dalam nada perlahan.

Bercerita tentang Gadis Melayu 2, Finas tanpa berselindung mengaku cukup berdebar apabila sudah hampir sampai ke peringkat akhir.

"Sudah pasti saya berasa terkilan kalau tidak dapat sertai peringkat akhir. Sepanjang berada dalam program ini, saya belajar banyak perkara baru dalam hidup termasuk berdikari, semangat berpasukan dan sikap setiakawan.

"Kalau program ini tamat, saya merancang untuk fokus terhadap kerjaya pengacaraan. Ditambah umur saya yang semakin meningkat maka saya mahu rebut apa jua peluang yang ada di depan mata.

"Saya juga ada perancangan untuk menyambung pengajian dalam peringkat sarjana kerana mempercayai ilmu dan pendidikan cukup penting dalam hidup manusia," terang Finas sambil tersenyum manja.

Peserta bermasalah diberi kaunseling

Tidak dinafikan, bukan sahaja Finas yang menerima tempias gara-gara perlakuan sesetengah individu yang tidak berpuas hati dengannya, reputasi program berkenaan yang bermatlamat mencari gadis Melayu sejati turut dipertikaikan oleh khalayak.

Sehingga terdengar rungutan daripada orang ramai yang kurang berpuas hati dengan pemilihan peserta-peserta Gadis Melayu untuk musim kali ini.

Pada mata mereka, ikon Gadis Melayu 2 tidak harus dihadiahkan kepada si gadis yang mengamalkan sikap bebas bergaul dan urban.




Menjawab cakap-cakap belakang umum, produser Gadis Melayu 2, Shukri Ibrahim menjadi individu terpenting yang dapat memberi penjelasan agar kredibiliti Gadis Melayu 2 tidak terus dilagukan dengan percuma di sana sini.

Menurut Shukri, kontroversi yang berlaku pada program itu bermula dengan Jasmin, Nadiah dan kemudian Finas tidak dinafikan sedikit sebanyak menonjolkan imej yang kurang baik kepada Gadis Melayu 2.

"Pihak produksi program ini bagaimanapun sudah memanggil peserta yang terbabit. Tentang isu Finas, kami sudah menyiasat tentang hal sebenar dan juga sudah diberikan kaunseling.

"Finas sendiri sudah beri penjelasan kepada kami tentang gambarnya yang disebarkan di Internet. Perkara ini berpunca apabila ada orang lain yang cuba mengorek salah dan silap peserta yang terlibat dalam program ini.

"Saya tidak tahulah apa hasrat individu-individu ini yang sengaja menimbulkan kekecohan dan mencuba untuk mengaibkan peserta Gadis Melayu 2.

"Kalau hendak diikutkan, sesiapa saja selepas ini boleh menjadi mangsa hasad-dengki orang lain. Kita semua termasuk saya memang ada cerita lama. Sudah menjadi lumrah kepada kita sebagai manusia ada kebaikan dan kelemahannya.

"Tetapi saya percaya foto-foto yang disebarkan kepunyaan Finas merupakan gambar peribadi lama yang dimasukkan ke dalam laman web sosialnya.

"Kami selaku produksi Gadis Melayu 2 tidak sewenang-wena menjatuhkan hukuman ke atas Finas. Bahkan Finas sehingga ke hari ini masih bersama program gadis Melayu memasuki peringkat akhir yang bakal diadakan tidak lama lagi," ulasnya panjang lebar tentang Gadis Melayu 2 ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.

Sambung Shukri, Finas menerima tamparan hebat akibat penyiaran gambar-gambarnya yang berpakaian menjolok mata di Internet. Paling kasihan, Finas lekas dicemuh khalayak yang tidak tahu hujung pangkal cerita sebenar.

"Finas ada memberitahu kepada saya bahawa isu ini menjejaskan kariernya yang bertugas sebagai jurulatih sukan luncur ais.

"Saya hanya mampu menasihati Finas agar berjaga-jaga selepas ini kerana dia sudah menjadi orang yang dikenali selepas melibatkan diri dalam Gadis Melayu 2.

"Alhamdulillah, Finas dan semua peserta Gadis Melayu 2 yang masih bertahan sehingga minggu akhir ini menerima peringatan daripada pihak produksi dengan perasaan terbuka.

"Jujur diungkapkan, kami selaku produksi Gadis Melayu 2 dan Finas belajar daripada kesilapan agar insiden sama tidak berulang kembali," jelas Shukri bersungguh-sungguh.

Bercakap tentang kesulitan yang dihadapi sepanjang mengendalikan program Gadis Melayu, beritahu Shukri, musim kedua memperlihatkan cabaran lebih maksimum berbanding episod sebelumnya.

"Untuk Gadis Melayu pertama, saya hanya terlibat sebagai produser dalam peringkat akhir saja. Musim terbaru ini, barulah saya mengemudikan sepenuhnya Gadis Melayu 2 daripada awal hingga ke penghujung.

"Musim pertama pihak produksi program ini berdepan dengan masalah peserta yang kurang berkeyakinan diri.

"Berbeza dengan Gadis Melayu 2, peserta yang terlibat punya tahap keyakinan yang berlebih-lebihan sehingga membimbangkan kami.

"Bayangkan apabila diberikan satu-satu tugasan namun mereka bijak menampilkan kreativiti untuk buat itu dan ini yang diluar jangkaan daripada pengetahuan kami.

"Untuk musim baru ini juga kami sengaja memberikan tanggungjawab lebih berat kepada mereka dengan menyediakan aktiviti ekstrim sekali gus dapat menguji ketahanan mental dan fizikal masing-masing.

"Saya harap pemenang Gadis Melayu 2 nanti benar-benar ada kebolehan dan keupayaan tersendiri sehingga dapat membuka mata sesetengah masyarakat yang selama ini memandang serong dengan peserta program ini," ujar Shukri penuh harap.




Musim baru Gadis Melayu 2 mula bersiaran sejak 6 Ogos lalu pada setiap hari Khamis, pukul 9.30 malam di TV9 dikendalikan oleh Sharifah Shawati Syed Mohd. dan Juliana Evans.

Selain SMS, peserta dinilai secara profesional oleh dua juri tetap, Nur Farahin Jamsari dan Izza Syafinaz. daripada majalah Cosmopolitan.

Peserta yang masih meneruskan perjuangan termasuk Shazfinas, Nadiah, Putri Noor Nawal Ramlan, Rahimah Ibrohim dan Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin.

Peserta yang terkeluar pada episod keenam sebelum ini, Hazlin Hussain dimasukkan semula ke dalam program itu setelah meraih undian teratas lalu mengalahkan peserta lain yang terkeluar sebelum ini.

Untuk diumumkan sebagai juara Gadis Melayu 2, lima daripada 12 orang peserta yang bakal menempuhi alam akhir program itu dikehendaki melakukan pelbagai tugasan yang mencakupi pelbagai bidang dan skop.

Antaranya bertugas sebagai wartawan penyiaran, ujian memasak, mendekati budaya Melayu dan memasarkan kraftangan batik Malaysia.

1 comment:

  1. kak finas,lain kali hati2 dlm soal berpakaian ye,awak tu org melayu..islam pulak tu..jaga2 ye

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: