![]() FARAH tidak mahu peminat benci kerana kontroversi. |
Farah Asykin nafi jalin hubungan dengan suami orang, tak sanggup lukakan hati golongan sejenis
ENTAH mengapa, nyalaan sumbu kerjaya seninya lebih banyak bernafas dengan kontroversi. Sejak bergelar penyanyi, kehidupan Farah Asyikin tak henti-henti di landa badai. Ada saja cerita peribadi yang kurang menyenangkan mengenai penyanyi ini tersebar. Jika sebelum ini kisah perceraiannya menjadi bualan ramai, kali ini penyanyi yang popular dengan lagu Tak Ingin Akhiri ini dikatakan cuba bermain api apabila menjalinkan hubungan intim dengan suami orang.
Malah dalam akhbar sisipan B*Pop Ahad lalu turut menyiarkan gosip kononnya Farah dan lelaki itu dikatakan bercuti bersama di Hong Kong awal bulan lalu. Menurut artikel itu lagi, perkara itu didedahkan menerusi kiriman e-mel oleh seseorang yang mengakui kenal rapat dengan keluarga lelaki terbabit. Sejauh mana kebenaran cerita itu? Jika benar masakan penyanyi berusia 29 tahun ini tergamak melukakan hati golongan sejenisnya.
Tegasnya, walaupun dia seorang janda namun itu tidak bermakna dia terdesak sehingga sanggup menghancurkan rumah tangga wanita lain. Justeru, enggan terus dilabel sebagai penyanyi kontroversi, Farah berkata dia rela mengundurkan diri dan memutuskan hubungan dengan lelaki yang dikenalinya beberapa bulan lalu.
Kata Farah, dia tidak kisah jika terpaksa berbuat demikian asalkan reputasinya sebagai penyanyi tidak terjejas dan peminat tidak membencinya hanya kerana fitnah itu.
Hip: Benarkah Farah kini menjalinkan hubungan dengan suami orang seperti yang didakwa dalam internet baru-baru ini.
Farah: Saya sudah pun membaca e-mel itu dan apa yang saya katakan di sini adalah, cerita itu memang tidak benar sama sekali. Lelaki yang saya kenal sejak beberapa bulan itu adalah seorang duda dan saya mengenalinya selepas dia bercerai. Saya tahu siapa yang menghantar e-mel itu dan tujuannya tak lain adalah untuk mengucar kacirkan hubungan kami. Entah mengapa sejak dia mengetahui yang saya berkawan rapat dengan lelaki itu, dia sering membuat cerita buruk mengenai saya. Malah cerita itu turut disebarkan kepada keluarga lelaki terbabit. Saya tidak faham mengapa dia menjadikan saya sebagai sasaran. Lagipun saya mengenali lelaki itu selepas dia bercerai Jun lalu. Jadi tak salah kalau saya hendak berkawan dengannya.
Hip: Farah kenal siapakah pengirim e-mel itu?
Farah: Ya saya tahu siapa dia. Cukuplah saya katakan yang dia adalah seorang yang memang rapat dengan lelaki itu.
Hip: Bagaimana pula dengan cerita yang kononnya Farah pergi bercuti dengan lelaki itu di luar negara baru-baru ini?
Farah: Apabila membaca gosip itu, Farah sendiri rasa lucu kerana cerita itu memang mengarut. Farah pergi sana berseorangan. Kalaulah Farah hendak buat benda tak baik, tak payah tunggu di luar negara. Farah tinggal berseorangan di sini dan kalau Farah nak buat, sudah lama Farah buat. Tapi Farah masih tahu batasannya. Tapi Farah memang tak nafikan yang Farah ada bertemu dengannya sewaktu Farah ke Macau. Dia memang bekerja di sana. Jumpa sekejap saja dan bukanlah menghabiskan percutian bersama seperti yang ditulis dalam e-mel itu.
Hip: Farah tak risau bercinta dengan lelaki yang pernah mengalami masalah rumah tangga?
Farah: Terus terang Farah sendiri tak tahu macam mana Farah boleh terpikat dengan dia. Bukan tak ada lelaki yang belum pernah berkahwin cuba mendekati hati Farah tetapi entah mengapa Farah lebih tertarik padanya. Mungkin disebabkan kematangannya membuatkan Farah rasa serasi untuk berkawan dengannya. Jadi, statusnya sebagai seorang duda bukanlah satu halangan besar buat Farah sebab Farah juga pernah mengalami kegagalan dalam berumah tangga sebelum ini. Apa yang penting kami serasi berkawan. Farah harap selepas ini dia dapat hentikan dari terus mereka cerita palsu mengenai saya.
Hip: Maaf, apakah disebabkan status Farah sebagai janda membuatkan orang itu sewenang-wenangnya membuat cerita tidak elok mengenai Farah.
Farah: Saya tak nafikan yang perkara itu ada kebenarannya. Entah mengapa orang kita ini sering memandang status janda itu sebagai sesuatu yang tidak elok. Jangan risau. Saya tidak akan mengganggu rumah tangga sesiapa dan saya juga tidak akan berkahwin dengan suami orang. Malah mana-mana kawan lelaki yang saya rapat sebelum ini apabila mereka berumah tangga, saya cuba elakkan dari bertemu mereka. Bukannya apa saya tak mahu ada yang mengata yang bukan-bukan. Maaf, saya bukanlah janda yang terdesak dan sanggup meruntuhkan rumah tangga orang semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Saya masih mampu menilai mana yang buruk dan mana yang baik.
Hip: Farah ada membincangkan hal ini dengan teman Farah itu? Apa reaksinya?
Farah: Memandangkan dia kini bertugas di luar negara, jadi hanya telefon dan internet menjadi penyambung hubungan kami. Ya, kami ada membincangkan hal ini dan saya tahu cerita sebenar di sebalik apa yang terjadi. Disebabkan itulah saya rasa cukup sampai di sini perhubungan kami. Walaupun saya tahu dia tak bersalah tetapi saya tak mahu menanggung risiko dibenci peminat kerana tidak habis-habis mencetuskan kontroversi. Bayangkan sejak saya melangkahkan kaki dalam bidang ini, kisah peribadi saya yang banyak tersebar berbanding kerjaya. Saya cuba mendiamkan diri buat seketika kerana tidak mahu kisah kontroversi terus ditimbulkan. Bila saya nak muncul dengan single terbaru tak lama lagi, tiba-tiba muncul cerita seperti ini. Jadi mengenangkan kerjaya saya lebih penting dari segala-galanya, saya sudah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri darinya. Cukuplah setakat ini saja hubungan kami. Lagipun kami tidak pernah merancang apa-apa termasuk hal perkahwinan. Kami baru saja dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing.
Hip: Kenapa perlu mengambil keputusan untuk berpisah sedangkan dalam hal ini bukan dia yang salah?
Farah: Saya tidak mahu peminat saya benci dek kontroversi ini dan saya mahu fokus pada kerjaya nyanyian saya. Walaupun dia tidak bersalah tetapi saya rasa sedikit sebanyak puncanya ada kaitan dengannya. Jadi saya minta dia selesaikan apa yang berlaku antara dia dan pengirim e-mel itu. Saya tak mahu disebabkan masalah yang berlaku antara mereka berdua, saya yang terpaksa menanggungnya. Justeru, biarlah mereka selesaikan apa yang belum selesai. Selepas keadaan pulih seperti sedia kala, mungkin kami akan berbincang kembali mengenai hala tuju hubungan ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: