Sunday, October 4, 2009

Air mata Palestin Lia Syed

Tertarik dengan kerja-kerja sukarela sejak berusia 17 tahun, takdir kemudian menetapkan Lia Syed kini menjadi sukarelewan sepenuh masa.


Bagi saya, melihat kanak-kanak mangsa peperangan itu dapat hidup hingga dewasa dan berdikari seumpama mendapat kemenangan mutlak
LIA SYED


HATI wanita ini tidak pernah berhenti menangis apabila mengenang nasib kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan di Palestin. Air matanya sudah banyak tertumpah demi mereka.

“Apabila mangsa perang terutama kanak-kanak berterima kasih pada saya kerana melayan mereka sebagai manusia, hati saya sangat tersentuh,” ucap Lia Syed, 50, memulakan bicara.

Bersemuka dengan wanita Swiss berkaca mata yang memakai selendang pashmina hijau ini nyata berjaya menyelami penderitaan mangsa perang di Palestin.


LIA terpanggil menghambakan diri sebagai sukarelawan demi memperjuangkan nasib kanak-kanak Palestin yang hidup menderita akibat perang.


Anak kelahiran Switzerland ini datang lagi ke Malaysia pada tahun 1974 sebagai perpustakawan di sebuah institut bahasa Jerman di Kuala Lumpur. Jejaknya itu kemudian terus kukuh bertapak sehingga membuka peluang buatnya berjinak-jinak dengan kerja-kerja sukarelawan.

Membesar dan dididik dalam era kesedaran kepenggunaan di negara kelahirannya sekitar tahun 1970-an, naluri untuk menjadi sebahagian daripada isu berkaitan masyarakat dan kemanusiaan semakin menebal dalam dirinya.

“Sejak umur seawal 17 tahun, saya cukup tertarik dengan kerja-kerja sukarela.

“Isu penderitaan rakyat Palestin terutama di kalangan kanak-kanak membuatkan saya tidak menoleh ke belakang lagi,” tuturnya yang mengetuai Institut Penyelidikan Sosial Malaysia (MSRI) sejak November 2003 selepas kematian Datuk Dr. Alijah Gordon yang terkenal itu.

Sumber inspirasi

Bercerita lanjut, antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ialah apabila beliau dan petugas sukarela lain memberikan rawatan pergigian di semasa lawatan kumpulan lebih 60 orang kanak-kanak pelarian Palestin dari kem-kem pelarian di Lubnan ke Malaysia.

“Ketika sedang memberi rawatan, ada seorang kanak-kanak lelaki, Mahmoud Sobhi Mahmoud yang pada mulanya tidak mahu mendapatkan rawatan kerana takut. Setelah saya pujuk, akhirnya dia bersetuju.

“Namun, apa yang terjadi selepas itu ialah Sobhi langsung tidak mahu berenggang dengan saya. Ke mana saja saya pergi, dia akan ikut. Semenjak itu, saya dan Sobhi menjadi akrab,” imbas Lia yang fasih berbahasa Melayu.


LIA menabur bakti bukan untuk meraih anugerah.





Atas perintaan Lia kepada Pengarah MSRI iaitu Dr. Alijah Gordon, beliau akhirnya menaja Sobhi. Sekarang ini, Sobhi yang berusia 26 tahun, bekerja sebagai mekanik lori di Lebanon.

“Bagi saya, melihat Sobhi dan kanak-kanak mangsa perang Palestin dapat hidup hingga dewasa dan berdikari seumpama mendapat kemenangan mutlak,” tuturnya berbaur bangga.

Lebanon penuh kejutan

Menyelak kembali kenangan ketika pertama kali menjejakkan kaki kem-kem pelarian di Lubnan, ujar Lia, ia amat menakjubkan.

“Bukan dari aspek pembinaan bangunan atau kemodenan tapi berasa takjub dengan nilai setiakawan mereka. Orang Palestin sangat berbesar hati menerima tetamu, sentiasa berterima kasih serta sanggup berkongsi sesama mereka walaupun sebiji kentang,” beritahunya yang pernah bekerja sebagai pustakawan di negara asalnya.

Walaupun telah berpengalamana ditahan beberapa kali di sekatan jalan raya di negara itu, perasaan gementarnya tidak pernah hilang.

“Tak kira sama ada ditahan oleh kumpulan Hizbullah, tentera Israel, puak Syiah atau tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri, hati ini pasti berdegup kencang kerana pelbagai kemungkinan boleh terjadi.

“Cuma segalanya akan menjadi mudah kalau kita menunjukkan tangan yang kosong tanpa sesuatu yang boleh dianggap sebagai senjata atau ancaman pada mereka,” ceritanya.

Beliau menafikan tempat yang dikunjunginya adalah berbahaya. Sebaliknya, Lebanon menurut Lia merupakan sebuah negara yang aman, namun peperangan boleh meletus pada bila-bila masa.

Menurut Lia, perkara yang paling mencabar sebagai sukarelawan ialah semasa proses mengagihkan ubat-ubatan.

Menurutnya, ia bukan disebabkan kekurangan ubat-ubatan sebaliknya tiada siapa yang layak untuk membuat perskripsi hingga membuatkan proses agihan menjadi sukar.

“Tidak semua petugas sukarela mempunyai pengetahuan mendalam mengenai ubat-ubatan yang perlu diberikan kepada pesakit yang bilangannya bertambah setiap hari di 11 buah kem pelarian.

“Ini membuatkan situasi bertambah sukar. Ditambah pula dengan pelbagai sekatan, kadangkala kami hanya mampu berdoa agar bekalan yang kami peroleh sampai kepada mangsa,” luah Lia berbutir nada kecewa.


LIA (kanan) bersama (diri kiri) Datuk Syed Ahmad Jamal, Raja Ahmad Amirullah, Hishamuddin Ubaidullah dan Azril Mohd pada satu acara pameran lukisan di Fine Art, Jalan Aman, Kuala Lumpur pada November, 2007.


Meskipun tidak pernah menerima sebarang anugerah walaupun telah 20 tahun berkecimpung dalam bidang sukarelawan ini termasuk menaja beberapa kanak-kanak, Lia lebih senang begitu.

“Tak perlu anugerah kerana ini adalah kerja yang perlu dilakukan dengan keikhlasan demi agama dan kemanusiaan,” katanya yang memeluk Islam pada tahun 1974 apabila berkahwin dengan seorang lelaki Melayu yang dikenali sebagai Syed Rahim Syed Salleh.

Sebenarnya, bukan mudah untuk seorang wanita Swiss menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di sini.

“Saya mengambil masa dua tahun untuk betul-betul berasa berada di rumah sendiri. Disebabkan saya meminati budaya, bahasa dan kesusasteraan rakyat negara ini, saya membaca apa saja yang berkaitan dengan rakyat Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: