Friday, June 24, 2016

Faezah Elai Enggan Anak-Anak Terdedah Pada Dunia Seni




Faezah Elai sudah kembali berlakon.
PETALING JAYA: Pelakon Faezah Elai memberitahu dia dan suaminya pengarah drama Heykal Hanifah tidak mahu anak-anak mereka mendapat pendedahan kepada dunia seni dalam usia muda.
Faezah atau nama sebenarnya Nor Faezah Md Elai, 34, berkata, dia mahu melihat dua cahaya matanya iaitu Dealova Heyrinna, 3, dan Aurora Heyrinna (enam bulan) membesar sebagai kanak-kanak biasa yang tidak dilimpahi dengan populariti.

"Biarlah saya dan Heykal sahaja yang berada dalam bidang ini. Kami tidak mahu mereka melalui apa yang telah kami lalui dalam dunia hiburan ini.

"Kalau terdesak untuk watak kanak-kanak sahaja kami akan gunakan mereka, itu pun tidak nampak wajah," ujarnya.
Faezah ditemui pada majlis program Indahnya Syawal yang diadakan di Angkasapuri, di sini malam Selasa.

Bagaimanapun, Faezah berkata, dia tidak boleh memaksa andai anak-anaknya turut memilih jalan yang sama ketika sudah besar nanti.

"Kalau boleh memang tidak mahu, tapi jika mereka sudah besar dan mahu ke arah dunia seni juga saya tidak boleh menghalang.

"Buat masa ini biarlah mereka menjalani kehidupan kanak-kanak seperti orang lain," ujarnya.
Dealova Heyrinna dan Aurora Heyrinna.
Sementara itu, Faezah berkata, dia kini sudah kembali semula aktif berlakon selepas hampir setahun berehat.

Namun, dia hanya mampu untuk menerima tawaran di bawah arahan suaminya berikutan jadual menguruskan keluarga yang agak padat.

"Saya sudah kembali berlakon kerana anak kedua pun sudah usia enam bulan sekarang dan tidak menyusu badan. Tapi saya hanya boleh terima tawaran di bawah arahan suami saya sahaja.

"Bukan apa, saya boleh bercakap dan minta kelonggaran untuk mengurus keluarga. Saya takut jika dengan produksi lain akan menjejaskan masa artis lain pula," ujarnya.

Dalam pada itu, Faezah berkata, dia kini lebih bersikap memilih dalam menerima sebarang tawaran lakonan.

Dia hanya menerima watak yang boleh memberi impak kepada sesuatu drama atau filem yang dilakonkan.

"Saya sudah jarang berlakon, jadi saya lebih bersikap memilih untuk mengambil watak-watak yang boleh beri impak.

"Biarlah watak saya hanya beberapa babak sahaja tapi memberi kesan kepada drama dan penonton," ujarnya.

Faezah berkahwin dengan Heykal pada 9 September 2011.

Faezah turut menjaga tiga anak tirinya iaitu Luqman Hakim, 16, Sarah, 14, dan Luq Adam, 6.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: