BIAR 
zaman silih berganti, namun sedar atau tidak, masih ramai yang meminati keaslian lagu-lagu raya dendangan orang lama.
Menariknya, walaupun sudah dimamah usia, lagu-lagu raya lama ini masih mampu ‘menyengat’ sekali gus terus memberi saingan kepada lagu-lagu raya ciptaan baharu.
Lebih mengagumkan, lagu-lagu raya lama ini terus mekar dan segar dalam jiwa pendengarnya.
Bahkan, generasi baharu juga lebih menggemari karya-karya klasik ini walaupun sebahagian besar daripadanya dicipta lama sebelum mereka dilahirkan.
Barangkali ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Namun, selepas dikaji dan diteliti, Sinar Harian berpendapat lagu-lagu raya era 90-an dan sebelumnya adalah yang terbaik.
Masakan tidak, tatkala mendengar lagu Dendang Perantau (P.Ramlee), Selamat Hari Raya (Saloma), Aidilfitri (Sanisah Huri), Selamat Hari Raya (Fazidah Joned) dan  Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) menjelang sambutan Aidilfitri, hati pasti akan tersentuh.
Begitu juga lagu raya malar segar yang muncul sekitar lewat tahun 70-an dan 80-an seperti Balik Kampung (Sudirman), Indahnya Beraya di Desa (Azlina Aziz), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman), Suasana Hari Raya (Sharifah Aini), Seloka Hari Raya (Hail Amir & Uji Rashid), Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina), Pulanglah (Aishah) dan Menjelang Hari Raya (DJ Dave).
Malah, mungkin ‘mood’ beraya juga kurang terasa andainya tidak mendengar lagu-lagu ini.
Kadang-kala, persoalan turut tercetus di minda penulis, mengapa lagu raya penyanyi terdahulu tidak pernah jemu dihayati.
Tetapi, setelah diteliti, sebilangan besar lagu-lagu raya lama ini menyandarkan kekuatan kepada melodi yang cukup indah dan mengasyikkan.
Kekuatan ini pula ditambah dengan lirik lagu yang disampaikan secara bersahaja tetapi bermesej.
Pada masa sama, karya-karya klasik ini ada unsur tradisional ditambah pula dengan lirik yang indah serta tidak berat untuk difahami.
Dan sebenarnya, setiap nilai tradisional inilah yang menjadi 'penyedap' bagi memikat jiwa pendengar.
Situasi itu membolehkan terjemahan Syawal dalam lagu-lagu raya lama nyata lebih terserlah dan dekat di hati masyarakat sekali gus membuatkan ia begitu sukar sekali dipinggirkan setiap kali Aidilfitri menjelang tiba.
Terlalu moden?
Bagaimanapun, ada juga lagu-lagu baharu raya yang berjaya menambat hati pendengar.
Secara peribadinya, penulis meminati lagu-lagu raya dendangan Datuk Siti Nurhaliza seperti Sesuci Lebaran, Anugerah Aidilfitri, Nazam Lebaran, Air Mata Syawal, Meriahnya Suasana Syawal dan Bila Hari Raya Menjelma.
Begitu juga dengan lagu-lagu seperti Satu Hari Di Hari Raya (dinyanyikan semula oleh Datuk M.Nasir), Salam Dunia (Datuk M.Nasir), Warna-Warni Di Aidilfitri dan Ku Pohon Restu Ayah Bonda (Mamat Exist). Kesemua lagu ini walaupun baharu, ia tetap mempunyai elemen malar segar.
Lebih-lebih lagi, apabila ia dihasilkan dengan penuh semangat dan kejujuran serta bukan dipaksa dengan elemen moden.
Lagu raya moden yang lain hanyalah sekadar untuk memeriahkan serta merancakkan suasana hari raya semata-mata dan tidak lebih daripada itu.
Bahkan, tidak dinafikan, lagu-lagu raya baharu masa kini boleh dikatakan terlalu moden bahkan tidak langsung mempunyai unsur tradisional seperti lagu terdahulu.
Lantas, cubaan menyemarakkan semangat Syawal dengan kehadiran lagu-lagu raya baharu dianggap gagal.
Bukan tidak menarik, tetapi untuk mencapai satu tanda aras yang telah dipelopori oleh karyawan terdahulu memerlukan kerja keras yang jitu.
Namun begitu, penghasilan lagu raya moden ini turut membuktikan generasi baharu menghargai hari istimewa ini dengan cara yang lebih segar.
Lagipun, pendengar dan peminat masih dahagakan penghasilan lagu-lagu raya baharu untuk dijadikan peneman halwa telinga setiap kali menjelang Lebaran.

10 LAGU RAYA TERBAIK SEPANJANG ZAMAN

1) Dendang Perantau
Penyanyi: Allahyarham Tan Sri P. Ramlee
Ciptaan: Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
Tahun: awal 1960-an

2) Selamat Hari Raya
Penyanyi: Allahyarham Puan Sri Saloma
Ciptaan: Ahmad Jaafar
Tahun: 1955

3) Aidilfitri
Penyanyi: Sanisah Huri
Ciptaan: Zubir Said / Yusnor Ef.
Tahun: akhir 1960-an

4) Selamat Hari Raya
Penyanyi: Fazidah Joned
Ciptaan: Kassim Masdor / Datuk Jins Shamsuddin
Tahun: akhir 1960-an

5) Seloka Hari Raya
Penyanyi: Uji Rashid dan Hail Amir
Ciptaan: Datuk Dr Ahmad Nawab
Tahun: 1976

6) Dari Jauh Ku Mohon Maaf
Penyanyi: Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad
Ciptaan: Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad
Tahun: 1981

7) Suasana Di Hari Raya
Penyanyi: Anuar Zain & Ellina
Ciptaan: Datuk Adnan Abu Hassan / Habsah Hassan.
Tahun: 1985

8) Suasana Hari Raya
Penyanyi: Allahyarham Sharifah Aini
Ciptaan: Datuk Dr. Ahmad Nawab / Allahyarham Sharifah Aini
Tahun: 1977

9) Satu Hari Di Hari Raya
Penyanyi: Datuk M. Nasir
Ciptaan: Datuk M. Nasir
Tahun: versi asal 1982

10) Pulanglah – Aishah
Ciptaan: Adam Ahmad
Tahun: 1996