KALI ketiga ke Tanah Suci, pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad berharap pemergiannya itu akan beroleh keberkatan ALLAH SWT.
Tambahan pula, Nabil bakal menunaikan umrah bersama isteri tercinta, Nazirah Ayub mulai 26 Jun ini hingga 4 Julai depan.
Lebih bermakna lagi, katanya, ibadat umrah itu dapat dilaksanakan menjelang 10 malam terakhir Ramadan.
"Adalah menjadi impian saya untuk sama-sama menunaikan umrah bersama isteri tercinta.
"Alhamdulillah, akhirnya impian ini tercapai selepas hampir lima tahun kami berkahwin.
"Rezeki kami juga, apabila dapat menunaikan ibadat tersebut di malam-malam terakhir Ramadan," katanya pada Zass ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa HBO dan sidang media filem, Jurassic World dalam Bahasa Malaysia, baru-baru ini.
Mengakui teruja, selebriti berusia 33 tahun ini bagaimanapun berharap agar perjalanannya bersama-sama isteri dirahmati oleh ALLAH SWT.
"Sebagai suami, saya tidak nafikan terlalu banyak dugaan yang dihadapi. Saya harap keberangkatan kami ke Tanah Suci ini membawa perubahan buat saya dan isteri, doakan kami," katanya.
Pada masa sama, Nabil juga akan menjalani penggambaran program televisyen, Perjalanan Haji Nabil terbitan Astro Oasis untuk Aidiladha nanti.
Meskipun bakal berangkat ke Tanah Suci, pengacara MeleTOP ini mengakui bimbang akan tahap kesihatan ibunya, sejak akhir-akhir ini.
"Ibu saya menghidapi sakit buah pinggang. Kini, dia sedang menjalani rawatan dialisis.
"Awalnya, saya agak bimbang untuk meninggalkannya tetapi mujur juga ada adik-beradik lain yang membantu untuk menjaganya.
"Malah, anak-anak saya juga akan dijaga oleh mertua saya nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabil merupakan antara selebriti tempatan yang terlibat dalam alih suara filem Jurassic World dan membawakan watak sebagai Lowery Cruthers.
Filem itu bakal disiarkan dalam versi Bahasa Melayu pada 6 Julai depan sempena Hari Raya Aidilfitri bermula jam 9 malam di HBO (saluran 411) dan HBO HD (saluran 413).
Selain Nabil, selebriti yang terlibat ialah Nora Danish, Izzue Islam, Fahrin Ahmad, Hisyam Hamid, Fara Fauzana, Bront Palarae, Akhmal Nazri dan ramai lagi.
Nabil juga akan muncul dalam beberapa program hiburan sebagai pengacara iaitu MeleTOP Raya, Ceria Pop Star Raya, Gegar Vaganza Raya dan Carta Raya MeleTOP Era, sempena Aidilfitri nanti.