SETIAP kali tibanya Ramadan, menu bubur lambuk pasti menjadi antara menu pilihan sebagai juadah untuk berbuka puasa.
Biarpun ia hanyalah resipi dalam kategori bubur nasi, namun bubur lambuk nyata memiliki keistimewaannya yang tersendiri.
Dengan aromanya yang membangkitkan selera, bubur ini kebiasaannya menjadi pilihan kepada mereka yang mahukan hidangan yang serba ringkas ketika berbuka puasa.
Bagi warga bandar raya Ipoh, Masjid India Muslim menjadi sebagai antara lokasi untuk mereka mendapatkan bubur lambuk ini yang diedarkan secara percuma setiap tahun.
Jemaah masjid, Muhammad Daud Abas, 65, berkata, dia tidak pernah ketinggalan hadir ke masjid berkenaan bagi mendapatkan bubur lambuk.
Katanya, bubur lambuk di masjid berkenaan nyata memiliki keunikannya yang tersendiri berbanding masjid-masjid lain.
“Pertama, sedap dan orang ramai boleh datang mengambilnya mengikut jumlah yang dikehendaki. Kalau masjid lain dah siap diletak mengikut bungkusan yang disediakan. Kalau ada yang ambil lebih bungkusan mulalah kedengaran ‘suara’.
“Di sini (Masjid India), ambillah sebanyak mana pun. Saya sendiri ambil lebih dan beri kepada jiran-jiran saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi jemaah, Mohd Iqbal Mydin, 50, mengakui bubur lambuk di masjid berkenaan memiliki kelazatan yang berbeza.
Menurutnya, bubur lambuk di masjid berkenaan memiliki rasa yang lebih lemak dan sedap kerana masih menggunakan resipi asli turun temurun.
“Bubur lambuk di sini lebih lemak. Sedapnya macam rasa resipi asalnya 100 tahun dulu. Original.
“Bahan-bahan yang digunakan pun sama dengan resipi asalnya seperti sayur, lobak, ubi, parpu, tomato dan lain-lain. Saya taklah selalu datang ambil bubur dan berbuka di masjid ni (Masjid India Muslim). Kadang-kadang saja, tetapi saya memang sukakan masakan di masjid ini,” katanya.
Peniaga, Mohd Arib Aliah, 54, berkata, dia turut mengakui mengenai kelazatan bubur lambuk di masjid berkenaan.
Katanya, kelazatan bubur lambuk di masjid berkenaan menyebabkan dia sering membawa dua periuk kecil bagi membawa pulang bubur berkenaan.
“Bubur lambuk di sini rasanya lain sikit. Sedap. Selain tu, kalau tak habis makan masa berbuka, boleh simpan dan panaskan untuk dimakan pada waktu sahur. Boleh juga tahan dalam sehari dua.
“Itulah sebabnya saya tak pernah ketinggalan untuk bawa pulang dua bekas bubur lambuk ni, satu untuk bawa balik dan satu lagi dihantar ke rumah ibu saya,” katanya.
Menu berbeza setiap hari
Sinar Harian sempat menemui siak masjid berkenaan, Muhammad Nurizan, 68, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai bubur berkenaan.
Menurutnya, bubur berkenaan hanya menggunakan ramuan pelbagai jenis rempah.
“Bubur ni unik sebab guna banyak rempah. Lada hitam, halia dan lain-lain. Itulah yang uniknya. Menu bubur lambuk ini juga tak sama setiap hari, tapi ikut menu orang yang sponsor juga.
“Kalau ada harinya, istimewa la sikit, kita akan letak daging, ayam. Contohnya kalau ada majlis raikan anak-anak yatim atau majlis-majlis keraian lain. Yang penting kita utamakan tiga prinsip iaitu sedap, bersih dan sihat dalam menyediakan menu bubur lambuk ini,” katanya.
Masak enam periuk besar
Dalam pada itu tukang masak bubur lambuk berkenaan, Mustapha Kamal Varusai Mohamad, 70, berkata, sebanyak enam periuk besar digunakan bagi memasak bubur lambuk berkenaan setiap hari.
Katanya, setiap hari bubur lambuk berkenaan akan mula dimasak mulai jam 9 pagi dan siap pada jam 3 petang.
“Tiap-tiap hari jam 9 pagi, saya dan pembantu saya akan menyiapkan bahan-bahan bagi tujuan memasak bubur lambuk.
“Percaya atau tidak, jam 5.30 petang, semua enam periuk bubur ini akan habis,” katanya
.