Wednesday, October 21, 2009

'Tiada hubungan pasang surut' - Malaysia-Indonesia sentiasa bekerjasama selesaikan masalah yang timbul


NAJIB bersalaman dengan Susilo pada majlis resepsi di Istana Merdeka, Jakarta semalam. Turut sama, Rosmah (kiri) dan isteri Susilo, Ani Bambang Yudhoyono.


JAKARTA - Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menganggap hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai 'pasang surut', malah hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara sentiasa konsisten, akrab dan baik.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia dan Indonesia juga sentiasa berusaha mencari jalan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan menyelesaikan dengan baik apa juga masalah yang timbul.

"Yang menjadi masalahnya ialah hubungan di peringkat rakyat yang disebabkan oleh segelintir kecil orang yang tindak tanduk mereka mendapat sebaran meluas media massa.

"Inilah yang menyebabkan dari segi persepsi seolah-olah kita menjurus kepada hubungan yang tegang tetapi pada hakikatnya dari segi kepimpinan, kedua-dua negara boleh dikatakan sentiasa berada di tahap yang begitu baik dan selesa," katanya.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri majlis pemasyhuran dan angkat sumpah jawatan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden bagi penggal kedua 2009-2014 yang berlangsung di Gedung Parlimen Indonesia di sini semalam.

Sementara itu, Najib memberitahu, Susilo juga memilih Malaysia sebagai negara pertama yang akan dilawatinya selepas dipilih semula sebagai Presiden sebagai menandakan keakraban hubungan dua hala antara kerajaan kedua-dua negara.

"Beliau juga memaklumkan kepada saya untuk menjadikan Malaysia negara pertama yang akan dilawatinya sebagai Presiden untuk penggal kedua ini. Tarikhnya telah ditetapkan pada 11 November ini," kata Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: