Thursday, October 15, 2009

Gundu.com 'arkib' karya indie


SEBAHAGIAN artis yang bernaung di bawah Dream Music, anak syarikat Dream Chorus.


KEBANJIRAN band indie seperti Hujan, Meet Uncle Hussain, Pesawat, Couple dan Bunkface sedikit sebanyak mula mengubah iklim lapangan muzik tanah air.

Karya mereka semakin mendapat tempat di hati peminat yang kini sudah mampu menguasai pentas utama persembahan berbanding sebelum ini yang hanya berlegar di konsert-konsert kecil atau dikenali sebagai gig.

Hujan, sebagai contoh, kejayaan yang mereka kecapi pada hari ini bagaikan membuka jalan kepada kumpulan-kumpulan lain untuk terus rancak menjulang karya masing-masing.

Justeru, atas kuatnya pengaruh yang dibawakan oleh band indie, Dream Chorus Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengendali perkhidmatan muat turun kandungan telefon mudah alih, 'menghidupkan' laman web www.gundu.com.my (Gundu) sebagai platform untuk mengetengahkan bakat-bakat baru dalam bidang muzik.

Mengkhusus kepada penggiat muzik yang bergerak di bawah label indie atau tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, Gundu menawarkan tempat untuk mereka memasarkan lagu sendiri di dalam laman web berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan Dream Chorus, Datuk Mohd. Fauzi Zakaria, apa yang menarik, setiap lagu yang dimuatkan dalam Gundu akan diberikan bayaran tertentu andai ia dimuat turun oleh pelanggan.

"Bayaran untuk pendaftaran menyertai Gundu adalah percuma. Lagu yang terbaik dan bersih daripada sebarang unsur-unsur tidak sihat sahaja akan dibawa masuk ke dalam Gundu.

"Kita turut menawarkan perkhidmatan muat turun. Kalau sesebuah lagu itu dimuat turun oleh pelanggan, mereka yang menyumbang karya berkenaan akan memperoleh manfaat sama.

"Kalau mahu lebih maju, jangan hanya mengharapkan Gundu, pengkarya perlu kreatif dalam mempromosikan lagu-lagu mereka,'' katanya ketika pelancaran www.gundu.com.my dan majlis rumah terbuka Aidilfitri Dream Chorus di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Dream Chorus, Harun AminulRashid.

Majlis pelancaran Gundu dan rumah terbuka Aidilfitri berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran serta persembahan artis-artis naungan Dream Music Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Dream Chorus.

Artis-artis berkenaan antaranya Sheila Abdul, Nadia AF6, Claudia dan Aishah (AF7), Arm, Rina dan Revalina (sebuah kumpulan dari Singapura).

Dream Chorus ditubuhkan pada 14 Mac 2003 dan berazam untuk menjadi peneraju kepada pembekal perkhidmatan kandungan muat turun untuk telefon mudah alih serta media baru lain.

Menyambung bicara, kata Mohd. Fauzi, jangka hayat sesebuah lagu yang berada di dalam Gundu adalah selama-lamanya dan penyumbang karya perlu menghantar sesuatu yang asli.

"Sekiranya didapati sesebuah karya itu diciplak, kami akan terus memadamkannya daripada Gundu,'' jelasnya.

Ujarnya, bagi kumpulan atau artis yang memperoleh muat turun tertinggi menerusi Gundu, mereka akan dipilih untuk beraksi di pentas konsert Gundu Gig bersama kumpulan indie ternama lain yang bakal diadakan 5 Disember ini.

Gundu Gig merupakan konsert mini pertama anjuran Dream Chorus dan akan berlangsung di KL Live Centre, Kuala Lumpur.

Pemilihan artis

Sementara itu, Mohd. Fauzi ketika ditanya pengurusan Dream Music berkata, ia merupakan syarikat yang bertanggungjawab menjaga perihal perjalanan seni artis-artis naungannya.

Katanya, kesemua artis yang dipilih untuk berada di bawah Dream Music adalah mereka-mereka yang punyai bakat besar.

"Untuk bekas pelajar Akademi Fantasia pula, kami mengambil yang ada potensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang muzik.

"Buat masa ini, kami lebih memfokus kepada penghasilan single.

"Dream Music masih baru dan kami sedang mencari lebih ramai artis baru serta komposer-komposer terbaik,'' katanya.

Jelasnya, menyedari risiko membuka syarikat rakaman pada era ini, pihaknya turut akan mengutamakan kepada pasaran digital berbanding pasaran berbentuk fizikal seperti cakera padat atau kaset.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: