Monday, October 5, 2009

Lavasa bandar masa depan

Lavasa yang terletak kira-kira 200 kilometer dari tenggara Mumbai menjadi sebuah bandar terancang meliputi perumahan kos rendah, vila atas bukit dan ruang hijau merupakan bandar tanah tinggi pertama di India.


LAVASA disifatkan sebagai sebuah bandar bukit terbesar yang melambangkan lebih daripada simbol kemerdekaan India.


SELEPAS British meninggalkan India enam dekad lalu, bandar Himalaya dan bandar-bandar lain tetap memiliki tarikan tersendiri. Ia menjadi lokasi pilihan buat penghuni kota dan para pelancong untuk menghirup udara tanah tinggi yang lebih sejuk.

Kini, stesen bukit baru Lavasa yang terletak kira-kira 200 kilometer dari tenggara Mumbai sedang giat dibina. Ia uar-uarkan sebagai bandar raya tanah tinggi pertama dan terbesar di India.

Tetapi bagi penyokong korporat dan mereka yang akan mengendalikannya, Lavasa mewakili lebih daripada satu simbol kemerdekaan.

Beberapa dekad selepas bandar raya terancang pertama pasca kemerdekaan India Chandigarh dibina, mereka berpendapat pembangunan bernilai berbilion dolar itu merupakan satu eksperimen yang berani.

Ia boleh menjadi satu pelan induk untuk bangunan dan contoh pengurusan bandar raya India yang akan datang.

Makmal ujian

Pengurus Bandar Lavasa, Scot Wrighton menggelar projek yang dibiayai secara swasta itu sebagai makmal untuk menguji teknik-teknik terkini dalam perancangan bandar dan menyalur perkhidmatan.

"Pakar-pakar demografi meramalkan India akan mempunyai tambahan antara 300 hingga 400 juta orang populasinya dalam tempoh empat dekad akan datang," beritahu Wrighton yang mempunyai dua dekad pengalaman dalam pengurusan bandar raya di Amerika Syarikat (AS).

"Tidak wujud persoalan akan ada bandar-bandar baru di India. Persoalannya ialah apakah kualiti hidup akan datang?" jelasnya kepada AFP.


SALAH sebuah tapak pembinaan di Dasve, Lavasa.


Dengan penduduk berjumlah 1.2 bilion orang dan terus meningkat, ditambah pula dengan faktor penghijrahan ekonomi dari desa ke bandar, bandar-bandar di negara itu menjadi semakin sesak.

Kekurangan rumah, bekalan elektrik, air, kesesakan lalu lintas, pencemaran dan ketiadaan perkhidmatan asas merupakan realiti hidup bagi jutaan orang di India.

"Masalahnya ialah dua dekad lalu tiada siapa yang sedar populasi di India akan berkembang dengan begitu mendadak," kata Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Reka Bentuk Urban di Mumbai, Pankat Joshi. Mumbai kini didiami sebanyak 18 juta orang penduduk.

"Kadar pertumbuhan dalam tempoh antara lima hingga tujuh tahun lalu terlalu cepat. Bukan hanya di Mumbai, tetapi lebih daripada 50 buah bandar yang lain mengalami peningkatan secepat ini," jelasnya.

Dengan infrastruktur di bandar-bandar lama India yang dilihat sukar menampung kemajuan, apabila bangunan dan projek-projek pengangkutan tersedia, Lavasa sekurang-kurangnya mempunyai kelebihan.

Alam sekitar

Dasve yang menjadi bandar pertama daripada lima buah bandar yang akan membentuk Lavasa dijangka dibuka tahun depan.


RUMAH mewah yang dibina di atas bukit di Lavasa.


Wrighton berjanji bandar raya itu akan didiami oleh 200,000 orang pemastautin tetap dengan bekalan air yang tidak terganggu, elektrik, jalan-jalan bersih dan lalu lintas yang terurus.

Penjagaan alam sekitar juga menjadi keutamaan. Hampir 70 peratus daripada bandar raya yang dijangka siap sepenuhnya dibina pada tahun 2021 itu direka dengan ruang hijau. Kawasan itu dikenali sebagai tempat perlindungan untuk pelbagai spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemui.

Bahan-bahan publisiti bakal menjanjikan penggunaan aktiviti kitar semula sisa, air dan tenaga yang boleh diperbaharui, selain material mesra alam. Hartanah itu meliputi perumahan kos rendah hinggalah vila-vila di atas bukit yang mahal.

Lavasa Corporation Limited yang merupakan sebuah syarikat pembinaan gergasi Hindustan Construction Company kini memberi tumpuan kepada industri-industri yang tidak mencemarkan alam seperti pendidikan, kesihatan, teknologi maklumat dan hospitaliti.

Mahu dibangunkan di bandar raya tersebut, ia bakal menyediakan lebih 50,000 peluang pekerjaan.

Model

Ketua Pembangunan Lestari, Persekitaran dan Landskap Lavasa, Krunal Negandhi menegaskan model alam sekitar mampan merupakan masa depan untuk bandar-bandar.

"Perubahan iklim lima tahun lepas hanyalah satu terminologi. Hari ini, realitinya telah dirasai dengan perubahan pola-pola hujan dan sebagainya. Inilah perkara yang rakyat begitu peka," katanya.

Tetapi Joshi bersikap skeptikal, dia meragui sama ada Lavasa boleh menjadi model untuk bandar-bandar pada masa depan.


SALAH satu laluan untuk penunggang motosikal menuju ke Lavasa.


Walaupun jika hendak membuat perbandingan, dia melihat kawasan itu dipenuhi rumah-rumah kedua golongan pertengahan dan kawasan perumahan berpagar.

"Bandar-bandar kita tidak berfungsi untuk golongan kelas pertengahan. Kebanyakannya adalah untuk orang miskin," katanya,

Tambah Joshi, Lavasa akan kekurangan elemen yang menyumbang kepada kepelbagaian bandar yang terbina sejak berkurun lamanya.

"Pelaburan dan teknologi atau pemasaran tidak membentuk sesebuah bandar. Terdapat isu-isu lain seperti sumber pendapatan, budaya, kepercayaan dan masyarakat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: