Tuesday, October 27, 2009

Usah aniaya pelakon veteran




ADALAH tidak wajar bagi penerbit drama dan filem meletakkan nilai bagi pelakon veteran yang berpengalaman berpuluh tahun di dalam industri ini terlalu rendah berbanding artis yang baru setahun jagung mengenali dunia lakonan.

Adakah tidak ada lagi rasa perikemanusiaan yang sepatutnya menjadi budaya masyarakat kita menghargai insan yang suatu masa dulu pernah berjasa mewarnai industri hiburan tanah air?

Perkara ini sebenarnya sudah difikirkan Gabungan Persatuan Karyawan filem Malaysia (Gafim) bagi mencari jalan agar pelakon veteran kita tidak lagi terus ditindas penerbit yang mementingkan keuntungan semata-mata.


Presiden Gafim itu yang juga Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah berkata, pihaknya sebelum ini sudah merangka agenda untuk menentukan gred bagi setiap pelakon di negara ini bagi rujukan penerbit mendapatkan pelakon dengan harga yang sewajar dengan pengalaman dan bakatnya.

“Sebenarnya selepas dikaji kembali, banyak perkara lain yang harus dititikberatkan sekiranya gred ini dikuatkuasakan. Sebagai contoh, kita tidak boleh membayar pelakon veteran yang berlakon sebagai pelakon sampingan sama dengan harga pelakon utama biarpun pelakon utama itu adalah pelakon baru.

“Tapi pelakon veteran berhak menerima harga yang sama dengan pelakon utama sekiranya pelakon veteran diberi peranan sebagai pelakon utama di dalam sesebuah produksi itu.



“Apa yang dirasakan praktikal buat masa ini adalah mendapat persetujuan kedua-dua pihak. Penerbit harus berterus terang kepada pelakon mengenai peranannya, berapa banyak babak dan beberapa perkara lain.

“Perbincangan dan penerangan secara jelas kepada pelakon veteran itu perlu. Jangan di belakang cakap lain di depan cakap lain,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.

Menurut Ahmad Puad, untuk menyalahkan 100 peratus kepada penerbit adalah tidak adil memandangkan kos penerbitan yang ditanggung penerbit bergantung kepada bayaran daripada syarikat televisyen.

“Saya dapat rasakan tidak semua penerbit berbuat demikian kepada pelakon veteran ini dan sekiranya ada hanya beberapa syarikat kecil saja.

Puad Onah

“PFM mempunyai 150 ahli yang berdaftar di bawah kita dan di luar sana masih ada lebih 450 penerbit lain yang juga aktif dalam penerbitan.

“Sekiranya kita menerima aduan daripada artis ini sendiri atau aduan daripada pihak lain membabitkan ahli kita, tindakan akan dikenakan kepada mereka,” katanya lagi.

Presiden Persatuan Seniman, Datuk Mustapha Maarof berkata, ada kalanya pelakon veteran menerima tawaran bukan disebabkan masalah kewangan tetapi kerana gian untuk berlakon disamping cintanya terhadap dunia seni.

“Seperti saya juga menerima tawaran berlakon bukan disebabkan masalah kewangan tetapi disebabkan usia semakin meningkat ini badan kita tidak lagi boleh dimanjakan sangat. Saya menganggap berlakon ini sebagai terapi kerana tidak mahu duduk berehat saja.

“Namun janganlah pula penerbit mengambil kesempatan terhadap pelakon veteran dengan menggunakan mereka dan membayar sesuka hati tanpa sedikitpun rasa bersalah. Membayar RM3,000 untuk 72 babak adalah tidak wajar. Jika benar berlaku ia suatu tindakan yang tidak sihat di dalam industri ini.

“Secara jelas penerbit seperti ini cuba untuk meletakkan industri seni kita ke tahap yang paling rendah, jauh sekali mahu membantu mengangkat ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Mustapha, sebelum isu ini timbul lagi, persatuan sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku, namun sehingga kini tiada jalan yang dirasakan baik selain perbincangan daripada kedua-dua pihak pelakon dan penerbit.

“Isu untuk menetapkan gred bagi setiap pelakon tanah air bukan lagi suatu isu baru yang pernah diperkatakan PFM. Kita perlu tahu bagaimana untuk menggredkan seseorang pelakon itu menerusi bakatnya, popularitinya dan beberapa aspek yang lain. Ini sebenarnya menimbulkan masalah bagi kami sejak dulu lagi untuk mencari jalan penyelesaian.

“Apa yang terbaik buat masa ini adalah pelakon itu sendiri harus berbincang dengan penerbit sekiranya tidak berpuas hati dengan bayaran yang diterima. Melalui perbincangan kita akan mendapat kata putus yang sebaiknya.

“Kita juga menasihatkan pelakon yang merasakan diri mereka dipermainkan oleh penerbit mengenai bayaran untuk tampil membuat aduan bertulis kepada persatuan. Sebagai persatuan yang memperjuangkan kebajikan ahlinya, kita akan maklumkan perkara ini ke peringkat tertinggi untuk diambil tindakan terhadap penerbit seperti ini sama ada penerbit ini dipulaukan atau hukuman yang setimpal dengan kesalahannya,” katanya yang mengalu-alukan pelakon untuk bertanya kepada persatuan sekiranya menerima tawaran berlakon.

Bagi penerbit filem, David Teo, pihaknya mempunyai kadar bayaran yang sudah ditetapkan di syarikatnya bagi setiap pelakon termasuk pelakon veteran.

“Di MIG kita ada menyediakan senarai harga untuk semua pelakon termasuk pelakon veteran. Apa yang pasti harga yang ditetapkan untuk pelakon veteran sangat berbeza daripada pelakon baru. Memang kita mengutamakan mengenai bayaran dan mengambil berat mengenai kebajikan mereka di lokasi.

“Saya selalu berpesan kepada pengurus produksi agar mengambil berat terhadap pelakon veteran yang membintangi setiap filem kita. Sentiasa memberi layanan baik kepada mereka dan jika boleh kita akan menghabiskan babak mereka dulu agar mereka dapat pulang lebih awal ke rumah,” katanya.

David juga turut mengutuk penerbit yang sengaja mengambil kesempatan terhadap pelakon veteran dengan memberi kadar bayaran yang rendah dan tidak setimpal dengan bakat serta pengalaman yang mereka lalui selama ini.

“Menyentuh mengenai pelakon veteran yang menerima bayaran RM3,000 untuk 72 babak lakonannya adalah tidak munasabah. Harga itu terlalu rendah dengan kadar bayaran yang kita sediakan.

“Saya juga ingin nasihatkan kepada pelakon veteran ini agar menolak tawaran berlakon sekiranya ditawarkan dengan harga yang tidak setimpal dengan kerja yang ditawarkan.

“Perlu diingatkan juga bahawa kita tidak mampu untuk menyediakan sesuatu yang tidak logik sekiranya diminta oleh pelakon veteran ini. Apa yang kita lakukan adalah yang membabitkan pekerjaan saja termasuk kebajikan mereka di lokasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: