NAMA Datuk Profesor A Razak Mohaideen dalam bidang pengarahan sememangnya bukan lagi asing.
Bagaimanapun selepas tayangan filem Nana Tanjung 2, Razak memilih untuk menyepi seketika dari arena pengarahan.
Namun 'kehilangan' itu bukan buat selamanya apabila pengarah prolifik yang sering mengangkat kehidupan masyarakat di Pulau Pinang ini kembali dengan filem terbaharu arahannya, Anak Mami Nasi Kandaq.

Antara judul lain yang pernah menjadi fenomena dan menambat hati penonton rakyat Malaysia adalah Anak Mami The Movie (2002), Mami Jarum (2002), Anak Mami Jarum Junior (2003), Anak Mami Kembali (2005), Nana Tanjung 1 (2006) dan Nana Tanjung 2 (2007).
Filem ketujuh arahannya ini bakal menemui para penonton pada tayangan serentak seluruh Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri pertama.
Ditanya mengenai pemilihan cerita yang sekali lagi mengangkat kisah anak mami, Razak berkata, biarpun sudah lama filem mengenai masyarakat Pulau Pinang tidak diketengahkan, namun beliau percaya, karya sebegini tetap mempunyai golongan peminat yang tersendiri.
"Ada yang berjumpa saya dan bertanya bila lagi saya mahu kembali mengarah.
"Walaupun ia berkisarkan mengenai anak mami, namun hakikatnya banyak mesej tersirat yang saya selitkan di dalam filem ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media dan Sesi Iftar Anak Mami Nasi Kandaq bersama Rumah Penyayang Hembusan Kasturi, baru-baru ini.
Menariknya, filem kali ini menampilkan nama besar seperti Fasha Sandha, Qi Razali, Risteena Munim, Ezzaty Abdullah dan ramai lagi.
Mengekalkan landasan masyarakat, adat dan budaya keluarga ‘anak mami’, Anak Mami Nasi Kandaq mengisahkan Mamu Nizam (Chik Pak Man Telo) seorang pengusaha Restoran Nasi Kandaq Al Basheer seorang duda yang bekerja keras untuk memajukan perniagaannya.
Mamu mempunyai kehidupan yang bahagia bersama 5 orang anak perempuannya iaitu Fuziah (Fasha Sandha), Fitri (Nur Risteena Munim), Farah (Ezzaty Abdullah), Fatin (Amylia Nastasha Aziz) dan Fify (Elisya Sandha).
Namun perniagaan Mamu Nizam merosot setelah kemunculan gerai Mami Kalsom (Sheila Mambo). Lebih memeningkan Mamu Nizam ialah walaupun Mami Kalsom berniaga tanpa lesen dan keadaan gerainya yang agak kotor, para pelanggan tetap memilih gerai Mami Kalsom.
Mamu Nizam yang tertekan mendapatkan khidmat nasihat Mamu Hussin (Azmir Cuit Raja) dan Tuan Akhlak Khan (Azhari Zain).
Mamu Hussin mencadangkan Mamu Nizam untuk mengeksploitasi kejelitaan kelima-lima anak perempuannya sebagai tarikan.
Merisaukan Mamu Nizam ialah kesemua anak perempuannya bersifat manja dan tidak pernah bekerja. Namun kerana terpaksa, Mamu Nizam berjanji kepada anak-anaknya untuk menunaikan apa sahaja impian mereka asalkan mereka sanggup berkhidmat dan menjayakan perniagaan keluarga mereka.
Ternyata taktik perniagaan Mamu Nizam berkesan dan secara langsung menaikkan kemarahan Mami Kalsom. Ada sahaja rancangan jahat Mami Kalsom bagi memusnahkan perniagaan Restoran Nasi Kandar Al-Basheer tetapi semuanya gagal.
Kini Mami Kalsom cuba mempergunakan anak lelakinya Farid (Qi Razali) untuk bekerja di Restoran Al-Basheer bagi mencari rahsia kejayaan Restoran Al-Basheer.
Mamu Nizam tidak membenarkan pekerja lelaki bekerja di restorannya bagi menjaga anak perempuannya sehingga Farid terpaksa menyamar sebagai seorang wanita bernama Faridah.
Razak berkata, apa yang menjadi harapannya kini filem ini akan diterima oleh masyarakat dan mendapat respons yang baik.
"Walaupun ia berkisar mengenai anak mami, namun filem ini mendapat sambutan yang cukup baik di luar Pulau Pinang.
"Jadi saya berharap sambutan terhadap filem ini juga kekal sama seperti dahulu," akhirinya.