
SEMALAM, China menyambut Hari Kebangsaan ke-60 dengan mengadakan satu perarakan ketenteraan yang gilang gemilang. Ia sekali gus membawa mesej khas kepada negara-negara dunia.
Perarakan itu dilaporkan menjadi acara paling hebat dalam abad ini. Negara komunis itu nyata menunjuk-nunjuk kelengkapan canggih ketenteraan yang menandakan bahawa republik itu tidak gentar dengan sebarang ancaman dan bersedia dari segi ketenteraannya.
Ia merupakan perarakan tentera yang ke-14 seumpamanya sejak penubuhan Republik Rakyat China (PRC) sejak 1949.
Mengimbas kembali sejarah Perarakan Ketenteraan China dari tahun 1949 hingga 1959, Perarakan Tentera Hari Kebangsaan itu merupakan acara tahunan sehinggalah ia ditangguhkan selama 24 tahun sehingga 1984. Ketika itu, China menyambut Hari Kebangsaan kali ke-35.
Semuanya disebabkan oleh kekecohan akibat Revolusi Budaya yang berlaku pada tahun 1966 hingga 1976. Perarakan terakhir yang terbesar telah diadakan pada tahun 1999 ketika PRC menyambut Hari Kebangsaan ke-50.
Pada September 1960, anggota Kabinet Parti Komunis China (CPC) telah membuat keputusan untuk mengadakan sambutan besar-besaran perarakan tentera sekali dalam satu dekad. Sementara sambutan hari kebangsaan yang berskala lebih kecil diadakan setiap lima tahun.
Pemerhati memberitahu sebanyak 13 perarakan ketenteraan yang telah diadakan sebelum ini menunjukkan kehebatan revolusi Tentera Pembebasan Rakyat (PLA). Daripada askar kampung sehinggalah pasukan askar moden yang lengkap dengan senjata nuklear, kesemuanya dipamerkan untuk tontonan dunia.

Dari segi senjata, pertunjukan yang diadakan pada tahun 1949 sempena penubuhan republik itu bersifat 'multinasional' berikutan kebanyakan senjata diperoleh daripada musuh-musuhnya ketika perang.
Tetapi pada tahun 1959, situasi itu berubah apabila pertunjukan senjata lebih banyak melibatkan hasil buatan tempatan.
Pada tahun 1984, terdapat 28 kategori persembahan senjata diadakan dalam perarakan paling canggih seumpamanya. Kesemua senjata tersebut dihasilkan oleh China dan senjata nuklear negara itu pertama kali dipertontonkan kepada dunia.
Pada perarakan yang diadakan 10 tahun lalu, lebih 90 peratus daripada kelengkapan itu adalah rekaan terbaru. Ia juga menjadi perarakan tentera paling moden dalam sejarah China.
Pertunjukan senjata dan perarakan jentera-jentera perang memberi rakyat dan penganalisis ketenteraan gambaran mengenai kelengkapan canggih dan terkini milik tentera republik itu.
Kelengkapan pertahanan yang canggih itu merupakan hasil usaha membangunkan kualiti ketenteraan selama 20 tahun. Inisiatif itu membuktikan peningkatan peratusan dua digit dalam perbelanjaan pertahanan negara serta didorong peningkatan ekonomi yang memberangsangkan. Ini membolehkan kerajaan berbelanja besar untuk aspek ketenteraan.
Kebelakangan ini, kerajaan China menerima tekanan masyarakat dunia apabila pendedahan bajet ketenteraannya mengalami peningkatan mendadak.
Mengikut perangkaan, bajet ketenteraan China pada tahun ini meningkat kepada 14.9 peratus iaitu AS$70.2 bilion (RM243 bilion) diikuti peningkatan 17.6 peratus tahun 2008 berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sumber Amerika Syarikat (AS) menganggarkan bajet pertahanan sebenar negara China adalah antara AS$7 bilion (RM336 bilion) hingga AS$139 bilion (RM481 bilion).
Kesanggupan kepimpinan komunis itu mempamerkan begitu banyak senjata kepada umum memberi kepercayaan tentang keupayaan PLA serta sistem pertahanan mereka yang semakin gagah dan kebal.

"Pertunjukan ini bukan sahaja untuk menunjukkan kepada rakyat China mengenai status simbol kekuatan baru negara, tetapi juga supaya tanggapan masyarakat dunia mengenai kelemahan polisi China dapat diubah," kata Pakar Ketenteraan China yang berpusat di East-West Center, Hawai, Denny Roy.
Meskipun mempunyai pasukan tentera paling besar di dunia dengan memiliki anggota seramai 2.3 juta orang, PLA telah lama dipersendakan sebagai tidak mempunyai kelengkapan cukup dan tidak dibiayai sewajarnya.
Antara yang dipamerkan adalah peluru berpandu balistik antara benua DF-31, peluru berpandu canggih jarak dekat DF-11, jet pejuang J-10, kapal selam yang dilengkapi peluru berpandu dan banyak lagi.
Bukan sahaja itu, China juga mempunyai kelengkapan canggih yang membolehkan mereka beroperasi dari jauh dan ia merupakan sesuatu yang belum ada sebelum ini.
Kecanggihan kelengkapan merupakan salah satu daripada pemodenan yang dilakukan PLA. Tetapi apa yang lebih penting adalah kualiti anggota, struktur organisasi tentera, latihan dan logistik.
"Mereka yang terlibat dalam perarakan ini dipilih setelah dinilai seorang demi seorang. Mereka mestilah seorang askar yang mempunyai kredibiliti, berdaya saing, layak dari segi politik (mengambil bahagian dalam acara atau kempen-kempen utama atau memenangi apa-apa anugerah) dan terlatih," kata Li Xinliang yang bertindak selaku Komander Jeneral bagi perarakan tahun 1999.
Askar terpilih juga harus mempunyai ketinggian 180 sentimeter (sm) (5 kaki, 11 inci) untuk lelaki dan 165 sm (5 kaki, 5 inci) bagi wanita.
![]() |
| SEORANG kanak-kanak yang duduk di atas bahu ibunya menggunakan teropong untuk melihat dengan lebih dekat perarakan yang berlangsung di Beijing, semalam. |
"Mula-mula kami latih seorang demi seorang. Kemudian kami latih mengikut barisan sebelum membentuk keseluruhan formasi. Pergerakan mesti tepat tidak kira dilihat dari bahagian mana sekali pun. Mereka harus kelihatan seragam dan tidak kaku," jelas Ketua Pegawai Latihan, Yuan Daqing.
Semua tentera yang menyertai perarakan tersebut berlatih lapan jam sehari berbulan-bulan lamanya sebagai persiapan kepada acara yang hanya diadakan 10 tahun sekali.
Seramai 16,400 askar dari tentera darat, laut dan udara terlibat dalam acara itu dengan jumlah keseluruhan 119 meriam, 152 buah kereta kebal dan kenderaan bersenjata, 222 buah kenderaan lain, 2,344 ekor kuda perang dan 17 buah pesawat.
"Semangat untuk berkorban dan mempertahankan tanah air membuatkan kami mampu melalui latihan yang mencabar setiap hari.
"Tentera China sejak dulu lagi dilatih untuk tabah mengharung waktu-waktu getir dan kesusahan," kata seorang Timbalan Komander, Gao Teng.
Sementara itu, kem tentera telah dilengkapi dengan pelbagai hiburan bagi memastikan askar-askar berada dalam keadaan mental yang sihat dan fizikal terbaik, selain tidak tertekan dengan tugasan dan rutin harian.
"Seminggu sekali, kami menghadiri upacara menaikkan bendera kebangsaan bagi menaikkan semangat patriotik para anggota," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: