ENAM
 artis yang sedang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) malam tadi bersama pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi meluangkan masa beramah mesra dan berbuka puasa dengan 50 anak-anak yatim Rumah Pengasih Warga Prihatin.
Antaranya selebriti terlibat, Tomok, Zahid, Aril, Haziq, Akma dan PU Hilmi malah majlis turut dihadiri Naib Cancelor UUM, Prof Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak.
Selain bagi memenuhi keperluan pengajian subjek khidmat masyarakat di bawah kursus Pembangunan Masyarakat II (VKMB1021) semester ini, majlis itu juga bagi merai penghuni rumah kebajikan itu sempena bulan mulia ini.
Majlis anjuran pelajar semester dua program Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) UUM kampus Kuala Lumpur itu berlangsung dengan kerjasama Hotel Pullman Putrajaya Lakeside yang turut menyumbang lokasi serta juadah berbuka puasa.
Pengurus Besar Hotel Pullman Putrajaya, Roberts Ejubs menyifatkan majlis tersebut sebagai salah satu cara pihaknya memberi balik kepada masyarakat setempat yang kurang bernasib baik.
"Malam ini juga menandakan permulaan kerjasama berpanjangan antara Pullman Putrajaya Lakeside dan Rumah Pengasih Warga Prihatin.
"Rakan strategik kami juga berikrar akan berikan komitmen penuh dalam membantu Rumah Pengasih untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang," katanya pada majlis Berbuka Puasa bersama Selebriti, malam tadi.
Menurutnya, Pullman akan membantu Rumah Pengasih Warga Prihatin dari segi bekalan makanan yang berterusan, kemudahan serta bantuan daripada pembekal-pembekal hotel dan bantuan teknikal oleh bahagian kejuruteraan hotel berkenaan.
Selain itu, sempena Ramadan ini, Pullman Putrajaya Lakeside turut menawarkan diskaun menarik bagi 'Ramadan Magical Night' untuk orang ramai merasai suasana berbuka puasa di hotel tersebut
.