Thursday, October 22, 2009

6ixth Sense luang masa lawat Sarawak

Pasti menarik untuk menyaksikan gelagat dan aksi anggota Kumpulan 6ixth Sense yang sedang hangat menerusi single terbaru mereka, Khatimah Cinta meluangkan masa mengunjungi destinasi-destinasi menarik di Sarawak dan ia direalisasikan menerusi program traveloge popular Xpresi Kembara terbitan Unit Ehwal Awam RTM.

Bakal bersiaran dua episod pada 24 dan 31 Oktober 2009 (Sabtu) kelak jam 10.31 pagi di TV1, band remaja dianggotai Adi Priyo (vokal), Wan (dram), Gjie (gitar utama), Ayoy (pemain bass) dan Athan (pemain gitar kedua) ini menjanjikan percutian menarik untuk dikongsi bersama peminat setia yang ingin berkenalan lebih dekat lagi dengan mereka.

Menerusi siaran episod pertama, penonton yang menyaksikan program ini berpeluang dibawa berkunjung ke perkampungan Orang Iban Lemanak. Kelima-lima anak muda ini turut sama meluangkan masa dan meninjau kehidupan mereka sepanjang tiga hari dua malam di sana. Pelbagai kenangan manis dapat dikongsi bersama peminat, apatah lagi inilah pengalaman pertama mereka belajar cara berburu di hutan, mandi sungai di perkampungan Orang Iban, belajar menyumpit dan menaiki bot panjang menyusuri sungai Sarawak.

Turut dikongsi sama saat-saat keterujaan masing-masing memasak nasi menggunakan buluh yang sememangnya biasa diamalkan apabila berada di hutan. Kesempatan yang ada digunakan juga si pelantun vokal, Adi yang berasal dari Jember, Indonesia ini menghiburkan kaum etnik ini mempersembahkan lagu popular mereka secara akustik.

Aktiviti kembara mereka turut singgah melawat orang utan dan mendekatkan hubungan dengan mereka di Pusat Hidupan Liar Semenggoh sebelum mengunjungi Gua Angin dan Gua Pari-Pari yang menjadi tarikan pelancongan semula jadi selain kembara menyusuri dua gua yang istimewa ini.

Kesinambungan momen-momen indah berada di negeri yang terkenal dengan kampung budayanya itu diteruskan mereka dengan berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak termasuklah melawat kesemua jenis rumah panjang kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan banyak lagi.

Sudah nama pun pemuzik, 6ixth Sense mengambil kesempatan bertukar idea dengan pemuzik tradisional Sarawak dan mereka berkolaborasi menyanyikan lagu-lagu 6ixth Sense dengan diiringi alatan muzik tradisional Sarawak seperti jantung lutang, engkurong dan sape.

Aktiviti berkayak sepanjang sungai Sarawak diteruskan mereka sambil menikmati pemandangan alam semula jadi yang dapat dijadikan kenangan manis. Malah River Cruise di Sarawak Waterfront turut menyaksikan mereka sempat merakamkan klip video Khatimah Cinta yang sedang popular dan menduduki carta lagu di Malaysia masa kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: