Sunday, October 11, 2009

Tragisnya cinta Awang & Dayang


Awang (kiri) tidak pernah lupa janji berdasarkan adat yang termetrai semasa bertunang dengan Dayang walaupun pernah digoda Claudia.


Selepas tertangguh lebih empat tahun akhirnya filem yang diadaptasi daripada sejarah Johor, Lembing Awang Pulang Ke Dayang dapat ditayangkan kepada umum.

Kisah tragis yang berlaku di Muar, Johor lebih kurang 200 tahun lalu sebelum ini antara kisah yang popular kepada generasi muda. Bagaimanapun filem ini mengadaptasi kisah itu dari novel karya sasterawan terkenal, Shaharom Hussein yang diterbitkan tahun 1957.

Walaupun berdepan dengan beberapa masalah hingga membuatkan tertangguh begitu lama tetapi ini tidak menjejaskan mutu filem yang diarahkan oleh Majid Salleh ini. Dalam lambakan begitu banyak filem-filem bertemakan seram, Lembing Awang Pulang Ke Dayang yang bercorak purba ini dianggap memberikan selera yang berbeza.

Secara positifnya, filem ini membawakan satu kisah penuh iktibar kalau dibandingkan dengan cerita-cerita seram.

Keberanian pihak penerbit filem ini wajar dipuji kerana tidak terikut dengan musim filem hantu yang dikatakan menjadi tarikan penonton. Sebaliknya penerbit filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang mahu memberikan suatu yang berbeza sebagai pilihan kepada penonton.

Penerbit filem itu, Noor Azman Yusuf dari Dayang Digital Sdn. Bhd. berkata, cerita legenda zaman dahulu memang menarik dan penuh dengan warna-warni dan berpotensi untuk difilemkan walaupun ada penerbit yang tidak sanggup berdepan dengan risiko.

“Filem legenda seperti Pirates of the Carribean atau Titanic boleh mendapat tempat di hati penonton. Ramai pula yang berduyun-duyun menonton ke pawagam. Begitu juga dengan filem dari Thailand, dan Indonesia yang turut mendapat tempat di kalangan orang kita.

“Mana tahu selepas ini, penerbit-

penerbit tempatan bersemangat untuk mengeluarkan filem-filem sebegini yang menggunakan teknik lebih canggih lagi termasuk imej janaan komputer (CGI) bagi memberi kesan zaman silam yang lebih gah dan realistik,” katanya selepas tayangan perdana filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang di Cathay Cineleisure Damansara baru-baru ini.

Baginya, tahap keyakinan untuk menerbitkan filem sedemikian juga atas alasan cerita berusia 200 tahun yang tidak lapuk dek hujan itu pasti mendapat sambutan.

Noor Azman juga tidak menafikan filem yang dibuat dengan kos RM1.6 juta itu mempunyai kelemahan terutama semasa proses alih suara dan suntingan apabila terpaksa menjalani penggambaran semula akibat pertukaran watak utama.

Dia juga mengalami masalah pada mulanya untuk memendekkan filem yang mempunyai plot yang panjang itu kurang daripada durasi 110 minit.

Kelebihan filem pertama arahan Majid Salleh itu juga menggunakan teknologi High Definition (HD) lebih jelas dan sempurna.

Kini teknik itu juga digunakan oleh kebanyakan filem tempatan sekali gus mengangkat imej dan kualiti setanding dengan filem dari luar negara.

“Kalau boleh, saya ingin membuat semula filem ini untuk membuat lebih baik setelah meneliti ada beberapa perkara yang masih boleh diperbaiki. Namun, tidak terdaya memandangkan banyak kos yang perlu diambil kira sekiranya membuat penggambaran semula, “katanya.

Filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang juga telah diolah ceritanya agar lebih sesuai ditonton buat khalayak dengan memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Ia bagi memastikan tiada unsur tahyul yang dibimbangi boleh merosakkan akidah atau mencipta sebarang kontroversi.

Kisah terjadi kira-kira 200 tahun dahulu di sebuah pekan bernama Padang (sekarang di daerah Muar). Terdapat seorang gadis rebutan pemuda kampung bernama Dayang (lakonan Siti Elizad). Dayang menaruh hati terhadap Awang (Farid Kamil), seorang pemuda tampan.

Meminang

Apabila Awang masuk meminang, bapa Dayang (Datuk Kuswadinata) yang mementingkan darjat, mengenakan syarat yang ketat sehingga Awang terpaksa belayar selama tiga tahun ke Makasar (Pulau Sulawesi). Awang menyahut cabaran adat dan belayar meninggalkan Padang berbekalkan janji Dayang untuk kekal setia.

Bachuk (Zul Huzaimi) juga meminati Dayang dan mengambil kesempatan ketiadaan Awang dengan bantuan guru silatnya Panglima Merah (Hattan) yang juga bekas ketua lanun untuk mengumpan Pak Long agar dapat mendekati Dayang.

Pelayaran Awang hampir musnah apabila kapalnya di serang lanun. Dia dijumpai terdampar di pantai oleh seorang pengembara aneh yang gemar berfalsafah bernama Dekar Agas atau Raja Muda Bugis (Aziz M Osman).

Dengan bantuan Nakhoda Galigo (Khir Rahman) yang ditemui di Siak, Awang ke Pangkalan Makasar untuk mencari duit dan kain mastuli. Dia bertemu dengan Claudia (Mei-Ling Ludi), seorang wanita Belanda cantik yang jatuh cinta kepada Awang dan tidak membenarkan dia kembali ke Padang.

Apabila tempoh tiga tahun hampir tiba, Awang masih belum pulang dan Dayang semakin resah apabila mendengar khabar-khabar angin yang tidak baik. Usaha Bachuk mendekati Dayang masih berterusan apabila wanita itu mula mendekatinya.

Lembing Awang Pulang Ke Dayang menjalani penggambaran di sekitar Pulau Indah dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu akan menemui penonton di 30 pawagam seluruh negara bermula 22 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: