PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran program realiti Mentor Legend Azmil Karim mengakui bakal menyertai syarikat rakaman Indigital Music selepas kontrak bersama Monkey Bone tamat pada Ogos depan.
Azmil berkata, dia memilih beralih angin ke syarikat rakaman lain berikutan percaya masa depan kerjaya nyanyiannya akan lebih bersinar di bawah pengurusan label berkenaan.
"Saya sudah dua tahun berada dalam industri di bawah label Monkey Bone dan sudah sampai masanya untuk saya beralih angin selepas tamat kontrak pada Ogos depan.
"Saya memilih Indigital kerana saya selesa bekerja dengan mereka, sebelum ini ketika menyertai Mentor Legend mereka banyak membantu kerjaya saya. Lagi pula label tersebut banyak melahirkan artis-artis yang berjaya seperti Dayang Nurfaizah," ujarnya.
Azmil berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan terkini kerjaya nyanyiannya.
Mengulas lanjut, Azmil berkata, dia kini banyak menerima tawaran nyanyian di tempat kelahirannya Sabah berbanding di Kuala Lumpur.
"Alhamulillah, biarpun ramai masih tidak perasan kewujudan saya dalam industri tapi tawaran banyak datang dari tempat kelahiran saya di Sabah.
"Saya juga terpaksa berulang alik setiap minggu untuk memenuhi undangan di sana dan balik semula ke Kuala Lumpur untuk urusan lain," ujarnya.
Sementara itu, Azmil yang juga bekas protoge Dayang ini berkata, dia bakal keluar dengan single terbaharu berjudul Jam 5 selepas Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, promosi lagu tersebut akan diteruskan biarpun sudah bersama syarikat rakaman lain.
"InsyaAllah saya akan keluar lagu ketiga dan terakhir bersama Monkey Bone berjudulJam 5 sebelum kontrak berakhir. Bagaimanapun saya akan terus bertanggungjawab untuk promosikan lagu itu biarpun sudah tidak bersama mereka.
"Saya juga akan merakamkan muzik video lagu ini pada bulan puasa dan susunan muziknya digubah dalam bentuk akustik," ujar Azmil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: