|
|
DI sebalik kemasyhuran, kemewahan dan populariti yang dikecapinya hari ini, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Akon perlu melalui fasa hidup yang penuh mencabar.
Siapa sangka, pengalaman disumbatkan ke dalam penjara selama tiga tahun sebelum menjadi artis, telah memberi pengalaman yang cukup berharga buat Akon.
Daripada situ, dia mencari identitinya sendiri untuk menghasilkan muzik yang mampu diminati ramai seperti mana yang dikecapinya hari ini.
“Pengalaman di penjara banyak memberikan inspirasi buat saya untuk mencipta muzik kerana saya percaya saya mampu memberikan sesuatu kepada pendengar.
“Tidak hanya pengalaman lalu, tetapi juga sepanjang saya menjelajah seluruh dunia membuat persembahan dan bertemu dengan ramai orang memberi inspirasi untuk saya curahkan dalam muzik saya,” kata Akon dalam sidang media yang diadakan sehari selepas konsertnya berlangsung minggu lalu.
Kehadiran Akon ke negara ini adalah sempena Akon Freedom Beach Concert ‘09 yang diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon, malam Sabtu lalu.
Sepanjang lima tahun menjadi seorang artis rakaman, mahu atau tidak harus diakui impak yang terhasil daripada muzik Akon cukup besar di seantero dunia.
Bukan sekadar menjadi seorang komposer dan penyanyi, tetapi Akon meluaskan lagi skop seninya dengan mencungkil bakat-bakat baru.
Semuanya adalah sebagai penyambung legasi seninya seandainya satu hari nanti dia mengundurkan diri dalam bidang seni.
Antara penyanyi yang dicungkil bakatnya oleh Akon adalah Lady Gaga dan T-Pain yang telah mencetuskan fenomena luar biasa dalam arena muzik antarabangsa.
Mengambil contoh Lady Gaga, kata Akon atau nama sebenarnya, Aliaune Badara Akon Thiam, apa yang dikecapi oleh penyanyi pop itu cukup membanggakan dirinya.
Malah dia sendiri sudah menjangkakan bahawa Lady Gaga mampu mencipta kejayaan yang luar biasa memandangkan dia memiliki bakat dan personaliti yang berbeza.
“Bila saya melihat dia mengecapi kemasyhuran dan berada di puncak populariti, saya bangga kerana semuanya itu adalah hasil usaha saya.
“Saya percaya setiap manusia ada bakatnya yang tersendiri dan selepas ini pun, saya akan meneruskan misi saya untuk mencari serta mencungkil bakat-bakat baru.
“Salah seorang daripadanya adalah Noah yang saya gambarkan personaliti dan muziknya adalah gabungan Beyonce Knowles dan Shakira,” kata penghibur berusia 32 tahun ini yang memiliki dua label rekodnya sendiri iaitu, Konvict Muzik dan Kon Live Distribution.
Dalam tempoh lima tahun ini juga, bakat Akon telah mendapat kepercayaan ramai penyanyi yang mahu berkolaborasi dengannya.
Antara nama-nama besar yang menggunakan khidmatnya adalah Gwen Stefani, Eminem, Snoop Dogg, Leona Lewis, New Kids On The Block dan Flo Rida.
Namun, bagi Akon pengalaman terindah dan manis untuknya adalah berpeluang bekerjasama dan berkolaborasi dengan Raja Pop Dunia, mendiang Michael Jackson.
Mereka berdua merakamkan lagu klasik Jackson iaitu Wanna Be Startin' Somethin' yang dimuatkan dalam album ulang tahun ke-25 Thriller tahun lalu.
berkolaborasi
“Selain beliau, saya juga berbesar hati kerana dapat menyumbangkan lagu serta berkolaborasi dengan Whitney Houston dalam album terbarunya.
“Saya menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang cukup berharga kerana bukan mudah untuk mendapat kepercayaan dan bekerjasama dengan seorang yang cukup hebat sepertinya,” katanya yang mencipta lagu Like I Never Left dalam album penghibur itu.
Biarpun sibuk dengan konsert jelajahnya, penyanyi yang berasal dari Dakar, Senegal ini masih sempat mencipta lagu untuk album keempatnya, Stadium Music yang bakal dipasarkan tahun depan.
Selain itu, dia juga akan terlibat dengan pembikinan album terbaru Rihanna selain berkolaborasi dengan penyanyi wanita itu.
Saat ditanya tentang rancangan masa depannya, Akon cukup berminat untuk menceburi bidang perfileman.
Untuk itu, jika tiada aral melintang, dia akan menerbitkan sebuah filem berjudul Illegal Alien yang diangkat daripada kisah hidupnya sendiri dan aktor Mekhi Phifer dikatakan akan berlakon sebagai Akon.
Bukan itu sahaja, dia juga akan terlibat dalam sebuah rancangan realiti televisyen, My Brother’s Keeper yang kini dalam perancangan.
Bukan sekadar sebagai usahawan muzik sahaja, tetapi Akon juga memiliki perniagaan fesyennya sendiri iaitu Konvict Clothing.
“Pastinya, saya akan meluaskan lagi empayar fesyen saya dengan memperkenalkan rangkaian minyak wangi, kosmetik dan barang kemas,” ujar penyanyi yang pernah menerima enam pencalonan Grammy ini lagi.
Dalam pada itu, Universal Music Malaysia telah pun mengeluarkan album pembungkusan semula (repackaged) Freedom yang mengandungi CD dan DVD yang pastinya akan menjadi koleksi untuk peminat setia Akon.
Mengulas sedikit tentang sidang media tempoh hari, ternyata ia telah mengundang rasa tidak puas hati di kalangan media tempatan.
Sudahlah sistem audio tidak disediakan sewaktu sesi soal jawab. Ditambah pula dengan bunyi bidikan kamera oleh jurugambar ketika itu sememangnya menganggu perjalanan sidang media tersebut.
Tidak cukup dengan itu, aksi dan gelagat pengacara majlis petang itu yang juga penyampai radio Fly FM iaitu Nadia amat memualkan dan menjelikkan.
Dengan suara yang bingit dan sikapnya yang sungguh tidak profesional sewaktu mengendalikan sidang media tersebut memang mengecewakan.
Nadia tidak sepatutnya mencantas dan merencatkan usaha pihak media yang mahu bertanyakan soalan ketika itu.
Bukan itu sahaja, belum sempat pihak media mahu bertanya soalan, Nadia dengan pantas menutup acara petang itu dengan mengandaikan sudah tiada soalan yang mahu ditanyakan.
Seharusnya pihak penganjur mencari seorang yang berpengalaman untuk acara seperti itu dan bukan hanya sekadar tangkap muat yang akhirnya menjadikan acara menjadi huru-hara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: