Sunday, October 11, 2009

Terpukau petikan piano cilik


AHMAD IRFAN mengagumkan penonton pada malam gala sempena pembukaan konsert musim baru MPO.


USIANYA baru 11 tahun namun kelincahan jari jemari comelnya memetik piano amat mengagumkan. Justeru nada petikan itu yang memainkan karya klasik Ludwig Van Beethoven menjadikan konsert gala sempena pembukaan musim baru Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) sesuatu yang memukau.

Mencipta kadenza sendiri dalam tiga babak, Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal bergandingan dengan pengarah muzik MPO, Claus Peter Flor mempersembahkan Piano Concerto in E flat karya Beethoven. Ini merupakan julung kalinya dimainkan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Gandingan dinamik itu yang memberikan persembahan mempersona turut mendapat pujian daripada penonton pada dua malam berlangsungnya konsert pembukaan musim ke-12 MPO pada Sabtu dan Ahad minggu lepas.

Tentu sahaja bagi anak seusianya muzik klasik bukanlah sesuatu yang begitu diminati apalagi untuk mencipta simfoni sendiri.

Tetapi pelajar darjah lima ini pula menunjukkan sikap sebaliknya. Malah bakatnya itu ditunjukkan ketika sejak usia enam tahun lagi apabila mencipta komposisi penuh piano sonata.

Mula belajar bermain piano pada usia tujuh tahun, hanya dalam tempoh dua tahun, anak sulung daripada tiga adik beradik yang belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Petaling, Kuala Lumpur ini dianugerahkan sijil kecemerlangan piano solo Gred Lima dan kurang dua tahun selepas itu menerima pula kepujian dalam Gred Lapan.

Dipelawa menyertai Program Pendidikan dan Luaran MPO, Ahmad Irfan turut menghadiri masterclass bersama Professor Dr Arbo Valdma dan kini di bawah asuhan Professor Snezana Panovska.

Menariknya kemunculan Ahmad Irfan bukan sahaja memeriahkan musim baru MPO, lebih penting petikan piano kanak-kanak berusia 11 tahun ini juga turut meraikan ulang tahun ke-11 MPO yang pertama kali dilancarkan pada 1998.

l Konsert gala

Sebelum kemunculan Ahmad Irfan, MPO yang dipimpin Claus Peter Flor mempersonakan penonton dengan simfoni ciptaan Beethoven seperti Overture: Coriolan dan karya agung Symphony No.5 sebagai penutup persembahan.

Sememangnya persembahan yang berlangsung selama sejam itu merupakan suatu permulaan konsert musim baru yang sungguh bermakna.

Kolaborasi maestro dan pemain piano berbakat itu mempamerkan kehebatan dan keindahan seni dalam nada dan semangat baru lagi segar.

Adalah sesuatu yang amat menggembirakan lebih-lebih lagi apabila menyaksikan generasi muda terus mengabadikan karya-karya klasik yang tidak pernah lapuk dek hujan dan tidak pula lekang dek panas.

Justeru tidak hairanlah pada malam konsert galanya pada Sabtu lalu, ramai tetamu yang hadir termasuk kalangan kerabat diraja, para sosialit serta artis yang terhibur dengan persembahan itu.

Antara yang kelihatan seperti Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Rahim Razali.

Tidak ketinggalan Datuk Sheila Majid dan suaminya, Acis, Anita Sarawak dan suaminya Mohd Mahathir Abdullah, Salamiah Hassan dan anaknya Atilia serta Ramli MS dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: