
HARI pertama Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2009 di George Town, Pulau Pinang semalam kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (WMF), Datuk Wira Gan Boon Leong dengan Persatuan Angkat Berat Amatur Pulau Pinang (PAWA), Datuk Ong Poh Eng.
Semuanya gara-gara tindakan PAWA yang didakwa oleh Boon Leong tidak mengikuti saluran betul apabila menganjurkan kejohanan itu tanpa pengetahuan badan induknya, WMF sekali gus tidak menghormati garis panduan yang telah ditetapkan.
Lebih mengecewakan Boon Leong, beliau hanya dimaklumkan mengenai kejohanan itu Isnin lalu melalui surat jemputan yang dikirim PAWA ke pejabatnya sedangkan selaku badan induk, WMA perlu diberitahu sebarang aktiviti persatuan bawahannya.
Pertikaman lidah antara Poh Eng dengan orang kuat WMA itu berlaku pagi semalam selepas majlis sidang akhbar PAWA yang dipengerusikan Poh Eng selepas Boon Leong secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hatinya sehingga menarik perhatian pihak media.
Bagaimanapun, keadaan reda apabila Boon Leong keluar daripada dewan sebelum bertemu Exco Belia dan Sukan negeri Pulau Pinang, Lydia Ong Kok Fooi yang kebetulan berada di situ bagi mendapatkan penjelasan.
Dalam sidang medianya yang diadakan petang semalam, Boon Leong menjelaskan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku sebaliknya perlu mengikut prosedur termasuk kemungkinan penyaluran bantuan dari WMA jika perlu.
"Persekutuan sentiasa menyokong sebarang kejohanan yang diadakan tetapi cuma berharap persatuan negeri akan berbincang supaya persekutuan dapat memberi sedikit sebanyak bantuan.
"Secara peribadi saya harap ia tidak berlaku di mana-mana, dan menasihatkan persatuan-persatuan negeri yang lain supaya sentiasa berhubung dan berbincang dengan persekutuan sekiranya sesuatu kejohanan dianjurkan," tegasnya.

Namun ketika ditanya bentuk tindakan yang boleh dikenakan ke atas PAWA, Boon Leong berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan tetapi memberitahu akan mengadakan perbincangan susulan dengan PAWA.
Kejohanan Angkat Berat Senior dan Junior Komanwel 2009 diadakan di Arena Utama, Penang International Sports Arena (PISA) Pulau Pinang bermula semalam hingga Jumaat ini disertai 24 buah negara Komanwel.
Ia dianjurkan bersama oleh PAWA dan Pejabat Exco Belia dan Sukan negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, dalam pertandingan pagi semalam bagi Kategori 56 kilogram lelaki, ia dikuasai oleh peserta dari India manakala peserta muda Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi untuk bersaing.
Bagi kategori junior peserta negara, Mohd. Fazli Dollah berjaya memenangi pingat gangsa sementara pingat emas dan perak dimenangi oleh Sukhen Dey dan Swaphil Gagare dari India.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: