SHAANXI - CHINA. Seorang wanita membuktikan kesetiaannya apabila terus kekal menjaga bekas suaminya yang orang kurang upaya (OKU) walaupun telah mengahwini rakan suaminya.
Memetik laporan portal antarabangsa, Shanghaiist.com, wanita tersebut, Xie Xiping telah menjaga bekas suaminya yang lumpuh akibat kemalangan sejak 2002.
Meskipun mengharungi kepayahan menjaga bekas suami bersama dua anak mereka, Xiping kekal setia di sisi lelaki itu dan mengurus kehidupan mereka seperti biasa.
Menurut Xiping, jiran-jiran mereka pada mulanya menyangka Xiping akan keluar meninggalkan rumah dan dalam tempoh tiga bulan pertama merawat dan menjaga bekas suaminya pada suatu ketika dahulu.
Namun sangkaan mereka ternyata meleset apabila sehingga ke hari ini, Xiping masih kekal bersama bekas suaminya.
Walaupun Xiping tidak pernah merungut ketika bersusah payah menjaga bekas suaminya,lelaki itu tidak mahu Xiping terus hidup susah bersamanya.
Bekas suaminya yang tidak mahu dinamakan berkata, dia mahu Xiping hidup bahagia dan tidak perlu terbeban dengan tanggungan yang terpaksa dipikul oleh wanita itu.
Akhirnya atas kehendak lelaki itu, pasangan tersebut bercerai dan Xiping akhirnya berkahwin dengan rakannya.
Bagaimanapun kesetiaan terhadap bekas suami menyebabkan Xiping kembali kepada lelaki itu bersama suami baharunya, yang rela membantu Xiping menjaga bekas suaminya.
Difahamkan, Xiping dan suami baharunya dikurniakan seorang anak dan mereka berenam tinggal di rumah yang sama dengan bahagia.